“SAYA nak minta kalaulah ditakdirkan saya tak terpilih, saya nak minta keluarga besar Tambun kita ‘chill’ saja, kita tenang, tiada masalah.”
Demikian kenyataan penyandang Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu terhadap kemungkinan beliau tewas dalam perebutan jawatan Naib Presiden parti berkenaan.
Untuk rekod, keputusan pemilihan Bersatu akan diumumkan hari ini yang mana Ahmad Faizal bertanding jawatan Naib Presiden dengan lima lagi calon yang lain.
Ujar Ahmad Faizal, beliau menerima dengan hati terbuka walau apa jua keputusan yang akan diumumkan hari ini.
Ahmad Faizal berkata, beliau akan tetap memberikan sumbangan terhadap Bersatu walapun sekiranya tewas dalam perebutan jawatan berkenaan.
“Secara jujur, orang kata… tahniah Peja, terima kasih kerana berjiwa besar, tak pernah ada orang macam ni, ketua kampung pun susah nak lepaskan jawatan inikan pula timbalan presiden.
“Setiap enam calon yang bertanding naib presiden mempunyai peluang sama rata, namun paling penting, setiap calon perlu meneruskan usaha untuk memberi khidmat bakti kepada parti dalam apa jua kapasiti,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Pada Pemilihan Bersatu bagi penggal 2024-2027, Ahmad Faizal berentap dengan lima lagi calon bagi jawatan Naib Presiden iaitu A’ziss Zainal Abidin, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Razali Idris dan Mohd Rafiq Abdullah.
Ketika ditemui di luar persidangan, bekas Menteri Besar Perak itu menjelaskan beliau berharap pemilihan parti tidak mengakibatkan perpecahan dalam kalangan ahli parti.
“Apa yang kita lakukan ialah untuk memperkuatkan parti. Jangan pula kita tewas, kita melemahkan parti.
“Jadi, niat awal nak menguatkan itu teruskan, apa jua keputusan terima dengan baik.
“Saya tak jadi Menteri Besar pun saya terima dengan hati terbuka, inikan pula jawatan ini (Naib Presiden Bersatu),” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

