KERJASAMA daripada pemain industri dan pihak swasta amat penting bagi membolehkan Malaysia kembali mencapai status sebagai Harimau Asia, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau ini, pemain industri perlu terus meningkatkan usaha agar sentiasa di hadapan dengan aktiviti perniagaan lebih kreatif dan inovatif.
“Kita perlu bersama-sama kembalikan Malaysia sebagai sebuah negara cemerlang bukan sahaja dalam kedudukan politiknya tetapi lebih utama ialah kedudukan ekonomi yang akhirnya akan memberi kemakmuran kepada negara dan kesejahteraan rakyat kita.
“Kalau kita tidak bersatu dalam tindakan kita, kita tidak akan mampu untuk bergerak sebagai sebuah negara yang berjaya pada masa akan datang. Jadi, marilah kita menjadikan Malaysia ini sebagai Harimau Asia yang baharu,” katanya pada Anugerah Industri Malaysia (MINDA) 2024, malam tadi.
Anugerah yang dianjurkan buat kali kedua oleh Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) itu adalah bagi mengiktiraf 36 usahawan dan syarikat cemerlang dalam pencapaian membina perniagaan mereka seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara.
Baca artikel lain: Tingkatkan kemahiran kerja untuk kembalikan status Harimau Asia – Fadillah
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa; Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan dan Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata kerjasama semua pihak amat penting bagi melengkapkan pelbagai usaha dan dasar Kerajaan MADANI dalam mengembalikan keyakinan pelabur terhadap kekuatan ekonomi serta kewangan negara.
Beliau berkata kerajaan telah berusaha menjamin kestabilan politik dengan memperoleh sokongan lebih dua pertiga di Parlimen dan mengatur gerak pelbagai langkah ekonomi baharu bagi mengukuhkan kedudukan ekonomi negara.
“Dari situ kita nampak bagaimana keyakinan pelabur kepada Malaysia (kembali) seterusnya membuktikan negara sekarang ini menjadi tarikan di peringkat Asia.
“Dasar sudah kita (kerajaan) laksanakan. Sekarang ini untuk kita perlu fokus kepada pencapaian kita dari segi pelaksanaan dan pihak swasta perlu bersama-sama membangunkan negara supaya kita boleh mencipta kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang,” katanya.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

