HOSPITAL Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS) yang merupakan hospital pengajar untuk Universiti Putra Malaysia (UPM) mencipta satu lagi sejarah baharu dalam rawatan kanser prostat dalam negara.
Hal itu selepas HSAAS telah berjaya menjalankan prosedur ablasi tumpuan dengan gelombang mikro (TMA) untuk pesakit kanser prostat di peringkat awal.
Ketua Jabatan Urologi HSAAS, Prof Datuk Dr Khairul Asri Mohd Ghani berkata, pencapaian bersejarah itu menjadikan UPM sebagai institusi pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menawarkan rawatan inovatif berkenaan.
Jelas beliau, rawatan TMA itu merupakan kemajuan besar dalam usaha melawan kanser prostat.

Katanya, TMA juga menyediakan pesakit dengan rawatan alternatif yang tepat dan tidak invasif berbanding dengan rawatan umum seperti pembedahan dan radioterapi.
“Rawatan TMA ini sangat efektik, kurang komplikasi, kurang kesan sampingan dan proses penyembuhan sangat pantas.
“Melalui kaedah TMA, jarum kecil berukuran beberapa milimeter dimasukkan ke dalam prostat.
“Kemudian, kita akan salurkan suhu sehingga 70 ke 80 darjah celcius ke jarum tersebut untuk membakar dan mematikan sel kanser yang sudah dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Bengkel Sulung Kaedah Rawatan Tumpuan Dengan Gelombang Mikro (TMA) Untuk Pesakit Kanser Prostat di HSAAS baru-baru ini.

Kaedah TMA elak risiko mati pucuk
Mengulas lanjut, Dr Khairul Asri berkata, kaedah rawatan TMA amat berbeza dengan kaedah rawatan standard yang mana sebelum ini kebanyakan pesakit kanser prostat akan menjalani pembedahan.
Jelas beliau, melalui kaedah pembedahan, keseluruhan kelenjar prostat terpaksa dibuang selain pesakit perlu menjalani rawatan radioterapi untuk merawat keseluruhan kelenjar prostat.
“Kesan sampingan paling utama yang merisaukan kalangan pesakit adalah mati pucuk.
“Selepas pembedahan, pesakit berisiko tinggi akan mengalami mati pucuk dan tidak dapat kawal pembuangan air kecil.
“Begitupun, melalui kaedah TMA, kedua-dua kesan sampingan ini boleh dikatakan tidak akan berlaku.
“Tetapi kaedah ini bukan untuk semua jenis kanser prostat. Kaedah ini hanya untuk kanser prostat di peringkat awal dan yang didapati berlaku dalam kelenjar prostat, kalau dah keluar dari kelenjar prostat, tidak boleh gunakan teknik ini,” katanya.

Tempoh pemulihan selepas rawatan lebih pantas
Mengulas mengenai tempoh pemulihan selepas pesakit menjalani rawatan TMA, Dr Khairul Asri berkata, ia lebih pantas berbanding kaedah pembedahan.
Selain itu, katanya, kos bagi kaedah TMA juga satu pertiga lebih murah berbanding kos pembedahan standard.
“Sebenarnya di Malaysia sudah banyak hospital menggunakan teknik pembedahan yang canggih dan terkini iaitu menggunakan robot.
“Begitupun, kaedah ini masih lagi memerlukan tempoh masa sehingga dua ke tiga minggu untuk pesakit pulih dari kesan pembedahan.

“Tetapi, menggunakan kaedah TMA, tempoh masa untuk pulih adalah lebih pantas iaitu sekitar lima hari dan boleh kembali bekerja selepas itu.
“Prosedur TMA pula hanya mengambil masa kurang sejam untuk dilakukan,” katanya.
Dr Khairul Asri menambah, HSAAS juga telah berjaya mendapatkan kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA) bagi kaedah rawatan TMA, instrumen dan mesin yang dibawa masuk pertama kali ke Malaysia itu.
Kanser prostat semakin meningkat dalam kalangan lelaki
Untuk rekod, kanser prostat adalar kanser kedua paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki di seluruh dunia dan ketiga dalam kalangan lelaki Malaysia.
Dr Khairul Asri berkata, pengesanan awal boleh dilakukan melalui ujian darah mudah yang dikenali sebagai ujian Prostate Specific Antigen (PSA).
Katanya, ketepatan diagnostik boleh dipertingkatkan dengan pengimejan MRI dan biopsi yang disasarkan berdasarkan MRI (targeted biopsy).

Namun demikian, di Malaysia, 50 hingga 60 peratus lelaki didapti diagnosis kanser prostat pada peringkat akhir (tahap 3 dan 4).
Dr Khairul Asri menggesa orang ramai untuk berbincang dengan doktor tentang ujian PSA, terutamanya bagi lelaki yang berisiko tinggi, termasuk mereka yang berusia lebih 50 tahun atau yang lebih muda yang mempunyai sejarah keluarga kanser prostat atar payudara.
Kanser prostat peringkat awal selalunya tidak menunjukkan gajala, denga kebanyakan kes didapati secara tidak langsung kerana tahap darah PSA meningkat.
Sebaliknya, gejala seperti kerap membuang kencing, kencing berdarah, aliran kencing perlahan, dan sakit belakang atau tulang, biasanya mununjukkan penyakit peringkat lanjut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

