PENTAKSIRAN Berasaskan Sekolah (PBS) yang dilaksanakan di Malaysia ketika ini bergerak selari dengan agenda pendidikan global.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen memaklumkan, perkara itu berdasarkan perbandingan pentaksiran pendidikan yang dilaksanakan di negara serantau dan antarabangsa.
Menurut Fadhlina, Kementerian Pendidikan (KPM) telah melakukan perbandingan dengan beberapa buah negara seperti Finland, Amerika Syarikat (AS), Jerman, Kanada, Australia, Scotland, Norway, New Zealand, Jepun, Hong Kong dan Indonesia bagi menambah baik sistem pentaksiran pendidikan.
Katanya, kesemua negara itu juga telah beralih daripada peperiksaan berpusat kepada PBS.
Fadhlina berkata, Pentaksiran Berasaskan Sekolah disifatkan sebagai game changer untuk KPM beralih daripada pentaksiran berorientasikan peperiksaan ke arah pentaksiran berorientasikan perkembangan murid secara holistik.
“Fokus pembelajaran bukan hanya bertumpu kepada gred atau markah dalam peperiksaan tetapi beralih kepada pembelajaran yang bermakna dalam suasana yang menyeronokkan.
“Pelaksanaan PBS adalah selari dengan Incheon Declaration and the Education 2030 Framework for Action yang dibentangkan pada 21 Mei 2015 dalam World Education Forum di Incheon, Korea Selatan.
“Deklarasi ini menggariskan pentaksiran pendidikan berkualiti melalui pentaksiran berterusan berasaskan bilik darjah serta pentaksiran yang lebih komprehensif merangkumi pentaksiran kognitif dan bukan kognitif,” katanya dalam jawapan bertulis itu.
Fadhlina menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) yang meminta Menteri Pendidikan menyatakan pelan jangka pendek dan panjang kementerian bagi mengembalikan semula pelaksanaan Peperiksaan UPSR dan PT3.
Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, KPM juga telah melaksanakan ujian akhir sesi akademik yang merupakan pentaksiran sumatif dalam komponen Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai usaha memperkasa PBS.
Baca artikel lain: KPM teliti beberapa isu dihadapi SJK Cina dan SJK Tamil
Jelasnya, ujian itu bersifat low stake dan mampu mengurangkan tekanan peperiksaan kepada murid.
Pada masa sama, KPM turut melakukan penambahbaikan terhadap pelaksanaan ujian akhir sesi akademik mulai sesi akademik 2024/2025 antaranya menukar bentuk pelaporan daripada Tahap Penguasaan kepada bentuk peratus dan gred serta memberikan sekolah dan guru autonomi dalam pelaksanaan ujian akhir sesi akademik.
Beliau berkata, KPM sentiasa cakna dan mengambil kira pandangan serta saranan semua pihak yang berkaitan dalam menentukan hala tuju pendidikan negara.
“KPM yakin pentaksiran yang bersifat holistik dan berterusan melalui PBS yang merangkumi aspek intelektual, emosi, sosial dan jasmani merupakan pendekatan terbaik bagi mengoptimumkan potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu seperti yang dihasratkan dalam Falfasah Pendidikan Kebangsaan.
“Justeru itu, pentaksiran pendidikan secara holistik melalui PBS akan turut dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.
“KPM turut menumpukan pada enam agenda reformasi pendidikan negara dan pendekatan baharu kurikulum persekolahan 2027 serta pelan pembangunan pendidikan baharu.
“KPM beriltizam untuk memastikan semua agenda reformasi pendidikan bergerak tangkas dan berupaya memberikan pendidikan berimpak tinggi kepada generasi pewaris negara,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

