POLIS mengesahkan seorang individu yang tular melepaskan tembakan di tempat awam dekat kawasan Subang Jaya terlibat dalam operasi mengawal populasi gagak.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya mengesan video tular tersebut di media sosial hari ini.
Beliau berkata, notis makluman kepada orang ramai telah dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya berkenaan operasi menembak gagak yang diadakan pada Sabtu lalu bersama polis Ibu Pejabat Daerah Subang Jaya dan Serdang.
“Operasi tersebut telah mendapat kelulusan daripada pihak unit pelesenan senjata api Ibu Pejabat Kontinjen Selangor.
“Operasi tersebut telah disertai oleh 25 orang awam yang memiliki lesen senjata api yang sah.
“Malah pihak penganjur juga telah mengambil langkah keselamatan mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya, operasi tersebut telah berjalan dengan lancar dan tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Katanya, rakaman tular tersebut telah mendapat pelbagai reaksi di kalangan orang ramai dan dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.

