PELUANG memimpin bacaan ikrar Rukun Negara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2024 menterjemahkan semangat Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa, yang tidak pernah gentar untuk terus berbakti menjaga ketenteraman awam walaupun pernah melalui ‘detik hitam’ dalam kerjaya sebagai anggota polis.
Wira insiden serangan Balai Polis Ulu Tiram, Johor berusia 23 tahun itu berkata, peristiwa tersebut tidak mematahkan semangatnya, malah menjadi penyuntik keazaman untuk terus memberikan khidmat terbaik dalam menjaga keselamatan dan keamanan negara.
“Saya mengambil iktibar daripada kes tembakan di Ulu Tiram. Ia menjadi pembakar semangat kerana saya tidak boleh lemah. Apa pun yang berlaku, saya mesti maju ke hadapan dan tidak boleh berpaling ke belakang.
“Walaupun rasa sedih kehilangan kawan (dalam insiden terbabit), tetapi itu tidak boleh mematahkan semangat saya. Itu pengorbanan mereka untuk negara tercinta ini,” katanya ketika ditemui Bernama di Dataran Putrajaya hari ini.
Mohd Khairul Azhar mengakui sangat berbangga dengan jemputan pengurusan Bukit Aman, yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk memimpin bacaan ikrar Rukun Negara dalam sambutan penting negara ini.
Baca artikel lain: Agong, Raja Permaisuri berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2024
“Sejujurnya dalam gembira ada juga rasa gemuruh. Namun, Alhamdulillah, saya beranikan diri untuk mengambil cabaran ini dan mula berlatih sejak seminggu lalu,” katanya yang kini bertugas di balai polis di Sabah sejak 16 Julai.
Beliau juga mengucapkan penghargaan atas peluang memimpin acara bacaan ikrar itu yang disertai 66 pelajar dari Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP) Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas Cheras, Kuala Lumpur.
Insiden tembakan di Balai Polis Ulu Tiram pada 17 Mei lalu, meragut nyawa dua anggota polis iaitu Allahyarham Koperal Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22, dan Allahyarham Koperal Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24, selepas diserang seorang lelaki bersenjatakan parang yang merampas dua senjata api daripada anggota polis.
Seorang lagi anggota keselamatan, Sarjan Mohd Hasif Roslan, 38, pula cedera akibat ditembak, manakala lelaki yang juga suspek utama kes itu mati ditembak di lokasi kejadian.
Mohd Khairul Azhar bersama Mohd Hasif dan Koperal Muhammad Aznel Salleh, 30, adalah anggota polis yang bergadai nyawa menjaga keselamatan dan ketenteraman awam ketika serangan di balai polis terbabit.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

