Angkat isu autisme, Bunga Salju dapat rating tinggi menerusi slot Tiara Astro Ria

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

MENAMPILKAN jalan cerita yang berbeza dan segar iaitu isu autisme, drama Bunga Salju berjaya mendominasi dan meraih rating tertinggi untuk slot Tiara di Astro Ria.

Drama yang dilakonkan oleh Hisyam Hamid sebagai Azizi, Amyra Rosli (Qaisara) dan Hariz Hamdan (Farouk) itu benar-benar meninggalkan kesan di hati penonton.

Menurut penerbit, David Teo daripada  Metrowealth International Group (MIG) pihaknya gembira dengan sambutan yang diberikan penonton.

“Mulanya pihak kami agak bimbang peminat drama mungkin tidak mahu tonton drama tentang autisme, tetapi kami silap kerana Bunga Salju mendapat sambutan yang luar biasa daripada penonton.

“Saya sendiri difahamkan Bunga Salju mendapat rating tertinggi untuk slot Tiara di Astro Ria setakat ini dan apa yang membanggakan drama ini masih belum tamat dan berbaki banyak episod lagi,” ujarnya.

Sambung David, membikin drama Bunga Salju sebanyak 40 episod bukan mudah apatah lagi ketika drama ini ditayangkan di televisyen, pihak produksi masih bertungkus lumus dengan baki penggambaran.

“Kejayaan drama ini datang daripada kerjasama satu pasukan yang baik, bukan sahaja daripada barisan pelakon yang sangat cemerlang tetapi juga kru belakang tabir,” kata David Teo.

Pengarahnya, Ejump Mohd, pula menjelaskan dia berasa bimbang ketika mula-mula menerima naskhah Bunga Salju apatah lagi isu autisme sudah diketahui secara meluas oleh masyarakat umum.

“Ketika mendapat karya Bunga Salju jujurnya saya tidak lena tidur, bimbang kerana ini bukan drama yang klise sebaliknya saya perlu buat banyak kajian terutama untuk watak Azizi seorang lelaki autisme.

“Kami ada sesi selama dua hari di Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) bersama barisan pelakon untuk melihat sendiri karakter orang autisme dengan lebih dekat.

“Alhamdulillah, saya tidak jangka drama ini mendapat sambutan yang luar biasa. Rasanya kami membuat pilihan yang tepat dalam pemilihan pelakon. Sebagai pengarah saya bersyukur kami dapat menyampaikan kesedaran tentang autisme kepada semua peringkat usia,” kata Ejump.

Kaji watak

Sementara itu, Hisyam memberitahu ini adalah kali pertama dia membawakan watak seorang lelaki autisme.

Terangnya, watak Azizi sangat mencabar, bahkan sebelum memulakan penggambaran Hisyam membuat kajian watak kerana bimbang akan kritikan andai dia tidak melakonkan karakter seorang lelaki autisme dengan betul.

“Saya agak gementar ketika diberi watak Azizi, jadi saya buat kajian dengan tonton filem luar negara dan pergi ke NASOM selain berjumpa dengan lelaki yang wataknya sama dengan Azizi.

“Lelaki itu bernama Syafiq berusia 29 tahun, bekerja dalam bidang IT dan seorang ‘high functioning’ autism sama seperti watak Azizi. Dia seorang yang sangat bergantung kepada nasihat ibunya.

“Saya perhatikan cara dia bercakap, berjalan dan gerak tangannya, hasilnya adalah apa yang penonton lihat dalam drama Bunga Salju,” ujarnya.

Jelas Hisyam, dia bersyukur watak Azizi lakonannya diterima ramai, malah rata-rata penonton mengakui lakonannya sama seperti orang autisme.

“Saya ada baca komen-komen penonton di laman sosial, rata-rata mereka tidak tahu ada orang autisme seperti Azizi.

“Malah ada yang komen mahukan lelaki seperti Azizi kerana jujur (ketawa). Apapun saya gembira naskhah ini selain hiburan turut memberi kesedaran kerana penonton bahawa ada orang autisme yang ‘high functioning’ dan ada kalanya mereka lebih bijak daripada orang normal,” kongsinya.

Dalam pada itu, aktor Hariz Hamdan yang membawa watak Farouk menjelaskan, ini kali pertama dia membawa watak antagonis yang begitu jahat.

Meskipun dibenci dan dikecam penonton, Hariz gembira lakonannya memberi kesan kepada penonton.

“Sepanjang drama ini bersiaran saya sudah bersedia untuk dibenci dan dikecam penonton kerana Farouk memang sangat jahat.

“Selain membuat kajian sendiri, saya juga dibantu oleh pelakon-pelakon senior yang hebat di set penggambaran seperti Hasnul Rahmat dan Zul Huzaimy,” kongsi Hariz.

Naskhah Bunga Salju yang telah bersiaran sebanyak 21 episod daripada 40 episod secara keseluruhan, mengisahkan Qaisara terpaksa berkahwin dengan Azizi seorang lelaki austistik bagi memenuhi keperluan ibunya dan teman lelaki Farouk demi mendapatkan harta Azizi.

Drama terbitan MIG ini dibintangi oleh Hisyam Hamid, Amyra Rosli, Hariz Hamdan, Zarina Zainoordin, Hasnul Rahmat, Syad Talib, Zul Huzaimy dan Arabella Ellen.

Episod baharu Bunga Salju ditayangkan pada setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104). Drama ini juga boleh ditonton menerusi ON Demand di Astro Box dan aplikasi Astro Go serta Sooka untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Informasi

Penerbit: Metrowealth International Group (MIG)

Pengarah: Ejump Mohd

Pelakon

Hisyam Hamid sebagai Azizi

Amyra Rosli sebagai Qaisara

Hariz Hamdan sebagai Farouk

Zarina Zainoordin sebagai Ila

Ziema Din sebagai Fatimah

Zul Huzaimy sebagai Zul

Hasnul Rahmat sebagai Tuan Ishak

Syad Mutalib sebagai Ekin

Arabella Ellen sebagai Mimi


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Letusan gelombang VIP! 9 tahun menyepi, Bigbang sah kembali ke Kuala Lumpur sempena jelajah ulang tahun ke-20

PENANTIAN hampir sedekad peminat setia kumpulan K-Pop, Bigbang, akhirnya terjawab. Selepas sembilan tahun tidak mengadakan sebarang konsert berskala besar,...

More Articles Like This