Bukan negara Islam namun menjadi lokasi mesra Muslim, Taiwan buka mata pelancong Islam

Dari Penulis

Jika disebut tentang Taiwan, antara yang ‘popular’ dikaitkan dengan negara ini sudah tentu isu geopolitik dan konfliknya dengan China yang tidak pernah berkesudahan.

Namun di sebalik itu, Taiwan yang terletak di bahagian barat Lautan Pasifik ini sebenarnya menjadi antara destinasi yang wajib dikunjungi oleh kaki melancong, tambahan pula jika anda ingin meneroka suasana baru.

Taiwan tidaklah sebesar mana. Keluasannya kira-kira 36,000 kilometer persegi, lebih kurang saiz negeri Pahang sahaja. Dua pertiga muka buminya dilitupi kawasan pergunungan. Jadi, sudah tentu banyak keindahan alam semula jadi tersimpan di negara kecil ini.

Walaupun bukan negara Islam dan penduduk Muslimnya hanya sekitar satu peratus sahaja, jangan terkejut jika Taiwan merupakan antara negara yang paling mesra Muslim di dunia.

Berdasarkan Indeks Pelancongan Muslim Global 2023, Taiwan berada di tangga ketiga dalam kalangan destinasi bukan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), di belakang Singapura dan United Kingdom. Ibu negaranya, Taipei juga pernah diiktiraf sebagai ‘Destinasi Bandar Mesra Muslim’.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Taiwan giat mempromosikan destinasi pelancongannya kepada golongan pelancong Muslim. Pertama kali penulis menjejakkan kaki ke negara berhampiran Tanah Besar China ini, memang terasa vibe ‘mesra Muslim’ yang dislogankan itu.

Penginapan, Tandas, Makanan Yang ‘Muslim Friendly’

Rupa-rupanya, terdapat banyak hotel yang cakna dengan keperluan orang Islam di sini. Hari pertama menjejakkan kaki ke sini, penulis bermalam di Century Hotel di Bandar Taoyuan.

Seiring dengan slogan ‘Muslim Friendly Travel’, dalam bilik sudah tersedia sejadah, malah ada arah kiblat. Tandasnya pula dilengkapi dengan bidet. Begitu juga makanan yang disediakan di hotel ini, ada ruangan khas untuk makanan Muslim.

Begitu juga dengan Evergreen Laurel Hotel di bandar Taichung dan Amba Hotel di Taipei, kesemuanya menyediakan keperluan khas untuk pelancong beragama Islam termasuk hidangan makanan halal. Bahkan, mereka menyediakan kelengkapan pinggan mangkuk dan sudu yang berbeza untuk orang Muslim.

Hotel menyediakan sejadah, ada juga yang turut disertakan dengan al-Quran dan jadual waktu solat. Tandas pula dilengkapi bidet.
Hotel yang mesra Muslim menyediakan makanan khas untuk pelancong beragama Islam.

Dalam perjalanan ke serata destinasi menarik, kebanyakan tandas yang penulis temui sama ada di hentian rehat dan kompleks beli belah sudah menyediakan bidet bagi memudahkan kita orang Islam untuk mencuci selepas membuang air.

Namun, perlu juga bersedia dengan botol kecil kosong dalam beg kerana kadangkala, ada juga tandasnya yang tiada kemudahan air.

Makanan Halal

Ada banyak juga restoran makanan halal di Taiwan. Paling mudah ialah makanan vegetarian atau yang berasaskan sayur-sayuran. Malah, tempat-tempat makan ini ada mempamerkan sijil halal atau sijil muslim friendly yang diiktiraf oleh kesatuan komuniti Islam di sana.

Sudah banyak restoran yang cakna dan menyediakan makanan halal untuk pelancong Islam.

Jangan risau, ada lebih 300 restoran dan hotel di Taiwan yang ada pensijilan halal. Jadi, mudah untuk pelancong Islam berkelana di negara ini. Malah, kedai-kedai serbaneka juga cukup banyak dan mudah ditemui dan turut ada menjual makanan halal.

Pada Disember 2023, kedai serbaneka Family Mart di Taiwan telah melancarkan 51 jenis produk halal yang dijual di rangkaian kedai tersebut sebagai salah satu insiatif menyokong kempen Muslim Friendly untuk para pelancong Islam.

Tempat Menarik

Penulis bersama rakan media yang lain diberi peluang untuk mengembara ke bahagian Taoyuan, Taichung dan Taipei dalam kunjungan selama 6 hari yang dibawakan oleh Hexa-Communications di bawah Lembaga Pelancongan Taiwan.

