SERAMAI 172 calon mewakili pelbagai parti disahkan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 selepas proses penamaan calon selesai pagi tadi.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, 172 kertas penamaan calon diterima di 56 pusat penamaan calon dan disahkan layak bertanding.
Menurut beliau, tiada pencalonan yang ditolak selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi.
Ramlan memberitahu, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing meletakkan 56 calon di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) PRN Johor.
“Perikatan Nasional (PN) pula mempertaruhkan 33 calon; 15 calon daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama); Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) meletakkan empat calon; Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing seorang dan enam calon Bebas.
“Seramai 138 calon adalah lelaki manakala 34 lagi merupakan calon wanita,” katanya.
Sementara itu, Ramlan berkata, tiga kerusi DUN menyaksikan pertembungan lima penjuru iaitu di Puteri Wangsa, Bukit Naning dan Bukit Batu.
Di Puteri Wangsa, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik diberi kepercayaan oleh PH bagi merampas semula kerusi berkenaan daripada MUDA.
Maszlee berdepan saingan calon MUDA, Rashifa Aljunied; Teow Chia Ling (BN); Nicholas Paul Vincent mewakili Bersama dan calon Bebas, Wang Wee Siong.
Bekas ADUN Bukit Naning, Md Ysahrudin Kusni pula diberi peranan oleh PH untuk memenangi semula kerusi tersebut daripada BN.
Selain beliau, tiga lagi calon merupakan muka baharu di DUN Bukit Naning ialah Mohd Ghazali Sabari (BN), Mohd Radzi Amin (Perikatan Nasional) dan Iskandar Md Alias (Parti Bersama).
Turut kembali mencuba nasib ialah calon bebas, S. Jeganathan yang pernah bertanding di kerusi sama sebelum ini namun gagal memperoleh kemenangan.
DUN Bukit Batu turut menjadi antara ‘kerusi panas’ dalam PRN Johor kali ini.
Penyandang kerusi itu, Arthur Chiong Sen Sern terus diberi kepercayaan oleh PH bagi memperoleh kemenangan kali ini.
Beliau akan ditentang calon Barisan Nasional (BN), R K Kumaran, 56; calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), M Premanand, 53, calon Parti Bersama Malaysia (Bersama), G Tamili, 30, dan calon Bebas, Datuk Kamaruzaman Ali, 63.
Pada PRN Johor yang lalu, Arthur Chiong menang dengan majoriti tipis iaitu 137 undi selepas mendapat keseluruhan 9,439 undi dalam pertandingan empat penjuru di DUN Bukit Batu.
Beliau yang juga Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kulai menewaskan Datuk S Suppayah (Barisan Nasional) 9,302 undi; Tan Heng Choon (Perikatan Nasional) 4,334 undi dan Lee Ming Wen (Parti Warisan) 1,053 undi.

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

