AKTA Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 (Akta PSMB 2001) membenarkan Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) untuk membuat pelaburan mengikut prosedur dan tatakelola yang telah termaktub dari segi undang-undang.
Fakta tersebut sekali gus menyanggah dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebelum ini yang mengatakan HRD Corp telah melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan sedangkan ia bukanlah sebuah institusi pelaburan.
Peguam, Amrit Pal Singh berkata, Akta PSMB 2001 adalah sistem perundangan yang mengawal selia dan mentadbir segala perancangan dan pelaksanaan operasi pentadbiran HRD Corp.
“Seksyen 26 dalam akta tesebut memberikan kuasa untuk menubuhkan panel pelaburan Panel Pelaburan oleh menteri yang terbabit dan hendaklah terdiri daripada pengerusi lembaga, dua orang anggota yang dilantik oleh lembaga daripada kalangan anggotanya, ketua eksekutif, wakil Kementerian Kewangan, wakil Bank Negara Malaysia dan dua orang lain yang mempunyai pengalaman perniagaan dan kewangan yang dilantik oleh menteri,
“Seksyen 27 dalam akta yang sama turut memberikan kuasa untuk melabur dalam pelaburan atau sekuriti yang dibenarkan bagi pelaburan kumpulan wang amanah di bawah mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuat kuasa, dalam syer dan debentur dalam mana-mana syarikat awam yang harga bagi syer dan debentur itu disebut di bursa Malaysia atau dalam apa-apa pelaburan atau sekuriti lain sebagaimana yang diputuskan oleh panel pelaburan,
“Sudah terang lagi bersuluh, HRD Corp tidak melakukan apa-apa kesalahan dari segi undang-undang untuk membuat pelaburan atau dari segi moral juga kerana pelaburan yang dibuat telah menjana keuntungan yang besar,” katanya.
Baca artikel lain: Kedudukan kewangan stabil bantu HRD Corp perkasa program latihan
Mengulas lanjut, Amrit Pal Singh menambah, pihaknya menasihati semua pihak terutama Ahli-ahli Parlimen atau mana-mana jawatankuasa agar memahami sistem perundangan di negara ini sebelum membuat sebarang teguran.
Semalam, media melaporkan, HRD Corp mencatat keuntungan bersih pelaburan tidak nyata sebanyak RM69 juta sehingga akhir Disember 2023 dengan jumlah tersebut melibatkan 98.7 peratus daripada keseluruhan portfolio pelaburan HRD Corp yang bernilai RM3.6 bilion.
Dalam nota pembentangan pihak pengurusan kepada Lembaga Pengarah HRD Corp yang dilihat media, hanya 1.3 peratus daripada keseluruhan portfolio pelaburan HRD Corp yang mencatatkan kerugian tidak nyata sebanyak RM49 juta.
Sebelum ini, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2024 dilaporkan berkata, Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) disyorkan merujuk pengurusan HRD Corp kepada agensi penguatkuasaan yang berkaitan susulan kegagalan syarikat kerajaan itu dalam audit yang dibuat.
Menurut Wan Suraya, kementerian tersebut perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap pengurusan HRD Corp bagi ketidakaturan yang dikenal pasti.
Ia termasuk salah urus ratusan juta ringgit melibatkan geran latihan, pelaburan dan pembelian hartanah.
Pada masa sama, Mas Ermieyati ketika sidang media di Dewan Rakyat mendedahkan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 2015 meluluskan dua sistem pengurusan pekerja asing yang melaksanakan fungsi sama.
Beliau berkata, pembangunan Sistem Pengurusan Pekerja Asing Bersepadu (ePPAx) oleh Kesuma dan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) diluluskan Kabinet pada 26 Ogos 2015.
PAC mendapati Mesyuarat Jemaah Menteri meluluskan pembangunan sistem ePPAX dan FWCMS iaitu dua sistem sama berkonsepkan ‘single window’ sekali gus menyebabkan berlakunya pertindihan fungsi antara agensi dalam membangunkan sistem pengurusan pekerja asing dan pembaziran wang awam.
Laporan PAC turut mendedahkan sejumlah RM3.77 bilion hasil kutipan levi daripada majikan digunakan HRD Corp untuk melabur dalam pelbagai aktiviti pelaburan.
Dapatan itu diperoleh menerusi slaid pembentangan HRD Corp bertarikh 12 Mac 2024 seperti dinyatakan dalam laporan PAC berhubung Pengurusan Dana Latihan Dan Keberkesanan HRD Corp di bawah Kesuma.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

