Dari perkampungan nelayan ke Kampung Warna Warni

Dari Penulis

INOVASI dan idea di luar kotak boleh menghasilkan sesuatu yang unik. Kerana inovasi, sesuatu yang nampak biasa mampu ditransformasi menjadi luar biasa. Yang kurang menarik bertukar jadi berseri dikagumi ramai.

Pernahkah anda melawat ‘Kampung Warna Warni’ di Perlis? Hasil inovasi, perkampungan tradisi nelayan di muara Kuala Perlis itu berubah wajah. Kampung yang suram berukar ‘hidup’, indah dan bersih serta berwarna warni.

Kampung tersebut asalnya bernama Kampung Seberang Ramai. Ia merangkumi tujuh buah kampung iatu Kampung Tengah, Kampung Hujung Tanjung, Kampung Tandiap, Kampung Baru Seberang, Kampung Seberang Alur, Kampung Seberang Jaya dan Kampung Pulau Ketam.

Jambatan Tuanku Syed Putra di Kampung Warna Warni. Dari atas boleh meninjau persekitaran Kuala Perlis.

Kampung Warna Warni adalah cetusan idea Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamallulail dan puteri baginda, Yang Amat Mulia Sharifah Kathreena Nuraniah Jamallulail.

Ia membawa kepada pelaksanaan ‘Projek Diraja Program Transformasi Kampung Seberang Ramai’, diterajui oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis dan Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis sejak hujung tahun 2020. Pelbagai agensi kerajaan dan swasta turut memberi kerjasama.

Baginda menyarankan penduduk kampung mengecat rumah dengan pelbagai warna agar persekitaran kampung bersih dan indah. Warna warni rumah mewujudkan pemandangan unik dan berseri serta mampu menarik pelancong, membolehkan penduduk memperoleh pulangan ekonomi.

Cetusan idea baginda, yang mendapat sambutan baik penduduk, telah membawa perubahan besar kepada masyarakat Kampung Seberang Ramai. Hasilnya sangat positif. Kampung tradisi nelayan yang kurang ceria bertukar segar dipandang mata dan kini jadi tarikan pelancongan di Perlis.

Untuk melaksanakan projek, penduduk menubuhkan jawatankuasa kerja bagi menyelaras kerja mengecat kediaman. Namun untuk setiap rumah individu, pemilik bebas memilih dan menentukan warna apa hendak digunakan.

Hasilnya rumah berseri dengan pelbagai warna. Ada biru, ada kuning, ada merah dan lain-lain, bagai pelangi berwarna warni. Terserlah pemandangan begitu cantik menawan hati. Sempena wajah baharu, nama Kampung Seberang Ramai bertukar jadi Kampung Warna Warni.

Kampung Warna Warni adalah kebanggaan Perlis. Jika berkunjung ke Perlis tetapi tidak melawat Kampung Warna Warni anggaplah percutian ke negeri terkecil di Malaysia itu belum lengkap.

Sungguh cantik tangga rumah dan pasu hiasan dicat berwarna warni.

Kemeriahan pelbagai warna kediaman begitu unik, tidak terdapat di negeri lain di Malaysia. Jarang kita melihat perkampungan nelayan yang begitu cantik tersusun, mempamerkan keindahan warna pada dinding, tingkap atau tangga rumah.

Penduduk kampung ini adalah mereka yang secara tradisi bekerja sebagai nelayan, majoritinya masyarakat Melayu. Pengunjung boleh melihat bayak bot nelayan ditambat di jeti dan tebing sungai.

Kedudukan rumah antara satu sama lain memang rapat. Kepadatan sangat tinggi. Banyak rumah terletak di atas air, dihubungkan dengan titi. Sebahagian kawasan titi telah ditambak menjadi jalan dan lorong bertar. Jalan bertar boleh dilalui oleh kereta penduduk. Lorong hanya boleh dilalui oleh motorsikal.

Kampung Warna Warni kini menjadi destinasi mesti bagi pelancong ke Perlis. Mereka berpeluang meneroka perkampungan ini secara dekat dengan menelusuri lorong-lorong seluruh kampung menaiki ‘beca motorsikal’ yang boleh memuatkan sehingga empat orang.

Beca motorsikal sedia membawa pengunjungi menelusuri keliling kampung.

Kenderaan pengunjung perlu diparkir di luar kampung. Beca motorsikal yang dipandu oleh anak kampung menyediakan khidmat mengelilingi kampung dengan bayaran sangat berpatutan, di bawah RM50. Harapan Raja Muda agar keindahan Kampung Warna Warni memberi pulangan ekonomi jadi kenyataan.

Atau boleh mengelilingi kampung dengan menyewa motorsikal. Juga boleh berjalan kaki. Tetapi keseluruhan kampung ini luas. Jika berjalan kaki bimbang tidak larat melawat semuanya. Jika menyewa motosikal boleh jadi masalah kerana tidak biasa dengan simpang siur jalan.

Cara terbaik gunakan khidmat beca motorsikal. Duduk santai melihat keindahan sekeliling. Sepanjang perjalanan, pemandu beca bertindak sebagai pemandu pelancong, memberi penenerangan mengenai kampung tersebut, seperti asal usul. Dia juga sedia menjawab soalan berkenaan kampung.

Penumpang boleh meminta pemandu berhenti di lokasi tertentu seandainya ingin mengambil gambar. Lokasi yang pengunjung suka ambil gambar kenangan ialah jambatan Tuanku Syed Putra yang berwarna warni. Dari atasnya boleh melihat pemandangan indah Kuala Perlis.

Rumah yang seni binanya menarik, diselimuti pelbagai warna juga menjadi lokasi kegemaran pengunjung mengambil gambar.

Habis mengelilingi kampung, kepuasan dirasa. Kampung Warna Warni cantik, meriah dan sangat menghiburkan. Banyak kenangan manis terpahat di hati apabila melawat kampung unik ini. Rasai sendiri keseronokannya. Apabila berkunjung ke Perlis, jangan lupa Kampung Warna Warni!

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor titik mula transisi kepimpinan lebih muda

GENDANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah pun dipalu mulai Sabtu lalu. Proses penamaan calon diikuti kempen selama dua minggu...

More Articles Like This