Alangkah bertuahnya kita jika menjadi seperti Uhud yang diakui cintanya oleh Rasulullah SAW

Dari Penulis

Bukit Uhud merupakan sebuah bukit setinggi 1077 meter yang terletak di utara kota Madinah. Di sini juga lokasi berlakunya Perang Uhud pada tahun 625 Masihi. Di Jabal Uhud dikebumikan 70 orang yang gugur syahid di dalam peperangan Uhud.

Jabal Uhud sering dikaitkan dengan berbagai-bagai cerita. Sering mutawif menceritakan bahawa Jabal Uhud adalah salah satu gunung-gunung syurga selain Jabal Thur, Nur dan Qubis.

Namun yang jelasnya ada satu hadis Rasulullah s.a.w, dari Abu Humaid katanya: “Kami pergi berperang bersama-sama Rasulullah s.a.w dalam peperangan Tabuk. Ketika kami sampai di Wadil Qura, Rasulullah s.a.w bersabda” Aku ingin cepat-cepat. Siapa yang ingin cepat ikutlah bersama ku dan siapa yang mahu lambat boleh tinggal. Lalu kami pergi lebih dahulu. Tatkala kami telah dekat akan sampai ke Madinah beliau bersabda: “Itulah kita Thabah dan ini bukit Uhud. iaitu sebuah bukit yang mencintai kita dan kita mencintainya.”(HR Muslim).

Di sini boleh dikaitkan bahawa Nabi s.a.w dicintai bukan saja manusia yang bernyawa tetapi juga oleh benda yang tidak bernyawa.  Benda yang tidak hidup, batu, bukit, pohon tamar dan tunggul juga mencintai nabi. Pernah suatu ketika tunggul kurma menangis kerana Rasulullah sudah tidak lagi menggunakannya sebagai mimbar.

Samalah dengan Jabal Uhud yang Nabi katakan pada para sahabat bahawa Uhud mencintai aku dan aku mencintainya. Rasulullah pernah memanjat Uhud bersama Abu Bakar, Umar dan Uthman ketika itu Uhud bergegar.

Daripada Anas bin Malik, katanya,  Rasulullah pernah memanjat bukit Uhud bersama Abu Bakar, Umar dan Uthman, lalu bukit Uhud bergegar. Rasulullah berkata, “Tenanglah wahai Uhud! Kerana di atas mu ada Pesuruh Allah, as-Siddiq dan dua orang syahid (Umar dan Uthman,”(HR Bukhari)

Uhud juga sering digunakan oleh Rasulullah s.a.w untuk membuat bandingan yang besar tentang pahala kerana ia adalah bukit yang paling besar di Madinah. Misalnya apabila Nabi bercerita tentang pahala menziarahi jenazah hingga dikebumikan dikurniakan pahala sebesar Uhud.

“Sesiapa yang menghadiri jenazah sehingga selesai solat, dia mendapat pahala seberat satu qiraat. Sesiapa yang menghadiri jenazah sehingga selesai dikebumikan dia mendapat pahala seberat dua qiraat. Ditanya, “Apa maksud seberat qiraat? Jawab baginda, seperti bukit Uhud.”(HR  Ibnu Majah).

Maknanya, pahala orang yang mengiringi jenazah sampai dikebumikan akan mendapat pahala sebesar dua bukit Uhud. Kemudian ada satu lagi hadis yang juga menggunakan Bukit Uhud sebagai perbandingan. Nabi pernah menghalang orang mencerca para sahabat, kata Nabi: “Jangan kamu cerca sahabat ku, kalaulah kamu menginfakkan harta sebesar bukit Uhud sekali pun tidak akan sama infak para sahabat.

Pun begitu, ada juga hadis daif yang sering digunakan oleh mutawif untuk bercerita tentang bukit Uhud kepada jemaah haji dan umrah. Ada yang mengatakannya salah satu gunung syurga dan dari taman syurga.

