Kerjasama strategik yang terjalin antara syarikat amanah, Rakyat Trustee Berhad (RTB) dengan Nusa Kapital Sdn. Bhd. (Nusa Kapital) dan juga sebuah syarikat hartanah, TT Gratia Group bakal memperkukuh ekonomi koperasi menerusi sebuah projek hartanah di Melaka.
Dalam pada itu, menurut kenyataan Pengerusi Rakyat Trustee Berhad, Datuk Zazali Haron, kerjasama antara sektor koperasi dan industri amanah akan memperkukuhkan ekonomi negara sekaligus memastikan pelaburan yang dilaksanakan memberi manfaat yang maksimum kepada semua pihak.
“Dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar, Rakyat Trustee Berhad bertekad untuk melindungi dana Koperasi yang diuruskan dengan mengambil pendekatan berhati-hati dan strategi yang berpandangan jauh. Kerjasama ini juga membolehkan ahli koperasi menikmati pelbagai faedah termasuk diskaun menarik bagi pembelian rumah di bawah inisiatif ini.
“Kerjasama strategik ini bertujuan untuk memperkasakan ekonomi koperasi dan ini boleh dijadikan sebagai platform bagi peningkatan pendapatan ahli koperasi,” ujarnya.

Pengarah Urusan RTB, Faudzi Mt Din berkata, kerjasama yang termeterai ini akan melibatkan dana sebanyak RM50 juta di mana RTB akan menjadi pemegang amanah bagi dana tersebut untuk memastikan kelancaran projek hartanah tersebut mengikut perjanjian yang dimeterai malah memantau tadbir urus Nusa Kapital dan juga TT Gratia bagi melindungi pelabur sekali gus kepada para pembeli projek tersebut.
“Ini merupakan usaha sama pertama bersama Nusa Kapital yang merupakan penyedia platform pembiayaan antara-rakan-setara atau peer to peer (P2P) patuh syariah pertama di negara malah di dunia.
“Kami juga akan memastikan segala transaksi dalam projek ini berlaku di bawah pemantauan RTB memandangkan ramai pelabur yang masih tidak membuat penyelidikan atau pengetahuan sehingga tersilap dalam aktiviti pelaburan kerana teruja dengan janji pulangan yang tinggi.
“Nusa Kapital menyediakan satu platform di mana kami senaraikan projek pelaburan mengikut kesesuaian masing-masing pada harga serendah RM50 dan RTB akan menjadi pemegang amanah kepada dana pelaburan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara RTB dengan Nusa Kapital dan juga TT Gratia di sini baru-baru ini.
Turut hadir Pengerusi RTB, Datuk Zazali Haron, Ketua Pegawai Operasi Nusa Kapital, Izmi Marican dan Pengarah Urusan TT Gratia, Tan Wei Joon.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Nusa Kapital, Izmi Marican menyatakan pihaknya telah memastikan bahawa Syarikat TT Gracia memenuhi standard yang diperlukan dan keupayaan syarikat untuk membayar semula dana yang digunakan.
“Kami akan menilai rekod sejarah syarikat, kekuatan dan juga pulangan yang dijangkakan, tempoh masa pulangan tersebut boleh dimanfaat pelabur serta pelbagai perkara lain yang menjadi keutamaan
“Kami juga perlu pastikan kepentingan pelabur daripada semua aspek dan sekali gus menjaga kepentingan pembeli projek hartanah tersebut.
“Sebagai sebuah platform pembiayaan, kami akan membuat pemantauan bukan sahaja pada peringkat awal tetapi juga sehingga selesai disiapkan, malah kami juga boleh membuat analisa daripada perjanjian yang ditandatangani pembeli bagi memastikan projek tersebut mengikut garis panduan,” jelasnya

