MURID-MURID sekolah tidak patut dijadikan seolah-olah ‘tikus makmal’ berhubung pelaksanaan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Memetik laporan BH Online, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mahu murid sekolah dijadikan ‘tikus makmal’ jika mahu peperiksaan itu dilaksanakan semula.
Sehubungan itu, kata beliau, KPM perlu mendapatkan pandangan menyeluruh serta dilihat daripada aspek lebih besar sebelum membuat keputusan sama ada perlu mengembalikan semula UPSR dan PT3 atau tidak.
Fadhlina berkata, perkara itu akan dibawa ke peringkat Jemaah Menteri untuk mendapatkan pedoman.
Bagaimanapun, katanya, buat masa ini, KPM kekal dengan dasar sedia ada berhubung isu tersebut.
Beliau berkata, pihaknya mahu memastikan kemajuan murid tidak terjejas khususnya yang berkait rapat dengan falsafah pendidikan kebangsaan.
“Kita perlu menyediakan pandangan keseluruhan dan persiapan menyiapkan padangan tetapi ia tidak boleh dilihat dalam satu aspek saja kerana anak-anak kita bukan tikus makmal yang diulang kaji mereka ini.
“Kejap ada peperiksaan, kejap tidak ada…kena ada ketetapan itu. Kita sudah membuat pelbagai penegasan semula untuk pentaksiran ini dan latihan guru.
Apapun keputusan di ambil, ia tidak boleh menjejaskan anak-anak khususnya yang berkait rapat dengan falsafah pendidikan kebangsaan,” katanya.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, dasar pendidikan berhubung peperiksaan bagi pelajar tahun enam dan tingkatan tiga perlu disemak semula dan dirombak selepas kewujudan masalah pelajar tidak mahir membaca, menulis dan mengira (3M).
Pada masa sama, Fadhlina berkata, KPM mempunyai tumpuan lebih besar melalui Kurikulum Persekolahan 2027 dan pelan pendidikan baharu berhubung masa depan pendidikan Malaysia.
Beliau berkata, melaluinya, semua maklumat termasuk berhubung peperiksaan UPSR dan PT3 akan dimasukkan dalam sesi libat urus berkenaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

