Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah GAMBAR: Abd Razak Aid

SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah kewangan Islam berpotensi merapatkan jurang pembiayaan yang penting untuk peralihan kepada masa depan lebih mampan dan berdaya tahan.

Sultan Nazrin yang juga Penaung Diraja bagi Inisiatif Kewangan Islam Malaysia bertitah, kewangan Islam yang berlandaskan amalan beretika, kesaksamaan dan perkongsian risiko secara adil, menyediakan kerangka kerja sejajar dengan kemampanan serta menawarkan pilihan pendanaan pelbagai termasuk kewangan gabungan dan sosial.

“Ia (kewangan Islam) berada pada kedudukan baik untuk menangani jurang pembiayaan yang menghalang kemajuan global, dan boleh berfungsi sebagai alat menyalurkan sumber di tempat paling diperlukan,” titah baginda pada Forum Perniagaan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC)-United Kingdom (UK) 2024.

Sambil memetik laporan Matlamat Pembangunan Kemampanan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), baginda bertitah, PBB menganggarkan aliran masuk tahunan yang diperlukan untuk mencapai Agenda Pembangunan Mampan 2030 adalah hampir AS$4 trilion di negara sedang membangun.

Selain itu, titah baginda, perbelanjaan purata tahunan bagi aset fizikal yang diperlukan untuk mencapai pelepasan sifar bersih pada 2050 pula mencecah AS$9.2 trilion.

Ditubuhkan pada 2015, SDG menggariskan 17 matlamat global yang bertujuan mewujudkan masa depan lebih baik, lebih mampan dan saksama.

Objektif utama termasuk menegakkan hak asasi manusia, mencapai kesaksamaan jantina, memperkasakan wanita dan gadis, membasmi kemiskinan, serta menamatkan kebuluran di seluruh dunia.

–- BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram