JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bukan sebuah agensi yang berperanan dalam penguatkuasaan undang-undang sehingga boleh mengambil tindakan terhadap isu melibatkan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Justeru, Presiden Persatuan Kakitangan Perkhidmatan Ugama (PKPU) Jakim, Datuk Mohd Ajib Ismail menegaskan, isu yang melibatkan penguatkuasaan undang-undang seperti kes GISBH bukan di bawah bidang kuasa Jakim.
Walau bagaimanapun, kata beliau, Jakim sentiasa bekerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama negeri bagi memastikan segala tindakan yang diambil berlandaskan undang-undang yang berkuat kausa.
Menurut Mohd Ajib, kenyataan yang dikeluarkan Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abu Hafiz Salleh Hudin melalui media sosial telah menimbulkan kekeliruan dan persepsi negatif dalam kalangan orang ramai mengenai peranan dan fungsi Jakim.
Katanya, penting untuk difahami bahawa Jakim merupakan agensi agama Persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang bertindak menyelaras pengurusan hal ehwal Islam dengan mandat daripada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Mohd Ajib berkata, Jakim juga bertanggungjawab kepada Kabinet dan melaksanakan tugas berdasarkan peruntukan undang-undang serta garis panduan sebagai sebuah agensi kerajaan.
“PKPU merasa perlu memberikan penjelasan dan mempertahankan fakta-fakta yang telah dinyatakan.
“Kami ingin menegaskan bahawa pandangan yang diberikan tidak tepat serta tidak mewakili peranan sebenar Jakim,” katanya dalam kenyataan.
Baca artikel lain: GISB nafi tuduhan eksploitasi kanak-kanak sebagai pekerja, tegaskan ia fitnah
Mengulas lanjut, Mohd Ajib menegaskan, dalam konteks hal ehwal agama Islam, setiap tindakan perlu diambil dengan mematuhi prosedur tertentu khususnya melibatkan bidang kuasa negeri-negeri.
Oleh itu, katanya, Jakim sentiasa mendapatkan nasihat perundangan dan bekerjasama dengan PDRM serta pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan sebarang tindakan yang diambil adalah selari dengan peruntukan undang-undang.
“PKPU yakin bahawa di bawah kepimpinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jakim sentiasa menjalankan tugas secara profesional dan telus tanpa sebarang kepentingan peribadi.
“Kami juga percaya bahawa usaha Jakim untuk mempertahankan akidah, syariah dan akhlak Islam akan terus diperkukuh melalui pendekatan yang bijaksana dan kerjasama erat dengan agensi-agensi berkaitan,” katanya.
Semalam, Abu Hafiz dilaporkan berkata, beberapa pihak berkuasa agama tidak mahu memberi perhatian serius kepada dapatan dikumpulkan pengkaji serta aktivis yang memantau GISBH.
Katanya, pihak yang menjalankan pemantauan itu terpaksa bertemu dengan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin untuk memintanya menyuarakan isu itu melalui ceramah dan program audio siarnya selepas gagal meyakinkan pihak terbabit untuk bertindak.
Bagaimanapun, Abu Hafiz berkata, masih belum ada pihak berkuasa terutama Jakim yang dilihat berminat untuk bertindak biarpun perkara itu menjadi perhatian selepas disentuh Mohd Asri selain kajian dan dapatan mengenai GISBH di Jakim juga sudah dilaksanakan sejak 2013 lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