Hadis yang mengatakan bukit Uhud terletak di atas salah satu taman di dalam taman syurga adalah daif. Sanadnya lemah kerana ada salah seorang perawinya daif. Ada ulama yang mengatakan ia daif yang melampau. Namun kebanyakan ulama mengatakannya daif.

Begitu juga dengan hadis yang mengatakan Uhud adalah salah satu daripada empat bukit dari bukit syurga juga daif. Hadis yang sahih hanyalah hadis yang mengatakan, “dia mencintai aku dan aku mencintainya”

Hanya dua benda saja yang betul-betul dari syurga iaitu Hajarulaswad dan Raudah. Kedua-dua hadis yang menyebut tentangnya memang sahih. Yang lain kebanyakannya daif. Malangnya, apabila kita pergi haji dan umrah, hadis daif tentang Bukit Uhud inilah yang sering diperdengarkan untuk menarik perhatian.

Bukti cinta nabi

Hikmah Nabi mengatakan, “Uhud mencintai aku dan aku mencintainya.” Cuba bayangkan ayat itu dilafazkan kepada manusia, maka sudah pasti jaminannya adalah syurga. Perkataan itu tidak ternilai harganya walaupun ditukarkan dengan segunung emas berbanding mendapat cinta Nabi. Kita adalah orang yang paling bahagia apabila menerima ucapan yang sama seperti Nabi ucapkan pada Uhud.

Pernah berlaku satu peristiwa semasa zaman Rasulullah. Semasa peperangan Khaibar, pada suatu malam Rasulullah mengumpulkan semua tentera Islam lalu berkata, “Demi Allah , esok aku akan menyerahkan bendera kepada seorang lelaki yang dicintai Allah dan pesuruhnya dan dia juga mencintai Allah dan pesuruhnya.

Sejak malam itu tentera Islam tertanya-tanya di tangan siapakah bendera itu akan diserahkan. Hinggakan Umar berkata, “Tidak pernah aku menginginkan jawatan kecuali hari ini kerana Muhammad mengatakan bahawa orang itu dicintai Allah dan rasulnya.”

Esok paginya semua tentera Islam menunggu-nunggu siapakah orang yang akan dipilih oleh Rasulullah. Masing-masing menunjukkan diri agar dipilih oleh Rasulullah. Pagi itu Nabi bertanyakan di mana Ali. Maka para sahabat mengatakan bahawa Ali sakit mata dan berada di belakang tentera Islam.

Ali tidak pernah terlintas langsung bahawa Rasulullah akan menyerahkan bendera itu kepadanya. Nabi menggesa para sahabat memanggil Ali lalu dia meludah mata Ali. Dan, mata Ali pun sembuh seolah-olah tidak pernah mengalami kesakitan.

Kalau para sahabat boleh berbunuhan untuk mendapatkan pengakuan Nabi bahawa “aku juga mencintainya” tiba-tiba perkataan yang sama Nabi lafazkan kepada Uhud. Rasanya kita pun sudah faham di mana kedudukan Uhud itu.

Memang benar Nabi mencintai umatnya namun untuk mendapatkan pengakuan lisan yang secara khusus untuk kita saja, itu yang sukar. Orang yang sudah diakui oleh Nabi akan cintanya adalah syurga tempatnya.

Cinta yang dilafazkan pada Uhud itu sudah membuktikan kedudukan Uhud itu sendiri. Tidak perlulah pergi ke Uhud untuk berdoa meminta sesuatu ataupun makan daun atau rumput yang terdapat di bukit Uhud agar dikurniakan apa yang dihajati. Itu semua syirik.

Apa yang lebih penting saksikanlah benda tidak bernyawa yang menyatakan rasa cintanya kepada Nabi dan Nabi pun menyatakan rasa cintanya. Alangkah bertuahnya kita jika menjadi seperti Uhud yang diakui cintanya oleh Nabi.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Kecoh dakwaan Kuil Ular jadi tempat memohon hajat orang Islam, Malar dedah cerita sebenar

Isu berkaitan sebuah rumah ibadat yang dikenali sebagai Kuil Ular kembali menjadi perbualan di media sosial. Sebelum ini, Mastika mendapat...

More Articles Like This