MAJLIS Kerja Tertinggi Alumni GPMS menerusi mesyuarat khas hari ini, sepakat menyokong penuh tindakan segera Menteri Pendidikan berikutan isu keciciran dalam kalangan anak-anak Global Ikhwan & Services Berhad Holdings (GISBH) yang diselamatkan menerusi Op Global baru-baru ini.

Presiden Alumni GPMS, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad berkata, keprihatinan KPM dan Kementerian Kewangan (MOF) melaksana program ’Anak Kita’ sebagai usaha menangani masalah keciciran pembelajaran ini selaras dengan usaha meningkatkan intervensi dan numerasi di samping mengintegrasikan semula pelajar yang tercicir kembali ke dalam sistem pendidikan Malaysia.
“Alumni GPMS yakin pengenalan kepada modul khas yang disediakan mengikut kohort pra sekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah akan mampu membawa anak-anak GISBH kembali ke sesi persekolahan arus perdana,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, Alumni sebagai badan NGO menyedari tanggungjawab atas usaha membantu merealisasikan ke arah ‘Pendidikan untuk Semua’ secara lebih komprehensif dan holistik. Maka, Alumni menegaskan anak-anak GISBH juga mempunyai hak sama rata untuk mendapat kualiti pendidikan, penjagaan dan perlindungan.
“Justeru, Alumni GPMS menyeru semua ibubapa serta waris GISBH atau mana-mana ibubapa yang belum mendaftarkan anak-anak mereka agar segera berbuat demikian di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) yang berdekatan,” tambahnya.
Beliau berkata, ini penting memastikan setiap anak mendapat akses pendidikan selaras dengan konsep Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) iaitu ‘Pendidikan Untuk Semua ’ (Education For All) yang menekankan sekolah adalah tempat bagi semua kanak-kanak tanpa mengira latar, jantina, sosial, ekonomi, kebudayaan, etnik, agama atau taraf kesihatan mereka.
Syed Anuar turut melahirkan rasa terharu apabila KPM tegas mengambilkira tindakan segera terhadap 10,160 (25%) calon yang tidak hadir peperiksaan SPM tahun lepas.
Katanya, pelaksanaan intervensi mengesan calon tercicir dan memberi peluang kepada mereka untuk mendaftar semula bagi menduduki SPM secara ulangan. Ini adalah satu ‘penghormatan ’ KPM kepada pelajar yang masih ingin memperbaiki status pendidikan mereka.
Alumni GPMS Kebangsaan adalah pertubuhan yang bersatu memperjuang dan membela generasi muda demi memartabatkan agama Islam dan bangsa. Justeru Alumni GPMS akan terus bertegas menjaga hak, mengemukakan segala permintaan dan membantu mencadang memperbaiki keadaan bangsa dari segenap lapisan khususnya menerusi pendidikan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

