Bermalam di hotel semasa melakukan tugasan di luar daerah adalah perkara biasa. Namun, pernahkah anda mengalami kejadian luar biasa atau yang aneh sewaktu menginap di situ?

Saya pernah mengalaminya. Walau sudah lama berlaku, namun sampai sekarang kejadian itu masih segar dalam ingatan dan membuat saya lebih berhati-hati jika ingin bermalam di mana-mana hotel.

Kisahnya berlaku pada tahun 2010. Ketika itu, saya diajak oleh Aina, kawan serumah saya, untuk mengikutnya ke Ipoh. Aina ada program dengan bisnes jualan langsungnya di sana.

Program itu akan berlangsung selama dua hari dan Aina diberikan bilik untuk menginap. Oleh kerana hari pertama bermula pada pukul 9.00 pagi, maka Aina diberikan bilik untuk menginap pada malam sebelum program hari pertama itu. Bermakna, kami perlu tidur di bilik tersebut untuk dua malam.

Hari pertama, sementara Aina sibuk dengan programnya, waktu siang saya merayau-rayau sekitar bandar Ipoh. Malam kedua, saya keluar lagi untuk makan, kemudian singgah di restoran mamak dan menonton bola. Walaupun saya perempuan, tapi saya kaki bola. Di Kuala Lumpur, saya dan Aina sering juga  menonton bola di restoran mamak.

Sekitar pukul 10.30 malam saya balik. Bilik gelap. TAP… saya petik suis lampu.

“Eh, dah habis ke program kau, Aina?” kata saya terkejut bila lihat dia berbaring di katil dalam keadaan membelakangkan saya. Sebahagian badannya dari bahu ke bawah berada dalam selimut.

Senyap. Aina tidak menjawab sepatah pun. Hmm… tidurlah ni. Selalunya pukul 1.00 pagi baru dia tidur, tapi malam ni awal pulak. Mungkin dia penat agaknya, kata saya di dalam hati. Lantas saya biarkan saja Aina.

TAP! Saya buka penyaman udara pula. Pelik pula Aina ni, penat sangat sampai air-cond pun tak dibukanya. Kalau di rumah, dialah yang paling awal bukan air-cond.

Saya menyalin pakaian dan melangkah ke bilik air.

“Kau tak boleh sembahyang, kan?” terdengar suara Aina bertanya, perlahan.

Isy, terkejut saya. Tak tidur lagi rupanya dia.

“Ya lah… tengah banyak ni. Kan kita sama lampu merah,” jawab saya sambil memandang ke arahnya.

“Hmm… samalah kita,” balas Aina. Dia memandang saya sambil tersenyum, diiringi dengan ketawa kecil.

Saya membuka pintu bilik air, lalu memasukkan pad ke dalam plastik kecil lalu mengikatnya dengan kuat.

“Hiii… hiii… hhhiii…” kedengaran suara Aina ketawa ketika saya sedang mengikat plastik tersebut.

“Apa hal pulak kawan aku ni? Takkan tak habis-habis lagi ketawa. Lawak sangat ke apa yang aku cakap tadi?” saya berkata-kata seorang diri sambil terus memasang telinga.

Pelik. Sudahlah tak berhenti-henti ketawa, kuat pula. Bayangkan, saya yang berada di dalam air pun boleh dengar dia ketawa.

“Hoi…! Lawak sa…” kata saya sejurus membuka pintu bilik air. Belum sempat saya habiskan kata-kata, sebaik pintu dibuka, suara ketawa itu juga terhenti. Aina pula saya lihat masih tidur mengiring seperti tadi dengan mukanya menghadap ke arah dinding dan membelakangkan saya.

“Wei… jangan buat-buat tidurlah!” kata saya.

Senyap. Aina tidak menjawab sepatah pun.

“Aina… kau jangan nak buat lawaklah. Siap kau nanti!” sambung saya.

Senyap juga.