Kembara berkonsepkan eco-travel ini membawa kami menjelajah ke pelbagai destinasi menarik yang terletak dalam tiga daerah ini.

Kami diberi peluang memetik anggur segar dari ladang. Menikmati panorama indah ala-ala Eropah di Xinshe Castle, juga mengecapi keindahan alam semulajadi pantai yang menakjubkan di Gaomei Wetland beserta rumah apinya.

Memetik buah anggur dan menikmati aiskrim anggur dari ladang tersebut.

Diberi kesempatan untuk mencari oyster di ladang ternakannya yang luas terbentang di pinggir laut, dalam perkampungan nelayan Wanggong adalah suatu pengalaman yang sangat berharga.

Begitu juga apabila kami menyusuri jalan lama Lukang yang kaya dengan sejarahnya dengan berpakaian tradisional, ia antara momen-momen yang sangat berharga.

Tidak sah jika berada di Taichung namun tidak mengunjungi Miyahara, bangunan lama yang diasaskan oleh seorang doktor mata Jepun, Dr. Miyahara Tekekuma. Port ini kini menjadi salah satu bangunan bersejarah. Sambil menikmati keindahan bangunannya, jangan lupa juga untuk menikmati aiskrimnya.

Peluang mencari oyster antara pengalaman berharga.
Berpakaian tradisi sambil menyusuri daerah Lukang yang kaya dengan tinggalan sejarah antara momen yang menarik untuk dicuba.

Hendak merasa menghasilkan biskut daripada cendawan? Pengalaman ini dapat dirasai jika berkunjung ke Mushroom Tribe Leisure Farm, di mana anda boleh menyaksikan bagaimana cendawan dihasilkan dalam cara moden.

Bila berada di Taipei pula, sudah tentu wajib mengunjungi menara Taipei 101 yang suatu ketika dahulu pernah melakar sejarah sebagai bangunan tertinggi di dunia dan lif terlaju. Panorama daripada tingkat atas menara ini amat mengagumkan, menggambarkan bandar Taipei dengan gunung ganang bagaikan sebuah lukisan.

Jangan lupa juga menyusuri sejarah Beitou yang terkenal dengan kolam air panasnya. Sempat juga kami singgah di Masjid Besar Taipei. Di sini dapat dilihat komuniti Islam bukan saja terdiri daripada warga tempatan, malah juga warga asing yang bekerja dan menetap di Taiwan.

Menara Taipei 101. Pemandangan dari puncak menara ini amat mengagumkan.
Masjid besar Taipei.

Kami turut dibawa menyaksikan perasmian Festival Yehliu Geopark yang berlangsung pada waktu malam. Yehliu Geopark merupakan tapak warisan geologi terkenal di Taiwan. Hakisan gelombang, pergerakan kerak bumi, angin dan cuaca selama ratusan tahun telah membentuk landskap menakjubkan di kawasan tepi laut ini.

Pelbagai formasi batu dengan bentuk-bentuk menakjubkan ada di kawasan ini. Ada yang berbentuk seperti ular, cendawan, kepala naga dan banyak lagi. Namun yang paling popular ialah Queen’s Head.

Queen’s Head, salah satu formasi batuan unik paling terkenal di Yehliu Geopark.

Kesimpulannya, Taiwan memang banyak tempat-tempat menarik untuk dilawati. Bukan saja destinasi yang cantik, malah kaya dengan sejarah dan budayanya tersendiri.

Jangan risau, makanan mudah dicari, persekitarannya tenang, orang-orangnya ramah dan amat membantu apabila kita bertanya. Pokoknya, jika anda mahu berkelana sendirian ke Taiwan pun, tidak ada apa yang perlu ditakutkan. Ia negara yang selamat untuk anda cuba jejaki.

Tidak susah jika mahu mencari lokasi penginapan dan restoran halal. Semuanya di hujung jadi, anda boleh cari senarainya di laman web. Antaranya boleh lihat di taiwan.net.my

Cubalah berkunjung ke sini. Anda pasti jatuh cinta dengan alamnya, keindahan, budaya, sejarah dan sudah pasti, makanannya juga.

_________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

‘Lembaga hitam ganggu hubungan intim’… Pelakon akui terpaksa bercerai akibat sihir pemisah

Bukan semua keruntuhan rumah tangga berpunca daripada orang ketiga atau hilangnya rasa cinta.  Ada juga yang percaya hubungan mereka musnah...

More Articles Like This