WALAUPUN mendapat kritikan hebat daripada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Spekar Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul kekal dengan keputusan tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen BERSATU yang berpaling tadah menyokong kerajaan.
Beliau menegaskan sudah menimbang dengan teliti mengenai perkara itu sebelum membuat keputusan termasuk membaca semua kenyataan berkaitan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
“Saya bukan posmen, bila saya menerima apa juga diberikan kepada saya…saya akan pastikan saya kaji semua.
“Malah saya baca kenyataan dalam pindaan Perkara 49 (Perlembagaan Persekutuan) itu. Keputusan kekal seperti dimaklumkan kepada (Ahli Parlimen) Beluran (Ronald Kiandee),” katanya di Dewan Rakyat.
Memetik laporan BH Online, Johari berkata keputusan dikekalkan selepas melakukan ‘siasatan’ termasuk membaca semua kenyataan berkaitan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Ronald berkata, beliau bangun bukan untuk mempertikai keputusan berkenaan tetapi mahu menuntut penjelasan bagaimana interpretasi terhadap Perkara 49(a) Perlembagaan Persekutuan kerana mendakwa Speaker tidak ada kuasa berbuat demikian.
“Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 49(a) tidak memberi kuasa kepada Tan Sri (Speaker) selain daripada untuk memastikan kekosongan dan bukan untuk membuat keputusan.
“Tetapi dalam dua utusan surat yang saya terima daripada Tan Sri, nyata sekali Tan Sri membuat keputusan malah Tan Sri membuat interpretasi terhadap Perlembagaan Persekutuan.
“Kedua-dua (keputusan terkandung dalam surat) ini melangkaui kuasa Tan Sri di bawah Perkara 49(a) Perlembagaan Persekutuan kerana dalam Perkara 49(3), Tan Sri hanya diberi kuasa untuk memastikan kekosongan dan bukan untuk membuat keputusan,” katanya.
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula berkata, mengikut Perlembagaan Persekutuan, kuasa untuk membuat interpretasi terhadap Perlembagaan itu dan mana-mana perlembagaan persatuan atau pertubuhan adalah bidang kuasa Mahkamah Persekutuan.
Beliau turut merujuk penjelasan yang diberikan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) mengenai tindakan tidak ikut keputusan parti menyebabkan ahli BERSATU terhenti keanggotaan berdasarkan perlembagan parti terbabit.
“Maka ahli tersebut dianggap telah bertukar parti dan perlu mengosongkan kerusi mereka.
“Satu lagi contoh, sekiranya ahli Dewan Rakyat mempunyai prinsip bertentangan dengan prinsip parti dan menyebabkan keanggotaannya digugurkan disebabkan perlembagaan parti tersebut (maka) berhenti menjadi ahli dan perlu bertukar kerusinya,” katanya.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pula menyokong keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang mengisytihar kekosongan di DUN Nenggiri.
Beliau turut mendakwa keputusan Speaker Dewan Rakyat itu bakal mencetuskan masalah pada masa akan datang.
“Speaker Kelantan (bersikap) betul putuskan ada kekosongan. Kemudian (wakil rakyat itu) nak lawan saya di mahkamah bahawa saya tidak hentikan keanggotaan mereka. Itulah caranya Speaker. Itulah kepastian yang harus diikuti dalam perlembagaan.
“Saya minta Tan Sri faham, keputusan Tan Sri itu keputusan yang salah…. Speaker kena jadi ‘non partisan’,” katanya yang kemudian keluar Dewan, diikuti semua Ahli Parlimen pembangkang tanpa menunggu penjelasan Johari.
Semalam, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata parti itu menerima surat makluman bertarikh 9 Julai daripada Johari bahawa enam bekas Ahli Parlimen BERSATU yang sebelum ini mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai wakil rakyat.
Enam Ahli Parlimen yang dikekalkan kedudukan sebagai wakil rakyat walaupun keahlian mereka digugurkan daripada BERSATU adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

