
“KUALA Lumpur masih selamat.” Itu jaminan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, ekoran kebimbangan orang ramai mengenai tahap keselamatan di bandar raya.
Ini berikutan kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India 23 Ogos lalu mengakibatkan seorang warga India, Vijaya Lakshmi, 48, hilang selepas terjatuh ke dalam lubang mendapan sedalam lapan meter. Dia gagal dikesan walau pun pelbagai usaha dilakukan. Operasi mencari dan menyelamat telah pun dihentikan.
Memang proses pencarian rumit dan berisiko. Terdapat pelbagai ‘perangkap’ di bawah tanah seperti gas beracun, lurang kumbahan, arus deras, penglihatan terhad serta akses yang kecil.
Lima hari berselang berlaku pula satu lagi kejadian jerlus kira-kira 50 meter dari tempat kejadian pertama pada 28 Ogos. Ini menimbulkan persoalan mengenai kekuatan struktur tanah di keseluruhan kawasan berkenaan.
Jalan Masjid India sangat popular di kalangan warga kota, malah jadi tumpuan orang luar yang berkunjung ke ibu negara. Di sini terdapat kedai membeli belah, hotel serta kedai menjamu selera. Ramai bertumpu ke sini untuk menikmati teh tarik yang dianggap antara terenak di ibu kota.
Dalam kehangatan kejadian di lokasi berkenaan, tanah jerlus berlaku di kawasan Kampung Kerinchi, atau sekarang dikenali sebagai Bangsar South, pada 26 Ogos. Ini menambah kerisauan warga kota, diburukkan lagi dengan hujan lebat yang sering melanda ibu kota sekarang.
Hujan lebat bukan sekadar menyebabkan banjir kilat yang memang kerap berlaku di ibu negara. Tetapi ia juga menimbulkan kebimbangan berlaku hakisan dan pergerakan air bawah tanah yang akhirnya memungkinkan berlaku mendapan dan tanah jerlus.
Jangan lupa peristiwa runtuhnya Highland Tower di Hulu Kelang, Selangor, pada 11 Disember 1993, mengorbankan 48 nyawa. Puncanya kerana pergerakan air bawah tanah akibat hujan lebat yang menyebabkan paip lencongan pecah.
Struktur tanah jadi lembut, tidak mampu menahan beban. Akhirnya ia mendap membawa bersama apa yang ada di atasnya, iatu Menara Blok 1 Highland Tower. Kesemuanya ada tiga blok menara kondominium di kawasan tersebut. Yang tidak runtuh dikosongkan demi keselamatan.
Hujan lebat dan pergerakan tanah juga berbahaya di kawasan cerun atau tebing yang sekadar ada dinding penahan atau ‘retaining wall’. Beberapa hari sebelum kejadian di Jalan Masjid India, benteng penahan cerun di Taman Bunga Raya, Setapak, yang menghadap Jalan Hulu Klang, runtuh akibat hujan. Syukur tiada kemalangan jiwa.
Kerana itu jaminan yang diberi oleh Dr Zaliha melegakan hati warga kota, meredakan kebimbangan di kalangan mereka. Kita percaya pihak berkuasa akan memastikan tahap keselamatan sentiasa dipantau begi mengelak kejadian tidak diingini.
Cuma perlu diingat tanah jerlus, seperti juga pokok tumbang, adalah bencana alam yang tidak boleh diramal akan terjadi di sebalik pelbagai usaha pencegahan. Usaha terbaik ialah melaksanakan langkah pencegahan atau prevention pada tahap maksimum.
Selepas kejadian di Jalan Masjid India, pihak berkuasa wajar secara lebih serius mengenal pasti kawasan yang dianggap berpotensi berlaku mendapan atau tanah jerlus.
Pakar geologi dilapor mengesan enam lokasi di sekitar Kuala Lumpur yang berisiko tinggi boleh berlaku tanah jerlus. Malah di enam lokasi berkenaan risiko tanah jerlus dikatakan lebih besar berbanding di Jalan Masjid India.
Enam kawasan yang termasuk dalam kategori berisiko ‘tinggi’ dan ‘sangat tinggi’ ialah Pudu, Cheras, Kepong, Kampung Baru, Ampang dan Pandan Jaya.
Menurut pakar geologi, punca utama berlaku tanah jerlus ialah kegiatan pembangunan dan perindustrian pesat di kawasan bekas lombong. Bagi penulis, ia bukan sahaja terhad kepada pembangunan dan perindustrian tetapi juga perumahan. Ini kerana terdapat kawasan perumahan di Kuala Lumpur berdiri di atas tanah bekas lombong.
Selain itu ia dikatakan berpunca daripada kesesakan lalu lintas, perubahan air bawah tanah serta kedudukan bandar di atas lokasi batu kapur.
Hampir 40 peratus dasar bawah tanah di ibu negara dikatakan dilitupi batu kapur, terutama di sebelah utara Kuala Lumpur. Ini menyebabkan kawasan berkenaan terdedah kepada bencana geologi seperti tanah jerlus. Justeru, pihak berkuasa perlu bertindak segera memantau kawasan ini.
Sehubungan itu juga, dalam merancang pembangunan di kawasan batu kapur pihak berkuasa perlu melakukannya dengan lebih sistematik dan berhati-hati. Ini termasuk memberi perhatian kepada keadaan bawah tanah, melalui pemetaan bawah permukaan.
Presiden Persatuan Geologi Kejuruteraan dan Mekanik Bantuan Malaysia, Dr. Goh Thian Lai, mencadangkan agar dalam melaksanakan projek pembangunan, kerajaan hendaklah melibatkan sama jurutera dan ahli geologi profesional, di samping pemetaan bawah tanah yang komprehensif.
Untuk rekod, ibu negara pernah mengalami beberapa kejadian tanah jerlus sebelum ini. Antaranya Jalan Pudu-Hang Tuah iaitu sekitar kawasan Imbi pada 2014; Jalan DBP (2019); Taman U-Thant (2020); Sri Hartamas (2021) dan AU3 Ampang pada 2022.
Sementara tanah jerlus ialah fenomena alam yang tidak dapat diduga, beberapa peristiwa yang berlaku wajar jadi iktibar kepada pihak berkuasa, bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi juga tempat lain.
Sentiasa waspada serta mengambil langkah pencegahan maksium, terutama di kawasan yang telah dikenal pasti oleh ahli geologi. Ingat sebelum kena.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

