Aaron Chia yang bergandingan bersama Teo Ee Yi

“Menang sama-sama, kalah pun sama-sama”. Itulah pendapat pemain badminton bergu negara, Aaron Chia ketika mengulas mengenai kekalahan Malaysia kepada India 2-3 dalam perlawanan suku akhir Piala Thomas 2022 di Impact Arena, Bangkok, Thailand, malam tadi.

Pemain tersebut berkata, seluruh pasukan bertanggungjawab di atas kekalahan berkenaan dan tidak perlu menyalahkan mana-mana pemain.

“Secara keseluruhannya, pemain menunjukkan semangat kerjasama sepasukan yang tinggi dan kami sudah cuba untuk memberikan yang terbaik.

“Tidak perlu salahkan sesiapa di atas kekalahan itu atau barisan pemain yang diturunkan. Kita hanya perlu terima hakikat yang kami tewas kepada pasukan yang lebih baik (India) dan kami menang ke atas pasukan yang kuat (Jepun).

“Kami semua membuktikan betapa kami boleh tewas kepada pasukan yang kuat tetapi dalam masa yang sama menang ke atas pasukan yang kuat juga,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Sehari sebelum kekalahan di tangan India, skuad negara mempamerkan prestasi luar biasa apabila melakar kemenangan ke atas Jepun 3-2 dalam aksi terakhir Kumpulan D sekali gus muncul juara kumpulan.

BERITA BERKAITAN Piala Thomas: Malaysia tewaskan Jepun, muncul juara Kumpulan D

Bagaimanapun, momentum berkenaan gagal diteruskan dengan hanya jaguh perseorangan lelaki, Lee Zii Jia dan Aaron yang bergandingan bersama Teo Ee Yi selaku beregu kedua menyumbangkan mata kepada pasukan dalam pertemuan dengan India.

Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang diturunkan sebagai beregu pertama selain Ng Tze Yong (perseorangan kedua) dan Leong Jun Hao (perseorangan ketiga) gagal menyumbang mata apabila tewas di tangan lawan masing-masing.

Kekalahan menyaksikan Malaysia terpaksa menunggu dua tahun lagi bagi menamatkan kemarau panjang kejuaraan Piala Thomas selepas kali terakhir menjulang trofi berprestij berkenaan pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Sejak itu, pencapaian terbaik skuad negara adalah empat kali muncul naib juara pada edisi 1994 di Jakarta, Indonesia, 1998 di Hong Kong, 2002 di Guangzhou, China dan 2014 di New Delhi, India.