Kali ini saya kongsikan mengenai kek yang kurang kandungan telur dan lemak. Kebiasaannya kek jenis ini mengandungi sedikit atau tiada langsung lemak dan kaedah pembuatannya banyak bergantung kepada udara yang terperangkap semasa memutar telur. Kek jenis ini amat dikenali dengan nama kek span.
Kaedah Span
- Paling banyak digunakan dalam pembuatan kek berkrim dan asas kepada pembuatan kek mousse atau kek pencuci mulut.
- Teksturnya bergantung kepada buih telur yang diputar.
- Terdapat juga teknik yang memisahkan telur kuning dan telur putih di mana putih yang telah diputar dimasukkan di akhir proses.
- Langkah kedua masukkan semua bahan kering yang telah di ayak bersama.
- Lemak atau minyak dimasukkan di akhir proses dengan teknik kaup balik sahaja.
Tip Untuk Membuat Kek Span
- Timbang tepat ke semua bahan.
- Satukan telur dan gula, putar dengan kelajuan paling laju hingga kembang dan gebu.
- Masukkan air atau susu jika ada digunakan sambil terus memutar.
- Masukkan tepung dan bahan-bahan kering lain ( tepung jagung, serbuk penaik atau serbuk koko) dan kacau perlahan.
- Masukkan mentega yang telah dicairkan atau minyak sambil di kaup balikkan perlahan-lahan.
- Masukkan ke dalam acuan yang telah di lenser dan dialas kertas minyak.
- Terus masukkan ke dalam dan jangan lengahkan pembakarannya.
Kaedah Chiffon
- Hampir sama dengan kaedah span tetapi diasingkan telur kuning dan telur putih menjadikannya lebih ringan, halus dan gebu.
- Bahagikan gula kepada dua bahagian. Satu bahagian untuk diputar bersama campuran tepung, telur kuning dan lain-lain manakala satu bahagian lagi diputar bersama telur putih menjadi meringue.
- Adunan yang mengandungi putaran tepung, gula, telur kuning, minyak dan air dimasukkan ke dalam putaran putih telur / meringue.
- Telur putih untuk kek chiffon perlu diputar hingga agak keras tetapi jangan sampai kering.
- Kek Chiffon mengandungi serbuk penaik, oleh itu ia tidak terlalu bergantung kepada buih telur untuk teksturnya.
Tip Untuk Membuat Kek Chiffon
- Timbang tepat ke semua bahan.
- Ayak semua bahan kering dan serbuk penaik bersama.
- Putar campuran tepung, gula, minyak, telur kuning dan cecair dengan kelajuan sederhana hingga sebati.
- Sentiasa kaup kan mangkuk pengaduan agar adunan sebati.
- Putar putih telur sebentar, masukkan krim tartar dan putar hingga berbuih.
- Masukkan gula berperingkat dan putar lagi hingga kembang dan agak keras.
- Kaup balikkan adunan putih telur ke dalam adunan tepung tadi, kacau perlahan hingga sebati.
- Untuk kek chiffon, acuan tidak perlu di lenser kerana ada tiub di tengahnya tetapi jika dibakar menggunakan acuan kek biasa, acuan perlu di lenser dan dialas kertas di dasarnya.
Wah…tentu anda semua sudah lebih faham tentang kek sekarang ni kan, diharapkan selepas ini anda semua dapat membuat kek dengan lebih yakin dan terasa mudah. Jom kita buat Kek Span Marble Oren. Ikut lah segala panduan dan kaedah yang diterangkan sebelum ini. Cuba ya…!
KEK SPAN MARBLE OREN
BAHAN-BAHAN:
280 gm tepung kek
5 biji telur
40 ml jus buah oren
1 sudu kecil parutan kulit oren
10 gm ovalette
10 gm serbuk penaik
190 gm gula kastor
200 gm mentega – cairkan
20 gm emulco oren
3 gm perasa oren
CARA PENYEDIAAN :

1.Putar telur, jus, ovalette, tepung, serbuk penaik, gula hingga kembang dan gebu.

2.Kaup balik mentega cair hingga sebati.

3.Bahagikan adunan kepada dua bahagian.

4.Campurkan emulco oren dan perasa oren kepada satu bahagian. Tuangkan ke dalam acuan kek bulat 8 inci yang telah dilenser dan dialas dasarnya. Bakar pada suhu 175°C selama 45 – 50 minit.

Penulis merupakan Pengarang SAJI di UtusanTV dengan pengalaman lebih 23 tahun dalam bidang kewartawanan. Kerjaya penulisan bermula pada tahun 1996 di HVD Film Production (M) Sdn Bhd sebagai penulis skrip selama tujuh tahun. Seterusnya, penulis menyertai Utusan Karya Sdn Bhd pada tahun 2003 sebagai wartawan dan jawatan terakhir sebagai Pengarang SAJI. Pada tahun 2023 bertugas di Utusan Binders Sdn.Bhd. di bawah jenama UtusanTV sehingga kini.
Sepanjang kerjaya, penulis berkemahiran dalam penulisan dan liputan pelbagai isu, khususnya berkaitan pemakanan. Selain mencipta resipi, penulis juga terlibat dalam penerbitan buku resipi untuk chef-chef, menjadi juri pertandingan masakan, serta aktif dalam penganjuran acara dan program CSR.
Sebarang jemputan acara, kerjasama bagi event & CSR, pelancaran produk atau sidang akhbar boleh diajukan melalui e-mel: [email protected].

