Pertubuhan Kemanusiaan Ensany Malaysia komited dalam membawa perubahan positif kepada masyarakat melalui pelbagai inisiatif dan program. Justeru Program “Ensany Global Peace & Makan Malam Amal” telah dirancang dengan mensasarkan jumlah kutipan sebanyak RM600,000 bagi menyediakan bantuan kepada golongan yang memerlukan, menyebarkan mesej kemanusiaan, dan memupuk semangat perpaduan.
Program “Ensany Global Peace & Makan Malam Amal” akan berlangsung pada 30 November 2024 pada jam 8.00 malam bertempat di IDCC Shah Alam, Selangor.
Menurut wakil Ensany, kempen ini merupakan manifestasi dari usaha pertubuhan ini untuk terus memperkukuh nilai-nilai keamanan, kasih sayang, dan persaudaraan sejagat.
“Program ini diadakan dengan kerjasama rakan strategik kami Rabbani Empire Resources yang terdiri daripada ahli kumplan Rabbani sendiri. Pemilihan artis terlibat berdasarkan pencapian dan kredibiliti mereka dalam menyampaikan mesej-mesej kerohanian, kemanusiaan dan nasihat kepada peminat dan umum.
“Kami mensasarkan kutipan pada malam amal sebanyak RM600,000 di mana sumbangan itu akan disalurkan terus kepada Gaza Palestin dan juga kempen RM5 for Hunger. Kami mendapat kerjasama dari Gaza City Counsel untuk menyalurkan sumbangan terus kepada penduduk yang terkesan akibat tragedi yang berlaku,” katanya.
Tambahnya lagi,program Ensany Global Peace bukan sekadar sebuah acara hiburan, tetapi satu usaha untuk mendekatkan masyarakat dengan nilai-nilai kemanusiaan yang universal.
“Kami berharap acara ini akan memberi impak yang mendalam kepada semua yang hadir, dan juga kepada masyarakat yang lebih luas. Ia adalah peluang untuk kita bersama-sama merayakan keamanan dan perpaduan, serta menyumbang kepada usaha membantu golongan yang memerlukan.
“Pertubuhan Kemanusiaan Ensany Malaysia mengharapkan penganjuran program “Ensany Global Peace” ini dapat memberi impak kepada semua lapisan masyarakat agar cakna terhadap isu-isu kemanusiaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Azadan selaku ketua Kumpulan nasyid Rabbani berbesar hati dengan jalinan kerjasama dalam usaha membantu mereka yang memerlukan.
“Program ini menampilkan selebriti popular seperti Kumpulan Rabbani, Lah Ahmad, Mawi dan Oja. Selain itu, kami turut menampilkan Sheikh Abdul Karim Al Makki merupakan Imam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi bacaan doa dan alunan ayat suci Al Quran, dan DJ Pyan IKIM Fm sebagai pengacara program tersebut,” katanya.