ORANG ramai berpeluang menyaksikan pertunjukan udara yang diterajui Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam tempoh lebih panjang pada sambutan Hari Kebangsaan 2024 di Dataran Putrajaya, Sabtu ini.
Ketua Terbang Lintas Hari Kebangsaan 2024, Lt Kol Ramlan Mohd Yunus berkata pada sambutan kali ini, durasi penerbangan bagi pertunjukan itu ditambah antara 15 hingga 20 saat bagi jarak antara pesawat berbanding 10 saat tahun lepas.
“Semua pesawat akan lalu secara perlahan, berbeza dengan tahun lepas. Tahun ini, lebih airtime diberikan kepada pesawat supaya orang ramai boleh tengok dan menikmati pertunjukan udara lebih lama,” katanya kepada Bernama, hari ini.
Beliau berkata persembahan udara dengan elemen loud and agile atau lantang dan tangkas berdurasi lapan hingga 10 minit itu membabitkan 20 helikopter pelbagai agensi, 13 pesawat pejuang dan empat pesawat pengangkut milik TUDM.
Antara pesawat pejuang ditonjolkan ialah Sukhoi Su-30MKM, F/A-18D Hornet dan BAE Hawk manakala pesawat pengangkut termasuklah A400M dan C130 Hercules, sama seperti persembahan tahun lepas, katanya.
Ramlan berkata selain tempoh pertunjukan lebih panjang, kelainan yang dipersembahkan tahun ini adalah dari segi gerakan (manoeuvre) dan jenis formasi yang dilakukan pesawat selain kejutan bunyi dan kemunculan pesawat melakukan aksi aerobatik secara tiba-tiba semasa pertunjukan udara.
Baca artikel lain: Raptai penuh Hari Kebangsaan 2024 tarik tumpuan ramai
Beliau berkata, persembahan udara akan dimulakan dengan terbang lintas lima helikopter yang membawa Jalur Gemilang dan bendera ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu TUDM, Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menerima tabik hormat daripada kawalan kehormatan utama.
Selepas itu, katanya pesawat melibatkan TUDM, TDM, TLDM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan membelah awan dari pelbagai arah.
“Selepas tamat persembahan udara, lima helikopter akan melintas dari arah hadapan ketika tabik hormat kepada Sultan Ibrahim sebelum Seri Paduka Baginda meninggalkan majlis,” katanya.
Ramlan berkata pertunjukan udara juga tampil berbeza dengan kemunculan pesawat semasa perarakan kontinjen berbanding tahun lepas apabila pesawat hanya muncul pada akhir majlis selepas tamat perbarisan.
Beliau berkata keselamatan menjadi keutamaan dan penilaian terhadap cuaca akan dibuat dengan memenuhi kriteria cuaca minimum, contohnya keadaan kepulan awan supaya juruterbang mendapat visual yang jelas.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

