Malaysia raih pingat pertama, Aaron-Wooi Yik pamer aksi luar biasa pertahan gangsa

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

MALAYSIA akhirnya berjaya meraih pingat pertama dalam Sukan Olimpik Paris 2024 selepas beregu utama lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menumbangkan pasangan dari Denmark di penentuan pingat gangsa, sebentar tadi.

Kemenangan itu sekali gus menyaksikan pasangan nombor tiga dunia itu mempertahankan pingat gangsa yang dimenangi sewaktu penampilan sulung di Olimpik Tokyo 2020.

Dalam aksi di Porte de La Chapelle Arena, Paris, Aaron-Wooi Yik menonjolkan aksi menakjubkan apabila mengatasi cabaran beregu nombor dua dunia, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 16-21, 22-20, 21-19.

Perlawanan sengit antara kedua-dua beregu handalan itu berlangsung selama 74 minit.

Astrup-Rasmussen menguasai pada awal set pertama apabila mendahului perlawanan sehinggalah interval pada kedudukan 11-8.

Walaupun Aaron-Wooi Yik bangkit memperkemaskan prestasi mereka dengan memperoleh mata demi mata tetapi pasangan Denmark itu terlalu ‘kebal’ apabila berjaya menutup set pertama dengan kemenangan 16-21 dalam tempoh 21 minit.

Awal set kedua menyaksikan Astrup-Rasmussen meneruskan persembahan cemerlang pada set pertama dengan permainan pantas sehingga beberapa kali memerangkap pasangan negara.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik mula memperoleh momentum positif dan mendapat kelebihan pada pertengahan set kedua 11-9.

Baca artikel lain: Paris 2024: Aaron-Wooi Yik hadapi misi pertahan gangsa malam ini

Namun begitu, Astrup-Rasmussen kembali mengejar sehingga pada satu ketika berada di kedudukan akhir 20-16.

Berada di ambang kekalahan tetapi beregu utama lelaki negara itu menampilkan semangat juang tinggi untuk bangkit.

Aaron-Wooi Yik kemudiannya seolah-olah memperoleh tonik ajaib sehingga berjaya memadamkan empat mata akhir itu dan menang 22-20.

Pertukaran mata demi mata terus berlaku dalam set ketiga apabila terikat 5-5 sebelum pasangan beregu negara mengorak langkah melebarkan kedudukan 11-7.

Giliran Astrup-Rasmussen kemudiannya mencetuskan debar apabila mendahului 18-17 akibat beberapa kesilapan pemain negara.

Ketenangan dipamerkan Aaron-Wooi Yik membuahkan hasil sekali gus memenangi set ketiga 21-19 dan mengesahkan pingat gangsa.

Kejayaan menundukkan pasangan Denmark itu juga bermakna Aaron-Wooi Yik melebarkan rekod pertemuan kepada lapan daripada 12 perlawanan.

Di Tokyo 2020, Aaron-Wooi Yik yang merupakan juara dunia 2022 berjaya menewaskan beregu Indonesia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan untuk membawa pulang pingat gangsa.

Aaron-Wooi Yik terlepas peluang untuk menukar warna pingat ke emas atau perak, selepas tewas 19-21, 21-15, 17-21 kepada beregu utama dunia Liang Wei Keng-Wang Chang dari China dalam pertarungan separuh akhir yang sengit, Jumaat lalu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Pemuda 23 tahun jatuh 9 meter ketika baiki silo di Ipoh

SEORANG pekerja kilang berdepan detik cemas apabila terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter ketika menjalankan kerja pembaikan di sebuah...

More Articles Like This