
APABILA Barisan Nasional (BN) yang diwakili UMNO turun ke gelanggang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dengan sokongan padu Pakatan Harapan (PH), impian BN bukan sahaja mahu mempertahankan kerusi tersebut tetapi lebih penting memperolehi undi majoriti yang signifikan.
Kalau boleh kepemimpinan UMNO mahu memastikan Calonnya, Syed Hussein Syed Abdullah, 40 yang akan menentang Calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61 memperoleh undi majoriti jauh lebih besar berbanding 5,166 undi majoriti yang dicatatkan oleh Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac 2022.
Impian BN itu tidak sukar untuk dicapai memandangkan Johor adalah kubu kuat parti itu dan DUN Mahkota pula sememangnya dikuasai oleh UMNO sejak sekian lama. Tidak cukup dengan itu, kali ini UMNO mendapat suntikan semangat apabila diberi jaminan oleh sekutunya PH terutama daripada DAP bahawa mereka akan memastikan kemenangan calon BN.
Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi yang turut mengiringi calon BN bersama Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyifatkan, PRK DUN Mahkota memperlihatkan kerjasama erat antara parti politik dalam kerajaan.
‘’Kita (BN) tolong DAP di Kuala Kubu Bharu, kemudian kita tolong PKR di Sungai Bakap dan semua orang juga membantu kita (BN) baru-baru ini semasa PRK Nenggiri,’’ kata Ahmad Zahid.
Walaupun DAP tidak turun berkempen di Nenggiri namun kenyataan Ahmad Zahid itu membuktikan politik membalas budi antara UMNO dan DAP serta PKR kini semakin kukuh sekaligus akan membuka jalan kepada kemenangan untuk calon-calon kedua-dua gabungan.
Kesepakatan dengan DAP khususnya akan memberi banyak faedah kepada UMNO dalam memastikan parti itu boleh menerobos undi pengundi bukan Melayu khususnya pengundi Cina bukan sahaja di DUN Mahkota tetapi juga di kerusi-kerusi lain selepas ini sama ada bagi peringkat Parlimen dan DUN.
Biarpun Johor dianggap bumi semangat nasionalis Melayu sehingga ia boleh menjadi kubu kuat UMNO namun perubahan dalam percaturan politik negara selepas PRU-15 yang memungkinkan terbentuknya kerjasama antara UMNO-DAP sedikit sebanyak menarik perhatian untuk menyaksikan apa akan berlaku dalam PRK DUN Mahkota.
Ia memandangkan inilah kali pertama selepas PRN 2022 bagi kerusi DUN, UMNO bergandingan dengan DAP menentang PN yang diwakili oleh Bersatu dalam PRK. Penulis memberi penekanan kepada gabungan dua parti yang pernah bermusuhan selama hampir 60 tahun itu kerana kedua-dua parti itu dikatakan mempunyai sokongan dalam dua kelompok pengundi terbesar iaitu pengundi Melayu dan pengundi Cina.
Buat masa ini walaupun UMNO memenangi kerusi DUN Nenggiri pada PRK baru-baru ini, namun ia bukanlah cerminan sebenar sokongan orang Melayu kembali kepada parti itu. Nenggiri adalah kawasan pengundi Melayu dan Orang Asli sebab itulah pemimpin UMNO tidak benarkan DAP tidak turun berkempen di situ.
Bagaimanapun DUN Mahkota berbeza, pecahan pengundi mengikut kaum dikatakan sama banyak antara pengundi Melayu dan bukan Melayu. Dalam keadaan tersebut tentulah menjadikan pengundi bukan Melayu sebagai penentu.
UMNO begitu yakin dengan sokongan DAP, parti itu akan berupaya meraih undi daripada pengundi Cina. Dan jika UMNO berjaya mengekalkan momentum sokongan pengundi Melayu seperti mana PRN lalu sudah pasti majoriti besar akan diraih oleh BN.
Penulis membentangkan fakta mengenai sokongan berdasarkan kaum kerana itu realiti politik tanah air kita sekarang. Walaupun di sesuatu kawasan pengundi Melayu majoriti namun akibat perpecahan antara parti Melayu maka pengundi bukan Melayu menjadi penentu.
Oleh itu mahu tidak mahu UMNO tetap mengharapkan sokongan pengundi bukan Melayu bagi mempertahankan DUN Mahkota. Ia sebagai ‘backup’ jika pengundi Melayu beralih arah menyokong PN sebagai tanda protes terhadap kerjasama antara UMNO dan DAP.
Turut menarik untuk diperhatikan ialah berapa jumlah undi yang akan diperolehi oleh Calon PN, Mohamad Haizan Jaafar. Adakah beliau yang dianggap ‘Calon Berani Mati’ kerana bertanding di kerusi yang dianggap sukar dimenangi oleh PN itu akan berupaya mengekalkan jumlah undi PN pada PRN lalu iaitu 7,614 undi atau menambahnya.
Penambahan undi kepada PN dalam PRK ini akan memberi isyarat bahawa orang Melayu terus menyokong parti tersebut dan semakin meninggalkan UMNO walaupun UMNO memenangi PRK berkenaan.
Bagaimanapun keupayaan PN untuk melakukan kejutan tidak boleh diketepikan kerana sudah pastilah gabungan itu juga mempunyai strategi bagi meraih undi. Biarpun peratusan untuk menang agak rendah tetapi dalam tempoh 14 hari berkempen macam-macam berlaku, ia khususnya melibatkan hubungan antara UMNO-DAP.
Walaupun pemimpin UMNO-DAP mengatakan polemik isu sijil halal tidak akan memberi kesan tetapi kepada pengundi khususnya pengundi Melayu, mereka mungkin ada pandangan berbeza.
Mungkin PRK DUN Mahkota akan menjadi platform untuk melihat adakah semangat nasionalis Melayu masih kekal bersama UMNO atau akan berpindah kepada PN tetapi siapapun menang Kerajaan Negeri Johor tetap di tangan BN.

