BAPA kepada Allahyarham Along Spoon berlapang dada memaafkan bekas anggota polis, Mohd Ya’cob Demyati yang disabitkan bersalah membunuh penyanyi terkenal era 90-an itu pada 1999 lalu.
Tengku Syafie Tengku Yusof atau Pak Engku mendedahkan dirinya sudah lama memaafkan pembunuh anaknya yang sudah selesai menjalani hukuman penjara pada 16 November tahun lalu.
“Dulu lagi saya maafkan…bukan baharu tapi dulu lagi saya maafkan. Apa yang terjadi ini adalah ketentuan Allah, Allah dah tentukan macam itu, jadi macam itu lah.
“Takpelah Allah Taala sayang dia, dunia ini dia lepas lah, di sana esok (akhirat) jawablah. Ajal dan maut di tangan Allah, perkara lepas, lepaslah.
“Mungkin di peringkat awal tu saya rasa tak boleh nak terima, itu satu kesilapan daripada saya.
“Akhirnya saya kata, tak mengapalah Ya Allah, reda saja…Allah Maha Berkuasa,” katanya kepada URTV.
Pak Engku berkongsi perasaan itu ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbagan Jalinan Kasih Prihatin di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Pak Engku turut menyatakan tiada keperluan untuk dirinya berjumpa dengan Ya’cob selepas kejadian tersebut.
Walau bagaimanapun, dia berlapang dada sekiranya individu terbabit datang bertemu dengan dirinya untuk memohon kemaafan.
“Saya tak ada keinginan nak jumpa dengan dia. Hati saya dah terluka tapi tak apalah, dia punya hal, kita punya hal.
“Tapi kalau dia datang nak minta maaf, saya terima tak ada masalah. Tapi jika saya nak pergi ke rumah dia, memang tak ada lah.
“Yang dah berlalu, biarkan saja berlalu. Saya mesti ‘move on’ lah,” ujarnya.
Pada 16 November lalu, Ya’cob telah dibebaskan dari Penjara Kajang selepas hukuman pemenjaraan sepanjang hayat digugurkan kepada penjara 33 tahun atas pindaan Mahkamah Persekutuan.
Pada masa sama, Pak Engku sempat berkongsi kembali kenangan sewaktu di minta membuat pengecaman mayat arwah anaknya di hospital.
“Memang pada mula-mula saya tak boleh terima. Masa saya dipanggil untuk ke bilik mayat, untuk pengecaman mayat tu hanya tengkorak sahaja.
“Bila buat ujian asid deoksiribonukleik (DNA), ya atau tidak, tidak atau ya kita kena terima sajalah. Mayat tu memang kecil sahaja,” katanya.
Biarpun sudah 25 tahun pemergian Along atau Sabi’ul Malik Shafie, Pak Engku tidak pernah sekali pun lupa untuk mendoakan arwah yang merupakan anak sulungnya itu.
Malah, Pak Engku menyifatkan arwah seorang anak yang baik dan sentiasa mendengar kata orang tua.
“Tak pernah satu hari saya tertinggal untuk doakan arwah. Arwah anak yang sangat manja dan lemah lembut.
“Dia seorang anak yang rapat dengan ibunya. Kalau dia nampak ibunya terguris hati, waktu itu jugalah dia akan sujud di kaki ibu,” kongsinya.
Pak Engku mengakui kehilangan arwah sangatlah menyedihkan buat dirinya dan keluarga, terutama apabila lagu-lagu arwah masih sering dimainkan di pelbagai platform.
“Kadang-kadang dekat televisyen ada keluar lagu dia, saya rasa sebak.
“Setiap kali saya pergi dialisis memang akan lalu pusara arwah. Bayangkanlah bila lalu tu, sebak,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Pak Engku antara lapan penerima sumbangan menerusi program mStar Baek musim kedua.
Selain Pak Engku, tujuh lagi penerima ialah Allahyarham Jaafar Onn, Dwan Olan, Izam EYE, Isma Aliff, Iqbal Mazlan dan Norazlina Zakaria.
Mereka menerima wang tunai RM3,000 selain kad rawatan perubatan bagi membolehkan menerima pemeriksaan kesihatan percuma termasuk ahli keluarga lain di Klinik Waqaf An-Nur selama setahun yang disediakan oleh KPJ Healthcare.