Saya masuk ke bilik air semula. Sekali lagi sewaktu saya sedang mencuci muka, kedengaran Aina ketawa. Bayangkan, saya boleh dengar dari dalam bilik air.

Lima minit kemudian saya keluar. Tapi saya lihat Aina berselubung di dalam selimut. Muka pun tidak nampak lagi. Tinggal badannya saja yang nampak berbonjol-bonjol di dalam selimut. Memang begitulah Aina. Kalau seluruh badannya di dalam selimut, maknanya dia sudah tidurlah tu.

Hendak kacau ke tidak? Saya cuit pinggang dan punggungnya. Senyap. Langsung tidak ada tidak balas.

Saya tutup suis lampu dan melabuhkan badan di katil. Baru beberapa minit baring, sewaktu fikiran terawang-awang antara tidur dengan jaga, terdengar di telinga saya bunyi sesuatu di dalam bilik air yang pintunya tadi sengaja saya buka sedikit. Tujuannya supaya cahaya lampu itu dapat menerangi bilik kami yang telah saya tutup semua lampunya.

Kriikk… kriikkk…

Bunyi plastik ditarik-tarik.  Saya cuba untuk membuka mata, tetapi ia bagaikan digam. Hendak juga saya bangun dan melihat mungkin ada tikus dalam bilik air kami, namun seluruh badan saya tidak dapat digerakkan. Hatta sebarang jari pun tidak mampu saya angkat.

Krriikk… krriikkk… Bunyi plastik ditarik-tarik terus kedengaran, dan akhirnya terhenti.  Setelah itu kedengaran suara yang amat aneh. Seperti suara orang sedang membaham sesuatu dengan gelojoh.

Bunyi plastik dikoyak-koyakkan. Dada saya berdebar. Takkan tikus pula? Mana ada tikus dalam bilik hotel. Lagi pun, tidak pernah saya dengar tikus makan dengan cara membaham dan gelojoh.

Taappp! Kedengaran bunyi pintu dibuka. Serentak itu bunyi pelik di dalam bilik air itu serta-merta terhenti. Kemudian bunyi orang melangkah masuk ke dalam bilik. Bunyi barang diletak di atas meja dan almari dibuka, jelas kedengaran di telinga saya. Namun saya tidak mampu membuka kelopak mata untuk melihatnya.

Saya hendak bangun dan bertanya macam-macam hal kepada Aina, tapi tidak boleh. Mengantuk yang amat sangat. Entah pukul berapa saya tertidur, saya tidak pasti. Sedar-sedar saja sudah pukul 8.45 pagi!

Aina? Katilnya kosong. Tentu dia sudah turun untuk sarapan dan kemudian sambung programnya.

Selepas menggeliat lebih kurang 10 minit, barulah saya turun dari katil dan terus ke bilik air. Perkara pertama yang saya lakukan ialah melihat ke dalam bakul sampah.

“Ya-Allahhh!!!” saya terperanjat.

Dua plastik berisi tuala wanita di dalam bakul sampah itu saya lihat koyak rabak. Tuala wanita yang saya dan Aina gunakan itu bagaikan dicarik-carik dengan benda tajam.

Lebih mengejutkan saya, terdapat banyak lendir kuning pada plastik, tuala wanita dan tong sampah tersebut.

Darah saya berderau. Aina? Takkan Aina yang lakukan semua ini. Mustahil. Takkan ada manusia normal hendak menyentuh benda yang kotor dan najis. Mustahil juga ada manusia yang waras hendak mencarik-carik benda yang telah diikat kemas.

Seperkara lagi, cecair apa pula yang berwarna kuning likat ini? Muntah? Bukan… ia bukan muntah. Tekak saya mula loya dan… uweeekkk! Saya termuntah.

Selepas mandi lebih kurang, saya terus tutup bilik air dan memanggil pekerja hotel untuk membawa kotoran itu keluar.

