JBG diarah tawar khidmat pendamping kanak-kanak kepada mangsa eksploitasi

Afiq Mohd. Shah
Afiq Mohd. Shah
Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

Dari Penulis

JABATAN Bantuan Guaman (JBG) diarah menyantuni kanak-kanak dan keluarga yang menjadi mangsa jenayah seksual dan eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor serta Negeri Sembilan yang diselamatkan menerusi ‘Op Global’, Rabu lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, JBG diarah menawarkan khidmat pendamping kanak-kanak atau legal companion kepada kesemua mangsa yang terlibat.

“Saya berasa amat dukacita dan mengutuk sekeras-kerasnya kes 402 orang kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual dan eksploitasi di 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

“Saya difahamkan siasatan sedang berjalan berkenaan perkara ini.

“Saya telah menghubungi Ketua Pengarah JBG dan mengarahkan JBG untuk menyantuni kanak-kanak dan keluarga mereka yang menjadi mangsa dalam insiden jelik ini dengan menawarkan khidmat pendamping kanak-kanak atau legal companion kepada mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, Azalina menegaskan, kerajaan memberi penekanan serius dan komited terhadap isu yang melibatkan kesejahteraan serta keselamatan kanak-kanak.

Baca artikel lain: Isu GISBH: Jakim bukan agensi penguatkuasaan undang-undang

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal-hal penindasan terhadap golongan ini kerana anak-anak itu adalah generasi penerus Malaysia dan kesejahteraan mereka merupakan tanggungjawab bersama.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dan prihatin kepada isu kanak-kanak, Kerajaan MADANI telah melaksanakan pelbagai langkah dan inisiatif termasuk pindaan kepada Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak yang telah diluluskan dalam sidang Parlimen lalu.

“Pindaan ini adalah bertepatan dan kena pada waktunya kerana ia memperuntukkan kekompetenan saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan dalam mana-mana prosiding selain meniadakan keperluan keterangan sokongan mandatori,” jelasnya.

Rabu lalu, polis menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan menerusi gerakan ‘Op Global’.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki serta 201 perempuan.

Beliau berkata, hasil serbuan itu mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.

Razarudin berkata, berdasarkan maklumat serta siasatan yang dilaksanakan, polis mengesyaki bahawa ‘Global Ikhwan Service and Business Holding’ (GISBH) melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Menghuraikan sejarah perjalanan GISBH, Razarudin berkata, operasi kumpulan itu sudah melebihi 10 tahun selepas Darul Arqam diharamkan dan beberapa pemimpin kanannya ditahan polis pada 1994 mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Selepas pengharaman Darul Arqam, katanya, pengikut menubuhkan Rufaqa Corporation disususli penubuhan GISBH pada 2008 sebagai organisasi perniagaan berasaskan agama dengan doktrinnya masih tarekat Aurad Muhammadiah yang diharamkan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Pemuda 23 tahun jatuh 9 meter ketika baiki silo di Ipoh

SEORANG pekerja kilang berdepan detik cemas apabila terjatuh dari ketinggian kira-kira sembilan meter ketika menjalankan kerja pembaikan di sebuah...

More Articles Like This