KIRA-KIRA lima tan baja organik dihasilkan dalam masa sehari hasil daripada ‘bahan buangan’ manusia yang terkumpul di Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).
Inovasi itu menurut Ketua Jabatan Perancangan dan Kejuruteraan Pusat Kajian Indah Water (IWRC), Ir. Mohd Taufik Salleh hasil daripada kajian bersama dengan beberapa universiti tempatan sejak tahun 2000.
Bercakap dengan Utusan TV, Mohd Taufik berkata, idea untuk menghasilkan baja organik itu selepas IWRC melihat tiga produk utama di loji rawatan kumbahannya iaitu bioefluen, biogas dan biopepejal.
Mohd Taufik menerangkan, bioefluen adalah sisa kumbahan kotor yang dirawat sehingga menjadi bersih dan patuh kepada standard alam sekitar, sebelum dilepaskan ke sungai.
Jelas beliau, biogas pula adalah gas metana yang terkumpul di setiap loji besar dan ditukar menjadi tenaga elektrik untuk dipakai di loji kumbahan.

Manakala, biopepejal katanya terhasil daripada mendapan di dalam tangki loji kumbahan yang kemudiannya diproses dan dikeringkan sebelum dilupuskan ke tapak pelupusan sampah.
“Biopepejal ini sebelum dibawa ke kilang penghasilan baja organik, kita akan melakukan proses ‘nyah air’ di loji kumbahan yang mana hasilnya adalah dalam bentuk doh dengan kekeringan sekitar 20 peratus.
“Doh biopepejal ini akan dibawa ke kilang untuk melalui proses campuran dengan bahan lain seperti cuka kayu untuk nyah bau dan bioarang, sebelum dikeringkan sehingga ke tahap 60 peratus.
“Selepas itu, ia akan dipanaskan dengan suhu 300 celcius hingga 400 celcius. Apabila dah kering, kita dapat produk akhir (baja organik) dalam lima tan sehari, sama ada dalam bentuk palet atau serbuk” katanya kepada UtusanTV.
Untuk rekod, terdapat lebih 7,000 loji rawatan sisa kumbahan di seluruh Malaysia yang mana sisa kumbahan yang dikumpulkan secara purata melebihi 100,000 tan setahun.

Sisa kumbahan bukan terdiri daripada najis manusia semata-mata
Menjelaskan dengan lebih mendalam mengenai baja organik yang dihasilkan daripada sisa kumbahan, Mohd Taufik berkata, ia bukan terhasil daripada najis manusia semata-mata.
Ujar beliau, selain daripada najis manusia, sisa kumbahan itu terdiri daripada sisa-sisa makanan mahupun sisa pembuangan domestik yang masuk ke dalam saluran kumbahan.
“Dari segi persepsi, orang akan cakap baja ini hasil daripada najis manusia. Tetapi kita kena faham, baja organik ini telah melalui beberapa proses. Sampai ke patologi. Contoh pertama penyaringan, kita buang bahan-bahan yang bukan organik.

“Yang kedua, proses rawatan biologi yang mana tidak menggunakan bahan-bahan kimia. Dalam proses ini, mikrobe akan makan kotoran itu.
“Selepas itu akan pergi ke tangki pencernaan. Ia melalui macam-macam proses termasuk menggunakan haba. Jadi baja organik itu bukan lagi dalam bentuk asal (najis manusia).
“Kalau di negara lain, contohnya di Singapura, di sana mereka menyuling air kumbahan untuk dijadikan air minuman kerana di sana ada kekangan dengan sumber air,” katanya.

IWK lakukan kajian terperinci
Berdasarkan kajian yang dilakukan dalam skala besar bermula pada 2022, Mohd Taufik berkata, baja organik yang dihasilkan telah mendapat maklum balas positif daripada pengguna.
Menurut beliau, maklum balas itu adalah hasil daripada pemberian pek percubaan dalam skala yang besar oleh IWRC kepada nurseri dan peladang-peladang tempatan di Semenanjung Malaysia.
Sehingga tahun ini, Mohd Taufik berkata, IWRC telah menambah baik formula yang digunakan untuk menghasilkan baja organik berkenaan bagi memastikan ia sesuai digunakan untuk tanaman para pengguna khususnya tanaman makanan.

“Setakat ini fokus kepada tumbuhan bukan makanan. Bagi pokok buah-buahan kita memang sudah buat kajian dengan pihak SIRIM dan kita hantar sampel kerana ada persepsi daripada orang awam kalau tanam buah-buahan menggunakan baja ini (tidak sesuai), kerana datang daripada kotoran.
“Jadi kita hantar sampel kepada SIRIM dan dapat bukti jelas tiada logam berat dan tiada patogen atau kuman-kuman berbahaya dalam baja ini. Kita juga buat ujian ketoksikan yang dilakukan terhadap tikus dan mendapati tikus ini semakin sihat.
“Jadi secara tidak langsung, baja ini bukan setakat boleh digunakan untuk tumbuhan bukan makanan malah untuk tumbuhan makanan juga,” katanya.
Kesan baja organik IWK terhadap tanaman
Mengulas lanjut, Mohd Taufik berkata, kajian baja organik tertumpu kepada dua faktor iaitu sama ada terhadap kewujudan logam berat di dalam baja organik yang dihasilkan dan sama ada terdapat logam berat pada tumbuhan yang menggunakan baja organik berkenaan.
Menurut beliau, hasil daripada kajian yang dilakukan, kedua-dua faktor itu disahkan tiada sebarang kewujudan logam berat sekaligus membuktikan baja organik tersebut selamat untuk diguna pakai.
Selain itu, kata Mohd Taufik, kajian juga dilakukan terhadap kesan kesuburan tanaman-tanaman makanan dan bukan makanan yang menggunakan baja organik berkenaan.

