Buah Tarap atau Terap ini dikenali dengan nama saintifik Artocarpus odoratissimus, tumbuh subur di kawasan beriklim tropika di Kepulauan Borneo seperti di Sabah dan Sarawak. Buah tarap antara buah eksotik, yang digemari serta di nantikan musimnya.
Rupa buah tarap seperti cempedak, tetapi bentuknya lebih bulat dan rasanya seakan buah mangga manis. Baunya juga lebih kuat berbanding nangka dan cempedak. Buah bermusim ini hanya berbuah pada bulan Julai sehingga awal September.
Buah hutan ini berbulu lembut ketika muda dan berwarna hijau, bertukar kuning setelah masak. Buah tarap yang muda, boleh dibuat gulai seperti nangka atau ditumis goreng hidangan istimewa orang Borneo.
Isinya berwarna putih susu apabila sudah masak, dan ada juga yang berwarna merah boleh digoreng seperti cempedak. Isinya yang manis, dimakan begitu sahaja pun sedap. Biji buah tarap pula boleh direbus dan disangai, menjadi kudap-kudapan seperti makan kacang tanah. Buah tarap yang telah masak perlu dijolok dengan hati-hati, jika jatuh ke tanah terus pecah kerana kulitnya yang lembut.

Suatu ketika dahulu, buah tarap ini tidak punyai harga dan dijual di kawasan kampung dengan harga murah. Tetapi hari ini, buah tarap sudah setanding buah tempatan. Buah tarap yang sudah masak, ada yang dijual RM20 sebiji mengikuti kualiti buah. Lebih cantik isi serta buahnya, lebih mahal lagi harganya.
Daunnya yang lebar dan kasar itu, digunakan untuk melicinkan kayu dalam hasil kerja seni ukiran kayu masa dahulu. Manakala batang pokok tarap yang telah tua, sesuai dijadikan bahan binaan rumah. Daun tarap yang lebar dan besar itu pula, dijadikan bahan untuk menampal atap rumbia atau nipah bocor oleh masyarakat Kadazandusun ketika dahulu. Nah…! Kalau bercuti ke Sabah atau Sarawak, jangan lupa cari buah tarap ya…

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

