SYARIKAT milik penuh Bumiputera, VFive Group Sdn Bhd (VFive) menyasarkan untuk menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) sebagai langkah penyenaraian di pasaran saham dalam tempoh dua tahun.
Pengarah Urusan Kumpulan VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada keputusan strategik untuk mengembangkan perniagaan mereka.
Pada masa sama, Mohd Syafiq turut mengumumkan pelancaran pelaksanaan strategi jangka panjang VFive Group bagi meletakkan organisasi itu pada landasan yang lebih kukuh sekaligus mencapai daya tahan dan kelangsungan mampan.
Jelas beliau, strategi itu digerakkan melalui lima pemacu utama yang menjadi kerangka baharu hala tuju syarikat merangkumi Strategi Arah Tuju, Kecemerlangan Operasi, Kemampanan Kewangan, Kepimpinan dan Bakat, serta Tadbir Urus dan Integriti.
Tegas Mohd Syafiq, VFive tidak lagi melihat kejayaan dalam kerangka jangka pendek semata-mata, sebaliknya mahu memposisikan syarikat sebagai sebuah konglomerat yang kekal kompetitif untuk tempoh 50 hingga 100 tahun akan datang.
“Fokus kami adalah memastikan VFive berkembang secara konsisten dan berstruktur supaya organisasi ini terus relevan dan memberi impak merentas generasi.
“Untuk mencapai matlamat tersebut, strategi perniagaan, tadbir urus yang baik, kestabilan kewangan dan pembangunan modal insan perlu bergerak secara seimbang dan berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Apresiasi Gema Qalbi VFive Group 2025 di Putrajaya, hari ini.
Lima pemacu strategik VFive
Mengulas lanjut, Mohd Syafiq berkata, di bawah Strategi Arah Tuju, VFive memberi fokus kepada pengukuhan sektor teras seperti pengurusan fasiliti dan pembinaan ke arah skala jangka panjang.
Katanya, pendekatan pembangunan portiolio berasaskan aset serta model konsesi diperluaskan bagi mewujudkan aliran pendapatan yang lebih stabil dan berstruktur.
Dalam aspek Kecemerlangan Operasi, jelas Mohd Syafiq, syarikat komited memperkasakan penggunaan inovasi dan teknologi pintar merentasi keseluruhan kitaran projek, di samping memperkukuh inisiatif penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk meningkatkan kecekapan serta kualiti pelaksanaan.
Katanya, bagi Kemampanan Kewangan pula, tumpuan diberikan kepada pengukuhan aliran tunai positif dan pengembangan sumber pendapatan berulang (recurring income), sekali gus membina daya tahan kewangan yang mampu menyerap ketidaktentuan ekonomi global.
“Komponen Kepimpinan dan Bakat menekankan pembangunan modal insan secara sistematik serta melahirkan lebih ramai pemimpin yang selari dengan nilai teras syarikat.
“Langkah ini dilihat penting dalam memastikan kesinambungan organisasi dipacu oleh generasi kepimpinan yang berprinsip dan berwibawa,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, aspek Tadbir Urus dan Integriti menegaskan komitmen untuk menjadikan integriti sebagai standard pengurusan, di samping memperkukuh kerangka pematuhan, ketelusan dan akauntabiliti dalam setiap keputusan strategik.
Katanya, keseluruhan kerangka jangka panjang ini diinspirasikan daripada lima Rukun Islam yang menjadi asas pembentukan nilai dalaman organisasi.
“Nama ‘VFive’ sendiri diilhamkan daripada lima prinsip tersebut yang diterjemahkan ke dalam budaya kerja dan pendekatan kepimpinan.
“Lima Rukun Islam menekankan integriti, disiplin, tanggungjawab sosial dan komitmen jangka panjang. Nilai-nilai spiritual ini menjadi asas dalam membentuk budaya kerja serta pengurusan VFive Group yang berprinsip,” jelas beliau.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

