OLEH: KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI
MAJLIS Perundingan Melayu (MPM) kurang setuju dengan pandangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bahawa tidak munasabah untuk menutup George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) yang dikaitkan dengan isu kontroversi video melawat Pulau Pinang.
MPM berpendapat sebenarnya GTWHI terlebih dahulu telah bertindak tidak munasabah dengan menafikan iaitu membuat slot video tanpa kisah peribumi asal Pulau Pinang iaitu orang Melayu (majoriti di negara ini) yang telah membuka Pulau Pinang sebelum Francis Light tiba.
Sangat tidak munasabah dan meragukan jika fakta sejarah lama yang sangat jelas telah terlepas pandang. Hal ini tidak dapat dimaafkan dengan begitu mudah.
Kita bimbang jika ada agenda halus untuk melupuskan fakta sejarah yang sebenar. Hal ini mengingatkan penulis yang pernah dimaklum oleh seorang sahabat yang pernah berkursus di sebuah negara jiran yang pada awalnya telah ditayangkan video sejarahnya iaitu tentang ketibaan beberapa orang pelbagai bangsa yang bersama-sama mendayung sampan ke pulau tersebut.
Tidak tersebut langsung nama besar seperti Sang Nila Utama yang mendahului seorang Inggeris yang turut dikisahkan. Jika hal ini disengajakan, jelas berkemungkinan ada sesuatu yang tidak patut dilakukan apatah lagi oleh badan yang khabarnya berwibawa dan berautoriti.
Walaupun pihak berkenaan telah memohon maaf dan seorang timbalan menteri telah mengingatkan bahawa hal tersebut tidak perlu dipanjangkan tetapi mengikut kronologi pelbagai peristiwa sebelum ini, permohonan maaf sudah tiada nilai lagi, semacam sudah menjadi mainan sahaja.
Banyak kesilapan yang dibuat berkali-kali kemudian disusuli dengan permohonan maaf, lalu semacam dipaksa dan dianggap selesai. Begitulah maaf itu dikira terlalu murah.
Aneh, malah kerap juga kesalahan diterbalikkan kepada pihak yang sepatutnya dimohon maaf. Sejarah tidak pernah berbohong dan janganlah sejarah dibohongi demi agenda tertentu.
Janganlah jadikan maaf sebagai permainan dalam era kini. Semua rakyat sedang memerhati apa yang berlaku dan ini bukan era 60-an lagi.
Sejarah sepatutnya bukan milik sesiapa yang menang tetapi sejarah perlu benar faktanya untuk menjadi teladan agar segala keburukan terdahulu tidak diulang oleh kita atau pemimpin masa ini dan masa depan.
Baca artikel lain: Pemuda Pas Pulau Pinang desak tukar Pengerusi PN negeri
Sehubungan dengan itu Ketua Menteri juga, menurut Bernama pada 19 Julai dilaporkan berkata bahawa nama George Town tidak perlu ditukar, sudah lama diguna dan pelbagai alasan lagi yang kononnya wajar di samping banyak lagi nama lain yang katanya berbau warisan penjajah.
Beliau patut sedar bahawa maruah negara ini perlu diletak di atas sekali berbanding sifat atau sikap mengagungkan penjajah yang wajib dikikis daripada minda rakyat apatah lagi pemimpin sebagai tanda benar-benar mencintai jari diri dan citra sebenar negara Malaysia.
Mengapa perlu mengikut yang lain pula jika jelas hal itu tidak wajar. Pemimpin perlu membuat tindakan yang betul. Nama yang wajar wajib berjati diri negara ini.
Justeru nama George Town wajib ditukar kepada Tanjung atau Tanjung Penaga nama lamanya, Butterworth kepada Bagan. Kedua-dua nama tersebut memang lebih mesra di bibir rakyat di utara khasnya Pulau Pinang dan Kedah sejak tahun 60-an hingga kini.
Penulis juga orang utara dan membesar dengan saudara mara di kedua-dua buah negeri. Janganlah dianggap ini isu parti (kebetulan baru-baru ini Pas yang mencadangkan) kerana isu ini telah berkali-kali dipandang sejak tahun 80-an.
Hanya kedegilan sejarah dan minda ketaksuban penjajah maka belum dipinda lagi. Banyak juga yang telah bertukar nama. Mungkin beliau pun tak ingat lagi di mana Jesselton, Port Weld, Bukit Maxwell dan beberapa lagi. Malah telah banyak pihak mencadangkan semua nama yang berbau penjajah ditukar.
Wahai Ketua Menteri Pulau Pinang, jadilah suri teladan yang berjiwa besar dan mendahului pada era kerajaan Madani ini dengan tindakan menukar dua nama tersebut dahulu agar diikuti oleh pemimpin lain dan bukannya menunggu pemimpin lain menukar nama di tempat lain dahulu sebagai helah untuk terus berdegil.
Ini negara kita, bukan England atau Jerman.
Penulis adalah Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani, Majlis Perundangan Melayu (MPM)
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

