Deklarasi Gombak: Memperjuangkan kesucian kehidupan manusia dan mengakhiri genosid

Dari Penulis

Oleh AZRIL MOHD AMIN

PADA Persidangan Organisasi Masyarakat Sivil (CSO) yang dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva awal April lalu, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) telah mengeluarkan kenyataan tegas mengutuk perlakuan Israel terhadap rakyat Palestin.

Bagi CENTHRA, tindakan Israel bukan sahaja melanggar hak asasi manusia yang fundamental tetapi juga mencabar kesucian kehidupan manusia.

Di persidangan tersebut, Romil Shamsuddin yang merupakan Pengarah Advokasi CENTHRA, telah menegaskan bahawa kerjasama antara organisasi masyarakat sivil (CSO) amat penting untuk menamatkan pendudukan apartheid dan genosid yang dilakukan oleh Israel.

Beliau juga menegaskan betapa pentingnya bagi semua negara anggota PBB untuk meningkatkan tanggungjawab masing-masing bagi melindungi dan mencegah bahaya berterusan yang dihadapi oleh rakyat Palestin.

“Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa PBB bagi Pelaksanaan Hak Asasi Rakyat Palestin kerana mengadakan pertemuan penting ini, yang melibatkan pelbagai organisasi masyarakat sivil antarabangsa. Kerjasama ini memainkan peranan penting dalam memupuk solidariti global untuk menamatkan pendudukan apartheid dan genosid oleh Israel, serta meningkatkan tanggungjawab negara anggota untuk melindungi dan mencegah bahaya berterusan kepada rakyat Palestin,” ujar Romil.

Beliau juga menarik perhatian kepada situasi mendesak mengenai nilai kehidupan manusia di Gaza. “Jumlah kematian yang mengejutkan sebanyak kira-kira 32,623 orang dan jumlah kecederaan yang membimbangkan sebanyak 75,092 penduduk Gaza menunjukkan betapa seriusnya keadaan tersebut. Perlakuan Israel terhadap rakyat Palestin bukan sahaja melanggar hak asasi manusia tetapi juga mencabar kesucian kehidupan manusia itu sendiri,” tambahnya.

CENTHRA telah mengusulkan nilai standard untuk kehidupan manusia agar diterima pakai dan menyarankan pelaksanaan persamaan penilaian monetari untuk menilai kesan tindakan Israel terhadap potensi dan pembangunan Palestin, meskipun ia bukan satu-satunya ukuran nilai kehidupan manusia.

“Kita mesti menekankan kepentingan untuk memegang Israel bertanggungjawab atas nyawa yang hilang dan kerosakan yang ditimbulkan oleh pendudukannya,” kata Romil.

Beliau juga menyeru komuniti antarabangsa untuk menguatkuasakan resolusi-resolusi PBB, termasuk Resolusi Majlis Keselamatan PBB 242 dan 338, yang menuntut pengunduran Israel dari wilayah-wilayah yang diduduki sejak Perang Enam Hari, serta pelbagai resolusi Majlis Hak Asasi Manusia PBB yang mengecam pendudukan Israel dan tindakan kekerasan terhadap rakyat Palestin.

Hasil intervensi CENTHRA dan kecaman global

Pernyataan CENTHRA di Geneva dan gesaan mereka untuk tindakan antarabangsa membuahkan hasil dengan pengisytiharan Deklarasi Gombak pada 24 Julai lalu oleh Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak. Deklarasi tersebut diumumkan sempena persidangan anjuran ISTAC-IIUM dengan Kerjasama CENTHRA di kampus UIAM, Gombak, Selangor, bertujuan mengangkat tema-tema penting berkaitan genosid dan hak asasi manusia.

Deklarasi Gombak merupakan hasil usaha kolektif untuk menyatukan komuniti global, masyarakat dan organisasi dalam satu pendirian tegas menentang genosid, pada masa yang sama menekankan nilai kehidupan manusia.

Persidangan tersebut, yang pertama kali diadakan di Malaysia oleh universiti dengan kerjasama CSO, meneliti asas falsafah, agama dan etika yang menyokong kesucian dan nilai kehidupan manusia.

Deklarasi yang terhasil menegaskan tanggungjawab moral dan perundangan untuk memastikan para pelaku genosid bertanggungjawab atas tindakan mereka.

