BAHARU sahaja mengumuumkan konsert , kini kumpulan Dolla muncul dengan sebuah karya hebat berjudul ‘Here4U’ yang mengukuhkan sokongan mereka terhadap para peminat mereka yang bergelar iDOLLAs.
Lebih istimewa, lagu ini dicipta dan ditulis bersama oleh salah seorang ahli kumpulan ini sendiri iaitu Tabby.
“Semuanya bermula dari petikan muzik instrumental yang indah yang anda dengar dalam lagu itu!
“Salah seorang komposer lagu ini, Hyuk Shin memberi saya peluang untuk bersama-sama menulis lagu dan menghasilkan melodi.
“Dia dan seorang lagi komposer Chris Young, membimbing saya dengan baik sepanjang proses itu. Memikirkan konsert Dolla yang akan datang, kami rasa ia adalah waktu yang tepat untuk menghasilkan lagu khusus buat para peminat kami.
“Selepas mencipta melodi di studio, saya pulang ke rumah untuk memikirkan lirik yang sesuai dan inilah hasilnya. Inspirasi besar di sebalik Here4U adalah iDollas,” katanya.
Seperti beberapa lagu hit mereka sebelum ini, lagu ini di datangkan dalam dua versi iaitu satu dalam bahasa Malaysia yang ditulis oleh Putri Dahlia, Tabby dan Hyuk Shin.
Manakala versi bahasa Inggeris pula ditulis oleh Tabby dan Hyuk Shin.
Sabronzo, salah seorang ahli kumpulan berkata pengalaman bekerja menyiapkan lagu ini sangat menyenangkan.
“Ia sesuatu yang sangat bagus kerana penulis lagu adalah ahli kami sendiri. Visi untuk lagu ini telah diterjemahkan dengan baik di dalam dan kami berasa gembira menjadi sebahagian daripada projek yang menghubungkan semua orang secara peribadi,” kata Sabronzo.
Untuk melengkapkan lagu ini, sebuah lirik video yang menceritakan perjalanan mereka dari awal turut dihasilkan. Ia merupakan gambaran visual tentang apa yang telah mereka lalui untuk berada di tahap sekarang.
Video tersebut dihasilkan dengan gabungan aneka klip video yang telah mereka rakam menggunakan telefon bimbit masing-masing.
Sudahpun berada di laman YouTube, babak-babak indah tersebut kini dikongsi untuk tatapan seluruh dunia.
Sungguhpun sibuk mengeluarkan single baru dan sedang membuat persiapan demi konsert mereka yang akan datang, gadis-gadis itu nampaknya bakal mengumumkan lebih banyak kejutan dalam masa terdekat.
“Dolla pastinya sedang mengusahakan pelbagai rancangan untuk aneka festival yang besar sepanjang tahun ini.
“Selain itu, kami juga sedang menghasilkan muzik baharu dan juga menyusun hala tuju kami sebagai sebuah kumpulan yang ingin bergerak ke hadapan.
“Kami berharap peminat menyukai lagu ini kerana kami banyak berfikir untuk menyiapkannya, semoga peminat dapat menghayati dan memahami pesanan dalam lagu ini,” kata Angel.
Kumpulan itu juga berharap peminat mereka akan sedar bahawa lagu ini ditujukan khas buat mereka.
“Kami ingin mereka mengetahui bahawa lagu itu adalah satu penghormatan terhadap sokongan mereka yang tidak berbelah bahagi sepanjang tahun ini.
“‘Here4U’ adalah surat terbuka untuk IDOLLA kami dalam bentuk lagu,” akhiri Sabronzo dengan pesan yang tulus.

