KEMENANGAN besar calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil DUN Sungai Bakap , Pulau Pinang Sabtu lalu yang mempunyai hampir 40 peratus pengundi bukan Melayu menjanjikan masa depan positif untuk Malaysia.
Ketua Portfolio Perpaduan Negara PN, Halimah Ali berkata, calon PN dari Pas, Abidin Ismail yang menang dengan majoriti 4,276 undi, bukan sekadar diterima rakyat khasnya pengundi Melayu, tetapi anak-anak muda bukan Melayu juga sudah mula terbuka memberi keyakinan.

‘’Ternyata kestabilan politik dan ekonomi mestilah berakar umbi daripada sokongan padu semua kaum terbesar dalam negara ini. Sungai Bakap membuktikan politik rasis dan ekstrim tidak lagi mendapat tempat dan sebaliknya rakyat berbilang kaum mula terbuka untuk politik penyatuan nasional.
‘’Politik yang ditunjangi umat Melayu yang merupakan kelompok terbesar dalam negara dengan sokongan padu kaum-kaum lain termasuklah Cina dan India dalam suasana harmoni dan saling hormat-menghormati,’’ katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapar berkata demikian bagi mengulas kejayaan PN mempertahan kerusi DUN Sungai Bakap selepas Abidin yang mendapat 14,489 undi menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) Dr.Joohari Ariffin yang meraih 10,222 undi .
Halimah mengucapkan terima kasih kepada pengundi Sungai Bakap khususnya pengundi bukan Melayu yang mula menerima perjuangan PN.
‘’ (Pengundi ini ) tidak lagi terpengaruh dengan adu-domba dan hasutan mereka (kelompok) yang sebenarnya gagal serta tidak berupaya menguruskan nasib rakyat sebagaimana diharapkan,’’ katanya.
Beliau yang turut menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas pusat menegaskan, dengan kemenangan PN melalui calon parti itu, rakyat dapat sedar bahawa negara sebenarnya memerlukan pimpinan yang berintegriti dan bertaqwa, yang sanggup dan berupaya berjuang untuk rakyat tanpa mengira kaum atau agama.
‘’ Masa depan politik Malaysia cerah dan rakyatnya dapat hidup sejahtera aman damai kiranya kita dapat bersatu mendukung perjuangan yang meletakkan kepentingan rakyat di hadapan, bukannya yang ghairah menabur janji dan memberi harapan palsu semata-mata kerana tamakkan kuasa dan agenda peribadi.
‘’Syabas para pengundi, dan kepada rakyat Malaysia berbilang kaum, Pas ingin menghulurkan tangan persahabatan demi sama-sama kita memelihara kedaulatan dan kesejahteraan negara tercinta ini atas semangat kemenangan calon rakyat di Sungai Bakap,’’ katanya.