Aina balik ke bilik sekitar pukul 11.30 pagi dan kami check-out. Di dalam kereta, saya ingatkan hendak bertanya kepada Aina tentang apa yang saya lihat di dalam bilik air. Tetapi belum sempat bertanya, Aina terlebih dahulu membuka mulut.

“Kenapa kau koyak-koyakkan plastik dan hancurkan pad dalam bilik air tu?” dia bertanya.

Saya terkejut. Saya pandang Aina, “Eh… bukan kau ke yang buat benda tu?” saya bertanya padanya semula.

Kali ini Aina pula memandang saya. Matanya terbuntang. “Azie… apa yang kau cakap ni? Meremang bulu roma aku ni,” Aina lantas menunjukkan liang-liang roma yang timbul di lengannya.

Lantas saya ceritakan kepada Aina apa yang berlaku malam tadi. Aina memandang saya. Raut wajahnya menampakkan dia betul-betul terkejut.

“Weii… kau biar betul! Semalam aku keluar bilik pukul 7.45 malam untuk dinner. Lepas tu kita orang ada perbincangan tentang produk-produk baru syarikat, perancangan group dan macam-macam lagi. Aku balik dalam pukul 12.30 malam,” jelas Aina.

Kalau begitu, siapa yang saya lihat tidur di katilnya? Siapa yang ketawa tak henti-henti semasa saya di dalam bilik air? 

“Aku tak tau,” jawab Aina.

Ya-Allah…  

“Eh… bukan kau ke, Azie? Sebab tu aku tanya kau!” balas Aina.

Saya rasa kalau ada lalat di dalam kereta kami, sudah pasti lalat itu akan masuk ke dalam mulut saya yang sedang terlopong.

“Aduh, pening kepala aku ni. Aku ingatkan kau yang buat benda tu, tapi sekarang kau kata aku pulak. Jadi, siapa yang buat?” saya lemparkan pertanyaan itu kepadanya.

Aina menggaru kepalanya. Menurut Aina, malam tadi sebaik masuk ke bilik, dia menukar baju, masuk bilik air untuk tukar padnya,  dan terus tidur. Ketika hampir terlena, dia terdengar saya bangun dari katil. Kemudian, sayup-sayup dia terdengar saya bertanya, “Kau tak boleh sembahyang, kan?”

Tambah Aina, dia ingin menjawab pertanyaan saya itu, tetapi tidak berdaya. Matanya bagaikan digam.

“Aku dengar kau masuk bilik air. Lepas tu aku dengar bunyi kau koyak-koyakkan plastik yang ada pad kita. Itu tak apa lagi, yang aku seram, aku dengar bunyi kau ketawa dalam bilik air tu,” cerita Aina.

Tambah Aina, kalau boleh dia ingin bangun dan buka pintu bilik air dan tanya kenapa saya buat semua itu, tapi badannya seperti ditindih dengan batu yang sangat besar. Mata tak dapat dibuka, sendi bagaikan dikunci. Badannya tak dapat digerakkan.

“Lepas semua tu berhenti, lebih kurang dalam dua tiga minit, aku dengar bunyi pintu bilik air ditutup dan kau baring semula di katil. Aku terus terlelap. Pagi tadi masa masuk bilik air, aku terperanjat bila tengok bakul sampah berselerak dan ada lendir-lendir kuning tu. Tapi sebab nak cepat, aku tak sempat nak bersihkan,” cerita Aina panjang lebar.

Dada saya berdebar mendengar ceritanya. Maknanya? Habis… kalau macam tu malam tadi kami sama-sama telah dikelirukan!

Nasihat saya untuk orang perempuan, kalau anda period dan ketika itu berada di tempat baru yang anda tidak ketahui latar belakangnya, berhati-hatilah…

Oleh: Rosmahaizie Rosman, Kuala Lumpur.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterWhatsAppTelegramLinkedInCopy LinkShare