“Memang ada perbezaan ketara dari segi tumbesaran tanaman, akar, bunga dan daun. Kita lihat daun yang menggunakan baja organik lebih hijau dan berkilat. Bunga pun banyak, akar pun lebih panjang.
“Kalau kita tengok daripada maklum balas pengguna yang mendapat pek percubaan baja organik, ada yang memaklumkan yang sebelum ini pokok-pokoknya tidak berbunga tetapi apabila pakai baja organik, selepas beberapa minggu, bunga pun dah ada.
“Ini yang meyakinkan ramai pengguna bahawa baja yang dihasilkan daripada biopepejal ini memang baik untuk digunakan. Ada yang minta lagi pek percubaan ini,” katanya.
2025 tahun pemula baja organik dikomersialkan
Memandangkan permintaan para pengguna yang semakin meningkat, Mohd Taufik berkata, IWK merancang untuk mengkomersialkan baja organik secara rasmi pada 2025 secara besar-besaran.
Ujar beliau, ketika ini, terdapat syarikat yang sudah memohon untuk membeli 100 tan baja organik sebulan selepas melihat hasil positif terhadap tanaman mereka.
Menurut Mohd Taufik, baja organik yang akan dikomersialkan terdiri daripada dua bentuk iaitu palet dan serbuk, sesuai dengan kehendak pasaran ketika ini.
“Baja organik dalam bentuk serbuk sesuai digunakan di ladang-ladang yang besar kerana mudah diuruskan memandangkan ia didatangkan dalam pek besar. Manakala, baja organik dalam bentuk palet pula sesuai digunakan di rumah kerana ia mudah disimpan,” katanya.

Tidak terhenti setakat itu, Mohd Taufik berkata, IWK juga telah berjumpa dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memastikan tiada unsur syubhah dalam penggunaan baja organik yang dihasilkan.
Menurut beliau, perkara itu telah dibawa kepada Jawatankuasa Mufti dan dibentangkan kepada panel pakar syariah yang dianggotai beberapa mufti negeri.
“Potensi baja organik ini sangat besar. IWK juga telah berjumpa dengan JAKIM sebab persepsi. Kita minta JAKIM untuk membawa perkara ini kepada Jawatankuasa Mufti. Kita dah bentangkan kepada panel pakar syariah yang dianggotai beberapa mufti negeri.

“Untuk buat baja organik ini, bahan asasnya tidak boleh terdiri daripada najis manusia dan najis babi. Kalau kita tidak clear kan Malaysia Standard (MS), ini akan jadi kekangan, tidak boleh untuk kita pasarkan. Jadi kita bentangkan kepada panel pakar syariah, apa hasil kita punya kajian.
“Kerisauan utama adalah logam berat dan virus-virus. Semasa pembentangan, panel pakar syariah ini dilihat positif dengan baja organik. Selepas ini, panel pakar syariah akan membawa perkara ini ke muzakarah mufti.
“Jadi selepas keputusan daripada muzakarah mufti kata boleh pakai, seluruh negeri akan ikut. Dan ini akan memberi keyakinan kepada lebih ramai orang khususnya orang Islam,” katanya.
Hala tuju IWK jelas, minimumkan kesan rumah hijau
Pada 12 Oktober 2017, Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) telah dilancarkan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air ketika itu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
GTMP pada ketika itu dijangka melonjak lagi pertumbuhan teknologi hijau negara dengan pulangan sebanyak RM180 bilion menjelang 2030.
IWK menurut Mohd Taufik mempunyai hala tuju yang jelas selaras dengan GTMP yang diterbitkan pihak kementerian berkenaan dengan menghasilkan baja organik.

“Dalam pelan induk digariskan menjelang 2030, bahan yang dirawat di loji kumbahan ini tidak boleh dilupuskan di tapak pelupusan sampah.
“Kita kena guna semula atau kitar semula. Jadi secara tidak langsung, ia boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. Kita sebagai syarikat alam sekitar komited untuk meminimumkan kesan rumah hijau ini.
“Kalau kita lupuskan biopepejal ini lebih kurang 100,000 tan setahun di tapak pelupusan sampah, ia akan bagi impak kepada alam sekitar.
“Pada masa sama, tapak pelupusan sampah juga sudah tidak muat dengan biopepejal ini,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV dengan pengalaman 11 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada Januari 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media arus perdana dan portal berita lain sejak 2015. Sepanjang kerjaya, penulis telah menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu seperti jenayah, politik, perkembangan semasa dan hiburan.

