ANALISIS
‘LEMBU’. ‘durian’, ‘school boy’, ‘limau’, ‘karpet’, ‘kicap’, ‘roti canai’, ‘junta’ dan ‘ayam’ – Nama-nama ini bukanlah paparan gambar dalam buku kanak-kanak tadika TETAPI inilah kod khas dan nama khas yang digunakan oleh segelintir anggota penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang bersedia menjadi ‘pengkhianat’ kepada negara dan ‘balaci’ kepada sindiket demi mahu menjamah wang haram sehingga sanggup menggadaikan keselamatan pintu masuk negara.
Paling tidak boleh diterima dek akal bagaimana penguat kuasa yang menjadi ‘pengkhianat’ ini sanggup menyediakan ‘counter setting’ atau ‘kaunter khas bagi melaksanakan modus operandi mereka dan dibayar serendah RM500 hingga R2,500 oleh sindiket.
Soal mereka mahu memberi wang haram tersebut untuk dijamah oleh anak isteri dan ahli keluarga mereka, itu mereka punya pasal tetapi perbuatan mereka amat berbahaya kepada keselamatan negara. Apa akan jadi kepada negara ini jika pintu masuk negara begitu mudah dibolosi hanya gara-gara segelintir anggota penguat kuasa yang tamak, mahu hidup mewah dengan menerima rasuah?
Mereka diberi amanah melaksanakan tugas dan diberikan tanggungjawab memastikan keselamatan negara terjamin dengan menentukan warga asing masuk negara ini secara sah mengikut peraturan dan undang-undang, tetapi amanah dan tanggungjawab itu dikhianati.
Demi mahu hidup senang dengan cara mudah, mereka bersedia menjadi ‘lembu’ kepada sindiket yang sekaligus meletakkan keselamatan negara dalam bahaya. Atas sebab itulah tidak harus ada kompromi dalam soal ini. Mereka yang terlibat sama ada penguat kuasa atau anggotq sindiket harus diburu sehingga ‘lubang cacing’.
Jika siasatan membuktikan mereka terlibat, hukuman yang perlu dikenakan bukan sahaja dari segi kesalahan menerima rasuah tetapi juga melakukan pengkhianatan kepada negara. Mungkin juga mereka harus dipertimbangkan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 atau SOSMA. Ia kerana mereka menjadikan pintu masuk negara sebagai ‘modal haram’ untuk meraih keuntungan.
Tindakan tegas itu perlu sebagai pengajaran kepada anggota penguat kuasa lain, tidak kiralah daripada agensi mana sekalipun supaya tidak menggadaikan kuasa yang diamanahkan kepada mereka hanya untuk hidup bergaya melalui pendapatan daripada wang haram.
Cukuplah! Pengkhianatan di pintu masuk negara harus dihentikan segera! Ini bukan kes pertama. Sebelum ini ada banyak kes melibatkan anggota penguatkuasa di KLIA termasuklah isu rasuah dan salah guna kuasa yang dilaporkan berlaku di bahagian kargo sehingga negara menanggung kerugian hampir RM2 bilion.
Sebelum ini kita dikejutkan dengan kes kontena terbang yang bergiat aktif di Pelabuhan Klang, Selangor. Mereka disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang yang mengakibatkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion kepada negara.
Itu belum lagi tindakan segelintir pegawai dan anggota polis menerima rasuah hinggakan ada antara melibatkan perbuatan makan suap tidak sampai RM100. Manakala ada pula yang didakwa mendapat ‘ufti secara bulanan’ daripada sindiket.
Banyak lagi dakwaan berkaitan rasuah dan salahgunakan oleh segelintir pegawai dan anggota penguat kuasa, sama ada ia benar atau tidak, siasatan perlu dijalankan, bukan sahaja di jabatan polis tetapi juga jabatan-jabatan penguat kuasa lain. Kelompok seperti itu tidak boleh dibiarkan sehingga menjadi barah yang akan meranapkan institusi keselamatan negara ini.
Justeru kerajaan di bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kelihatan cukup tegas membanteras rasuah dan salahguna kuasa perlu melakukan sesuatu yang drastik bagi membanteras rasuah kalangan pegawai dan anggota agensi penguat kuasa.
Kalaulah perbuatan rasuah dan salahguna kuasa kelihatan begitu tegas dikenakan ke atas ahli-ahli politik, apa istimewanya anggota agensi penguat kuasa yang melakukan perbuatan berkenaan. Sampai bila kita harus membiarkan mereka menggadaikan keselamatan negara dan orang ramai dengan menjadi ‘lembu’ kepada sindiket serta menjamu keluarga makan ‘durian’ atau membeli ‘limau’ karpet’, ‘kicap’, ‘roti canai’ dan ‘ayam’ dengan wang haram?
Bertindaklah sebelum ia menjadi ‘barah tahap empat’. Kalau mana-mana anggota penguat kuasa bersedia menjadi ‘lembu’ kepada sindiket maka mereka juga harus bersedia untuk ‘dikandangkan’ supaya tidak terus mencemarkan jabatan masing-masing sehingga menjejaskan kepercayaan rakyat kepada agensi penguat kuasa.