Deklarasi Gombak tidak hanya tertumpu pada isu Gaza tetapi juga mencakupi tindakan genosid di seluruh dunia. Sebagai contoh, tragedi yang berlaku di Srebrenica pada tahun 1995 diakui sebagai genosid oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) serta tindakan genosid terhadap orang Rohingya di Myanmar yang sedang disiasat oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Deklarasi ini menekankan keperluan mendesak untuk membentuk rangka kerja antarabangsa yang mengukuhkan kesucian dan nilai kehidupan manusia.

CENTHRA turut mengutuk tindakan dehumanisasi yang dilakukan oleh media antarabangsa, yang sering memperlihatkan rakyat Palestin sebagai “bukan manusia” atau “manusia seperti haiwan.” Laporan dari media seperti CNN dan BBC sering menggambarkan kematian rakyat Palestin sebagai kurang signifikan dibandingkan dengan kematian rakyat Israel, Eropah atau Amerika. Pandangan ini menyumbang kepada naratif media dan budaya popular yang memperkuat diskriminasi dan ketidakadilan.

Genosid yang dilakukan dalam abad ke-21 ini merupakan bencana besar bagi kemanusiaan. Walaupun kita berbangga dengan kemajuan sains dan teknologi, jelas bahwa pencapaian seumpama ini sering kali mengabaikan nilai-nilai kemanusiaan. Melalui Deklarasi Gombak, CENTHRA menegaskan bahawa nilai kehidupan manusia tidak dapat diukur dengan pertimbangan ekonomi atau utilitarian semata-mata. Sebaliknya, nilai kehidupan setiap individu adalah tidak ternilai dan tidak dapat disangkal, tanpa mengira kaum, etnik, agama, jantina atau ciri-ciri lain.

CENTHRA menyeru semua negara untuk mengambil langkah yang sesuai bagi melindungi dan menegakkan hak untuk hidup bagi semua individu di bawah bidang kuasa mereka. Segala tindakan yang mengancam atau melanggar hak untuk hidup melalui genosid dan kekejaman mesti dikecam tanpa syarat. Pelaku mesti dihukum sepenuhnya mengikut undang-undang antarabangsa, seperti Konvensyen Pencegahan dan Penghukuman Kejahatan Genosid tahun 1948.

Kesan genosid melangkaui kehilangan nyawa yang segera, dengan kehancuran sosioekonomi, kehilangan rumah dan trauma psikologi yang berpanjangan.

Oleh itu, CENTHRA menggesa PBB untuk segera memperkuat rangka kerja undang-undang antarabangsa mengenai genosid dengan menerimapakai dan melaksanakan aspek “Kos Genosid” yang diusulkan dalam deklarasi ini. Semua negara mesti melaksanakan inisiatif pendidikan dan kesedaran yang efektif, kerana mereka penting dalam memupuk budaya yang menghormati kehidupan manusia, mencegah dehumanisasi dan mempromosikan perdamaian yang berkelanjutan.

CENTHRA mengakui pentingnya tindakan kolektif dan solidariti antara masyarakat sivil, negara dan organisasi antarabangsa untuk mewujudkan dunia di mana martabat manusia dipertahankan dan kesucian hidup dihormati.

CENTHRA juga menyeru Kerajaan Malaysia agar memimpin usaha untuk meyakinkan semua negara anggota PBB untuk mengesahkan komitmen mereka dalam menegakkan prinsip-prinsip yang dinyatakan dalam Deklarasi Gombak.

Malaysia perlu meningkatkan kerjasama dalam usaha untuk mencegah dan bertindak balas terhadap tindakan kekejaman dan genosid.

Deklarasi Gombak berpotensi mengubah kesadaran global dalam memerangi genosid dengan menetapkan peraturan dan melaksanakan kompensasi oleh pelaku, tidak kira di mana juga ia terjadi.

Dengan kemajuan teknologi dan komunikasi, dunia kini menyaksikan kekejaman yang tidak dapat dibayangkan. Dunia memerlukan piagam baru mengenai kesucian dan nilai kehidupan manusia dalam konteks genosid.

Kini, lebih 70 tahun setelah Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), dunia memerlukan piagam baru untuk memastikan bahwa kesucian dan nilai kehidupan manusia dihormati dan dilindungi.

  • * PENULIS merupakan Pengasas dan Pengerusi Pusat Penyelidikan dan Avokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Konflik Asia Barat: Rakyat perlu sedia hadapi gelombang kenaikan kos hidup

KONFLIK Asia Barat yang membawa kepada krisis tenaga global memberi kesan ketara kepada fiskal negara, sekali gus mencetuskan kebimbangan...

More Articles Like This