PERIKATAN Nasional (PN) dilaporkan sedang mengumpul bukti bagi memfailkan petisyen pilihan raya untuk mencabar keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Sabtu lalu.
Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Noor seperti dilapor BH Online, hari ini.
Menurut Kamaruddin, petisyen itu akan diusulkan untuk mencabar kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dalam PRK tersebut.
Beliau berkata, terdapat dakwaan bahawa BN telah merasuah dan mengancam pengundi sepanjang tempoh kempen selama dua minggu.
“Kalau lawyer (peguam) kita kata cukup bukti (yang dikumpul), kita akan memfailkan kerana ia tidak ada tarikh tutup (untuk fail petisyen).
“Bukti ini membabitkan pelbagai. Kita (hendak fail petisyen) kerana nak pastikan PRK yang lalu mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Sebelum ini, Tan Sri Annuar Musa mendakwa kekalahan calon PN, Mohd Rizwadi Ismail pada PRK DUN Nenggiri kerana PN memilih untuk tidak mengamalkan politik rasuah, wang dan salah guna kuasa.
Katanya, PN juga menolak untuk menyalahgunakan aset dan jentera kerajaan Kelantan.
“Ini amat berbeza dengan BN yang memanfaatkan sepenuhnya aset, peruntukan dan jentera agensi serta jabatan Kerajaan Persekutuan terutamanya di bawah kawal selia Menteri UMNO seperti Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah,” dakwa beliau.
Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) merampas semula kerusi DUN Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.
Ini selepas calon BN, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani memperoleh 9,091 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan simbol Pas, Mohd Razwadi Ismail.
Mohd Razwadi hanya mendapat 5,739 undi.
PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Azmawi dan Mohd Rizwadi selepas Mohd Amar mengumumkan pengosongannya pada 19 Jun lalu.
Ia selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan ke-15 Ogos tahun lepas, Mohd Azizi menewaskan calon BN Ab Aziz Yussof dengan majoriti 810 undi.
Ini ialah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

