Bukan hanya golongan elit berhak miliki rumah

Dari Penulis

“ORANG miskin nak dok mana?” tanya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kepada puak elit yang membantah pembinaan kediaman mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah di ibu negara khususnya.

Beliau menegaskan perlunya dibina kediaman untuk golongan tersebut kerana ramai dalam kalangan mereka tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur. Sudah tentu mereka memerlukan kediaman untuk diri dan keluarga berlindung daripada panas dan hujan.

Bantahan seperti ini turut disuarakan oleh ‘golongan kaya’ di Taman Desa, Kuala Lumpur di mana Anwar baru-baru ini merasmikan pelancaran dan majlis pecah tanah Residensi Suria Madani di kawasan tersebut. Residensi ini adalah projek mempu milik untuk golongan berpendapatan rendah.

Penduduk elit ini dikatakan membantah pembinaan residensi berkenaan kerana ia projek perumahan berkepadatan tinggi, dan dianggap ‘pembangunan berlebihan’. Kehadiran penghuni kelak bakal meningkatkan kepadatan di kawasan berkenaan.

Namun Perdana Menteri tegas menepis bantahan ini. Beliau kesal kerana setiap kali dibina perumahan rakyat, ada sahaja bantahan daripada golongan elit. Anwar tidak mahu golongan berpendapatan rendah dipinggirkan, termasuk dalam isu memiliki rumah.

Sikap mementingkan diri sendiri memang sangat tidak wajar, seolah-olah hanya golongan elit sahaja ada hak memiliki rumah. Mereka bimbang kewujudan residensi bukan sahaja menambah kepadatan tetapi menganggu privasi mereka yang tinggal di kawasan mewah.

Sudah terlalu banyak projek perumahan mewah di ibu negara berbanding perumahan untuk golongan berpendapatan rendah. Oleh itu tidak harus ada rasa tidak senang hati apabila kerajaan mahu melaksanakan projek perumahan untuk golongan ini.

Perhatikan sahaja pelbagai projek perumahan di ibu negara. Hampir kesemuanya, baik projek di atas tanah (landed) atau kondominium yang bertebaran di seluruh ibu negara mencecah harga ratusan ribu hingga jutaan ringgit.

Pada harga sebegini tinggi, rumah sedemikian adalah di luar jangkauan mereka berpendatan rendah. Mereka hanya sekadar mampu melihat pembangunan tetapi tidak mampu memiliki. Ibarat boleh dipandang tetapi tidak boleh dipegang.

Pemaju lebih berminat membina projek mahal kerana mereka boleh mangaut banyak untung. Jika ada pun yang diselitkan dalam projek ini bagi golongan berpendapatan rendah ia adalah atas arahan kerajaan, dipatuhi ibarat izin dalam paksa. Jumlah unitnya juga tidak banyak.

Luar Kemampuan

Kepada siapa mereka hendak mengadu? Di Kuala Lumpur ada projek Residensi Wilayah yang ditujukan untuk golongan tersebut. Sekali pun harganya lebih rendah berbanding projek perumahan mahal, harganya masih di luar kemampuan ramai orang.

Oleh itu projek perumahan mampu milik seperti yang dilancarkan oleh Anwar, adalah antara usaha membantu golongan tersebut. Semua pihak wajar menyokong. Semua peringkat masyarakat tanpa mengira kedudukan harus belajar hidup bersama dalam semangat toleransi dan bersatu.

Di ibu negara di mana kos kehidupan tinggi, amat memeritkan bagi yang berpendapatan rendah. Ada yang menyewa rumah sekadar boleh melindungi keluarga, sempit dan tidak selesa. Ada yang hanya mampu menyewa bilik.

Sewa rumah ‘biasa-biasa’ sahaja pun mencecah ratusan ringgit, termasuk rumah flat. Sewa rumah yang lebih besar dan selesa mencecah lebih RM1,000 sebulan. Ini di luar kemampuan yang berpendapatan rendah kerana mereka juga memerlukan wang untuk kepeluan lain.

Belanja makan minum perlu disediakan bagi memastikan makanan sentiasa terhidang untuk keluarga. Wang perbelanjaan untuk keperluan persekolahan anak, bil utliti, semuanya memerlukan wang.

Mereka melalui waktu sukar setiap bulan melunaskan ini semua. Memang tidak mampu untuk berfikir, apatah lagi memilik rumah yang berharga ratusan ribu ringgit. Ibarat mimpi yang tidak menjadi kenyataan.

Kerana itu pergantungan tinggi diletakkan terhadap rumah-rumah awam yang kadar sewanya rendah atau harga jualan tidak terlalu tinggi. Di Kuala Lumpur, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sentiasa menjadi pergantungan warga kota kerana kadar sewa bulanan sangat berpatutan.

Cuma masalahnya ialah terlalu ramai yang memohon untuk mendapatkan PPR atau PA. Barisan yang menunggu panjang kerana permintaan melebihi penawaran. Angka yang menunggu bertambah setiap masa sedangkan pembinaan rumah sedemikian terhad, juga mengambil masa.

Oleh itu walau pun kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berusaha memenuhi permintaan namun ia masih tidak dapat mengimbangi keperluan. Dalam keadaan ini golongan yang memerlukan terus terhimpit menunggu bila akan berpeluang menduduki PPR atau PA.

Kerana itu amar wajar kerajaan membina lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah, samaada melalui projek khusus atau menambah pembinaan rumah PPR dan PA. Walau pun ia mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah secara tuntas, sekurang-kurangnya dapat diminimumkan.

Di samping itu, kerajaan juga perlu tegas mewajibkan pemaju melaksanakan pembinaan rumah untuk golongan berpendapatan rendah. Kenakan syarat kepada pemaju bahawa dalam setiap pembinaan rumah mewah, mesti dibina rumah untuk golongan tersebut.

Ini sahaja cara untuk memastikan pemaju melaksanakan tanggung jawab sosial, tidak hanya mengharapkan untung daripada projek mahal. Jangan hanya memikirkan yang kaya dengan melupakan golongan kurang berkemampuan untuk sama-sama menikmati hidup selesa.

* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

HAWANA 2026: ‘Jangan sampai buang pekerja’, Fahmi tegaskan bantu syarikat media

HARI Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 bersiaran langsung di lapangan Butterworth, Pulau Pinang, minggu lalu dihadiri pengamal media pelbagai cabang...

More Articles Like This