KETUA Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh membidas Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Teresa Kok berhubung isu komik Inisiatif Jalur dan Jalan Merah Manfaat Bersama (BRI).
Muhamad Akmal menerusi hantaran di media sosial menempelak kenyataan Teresa yang mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu tidak menghormati keputusan mahkamah berhubung status pengharaman komik tersebut.
Tegas Muhamad Akmal, beliau hanya meminta kerajaan untuk memohon semula semakam keputusan mahkamah tersebut.
Jelas beliau, ia selaras dengan kuasa sedia ada Mahkamah Persekutuan mengikut kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 kerana isu tersebut begitu sensitif dalam kalangan orang Melayu.
“Siapa kata kami tidak menghormati keputusan mahkamah?
“Tetapi menghormati keputusan mahkamah tidak bermakna kami bersetuju dengan keputusan tersebut
“Kepada Teresa Kok, jika tidak faham juga apa yang dimaksudkan sila beritahu, saya boleh lukiskan ataupun boleh terjemah dalam bahasa Cina,” katanya.
Terdahulu, Teresa menyifatkan kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi Muhamad Akmal menunjukkan mereka tidak menghormati keputusan mahkamah berhubung pembatalan perintah larangan terhadap komik tersebut serta menyekat kebebasan bersuara.
“Mohd Puad dan Muhamad Akmal harus menghormati kebebasan kehakiman dan keputusan mahkamah, bukannya terus menyeru kerajaan melanggar perintah mahkamah, dan cuba untuk kembali kepada pemikiran kerajaan autoritarian,” kata Teresa.
Untuk rekod, Pada 8 Disember 2022, kerajaan Persekutuan gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk mengembalikan semula larangan ke atas penerbitan komik Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama yang dihasilkan oleh Kuan Yau.
Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) membatalkan Perintah Larangan terhadap penerbitan komik berkenaan yang sebelum ini diwartakan pada 2019 kerana kandungannya dikhuatiri boleh memudaratkan ketenteraman awam.
Dalam pada itu, Muhamad Akmal turut membidas tuduhan Teresa yang menyifatkan UMNO sebagai autoritarian.
“Jika kami berfikiran autoritarian, kamu pun tidak boleh duduk dan menjadi ahli parlimen di negara ini.
“Hormati hak majoriti penduduk negara ini sebelum kamu bercakap untuk menghormati hak kebebasan bersuara untuk kamu,” kata Muhamad Akmal.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

