SISTEM pendidikan negara memainkan peranan utama dalam membentuk konsep integriti yang akan menentukan karakter dan nilai seseorang individu, kata bekas Menteri Luar Tan Sri Dr Syed Hamid Albar.
Beliau berkata integriti bukan sekadar slogan atau kenyataan kosong namun melibatkan amalan yang terbentuk daripada jiwa yang bersih dan wajar dipupuk sejak awal bangku persekolahan yakni tidak boleh bergantung kepada dasar atau undang-undang negara sahaja.
“Kita ada macam-macam dasar dan undang-undang tetapi masih terjadi (kes melibatkan amalan integriti), jadi kita perlu kembali kepada asas.
“Contohnya di Jepun, dari kecil anak itu diterapkan elemen positif, diajar pasal kejujuran, mereka sangat jujur. Ini yang kita nak. Jika nilai-nilai ini dipupuk sejak awal, ia akan membantu melahirkan individu yang tidak hanya mampu mengelak daripada melakukan kesilapan, tetapi juga mempunyai benteng ketahanan yang kukuh terhadap godaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Syarahan Canselor Tuanku Muhriz keenam bertajuk ‘Tadbir Urus dan Integriti: Satu Pandangan’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selasa.
Baca artikel lain: KPDN rampas barang kawalan bernilai lebih RM10,000 di Kuala Sepetang
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang juga Canselor UKM berkenan berangkat ke majlis tersebut.
“Bila peraturan dan etika tidak diamalkan dengan sempurna, akibatnya berlaku macam-macam salah laku dan akhirnya negara dan rakyat berdepan pelbagai kesan negatif termasuk kerugian dan menjejaskan pelaburan,” kata Syed Hamid yang tidak asing lagi dalam dunia politik Malaysia.
Menyentuh mengenai elemen tadbir urus yang baik, beliau berpendapat Malaysia boleh memanfaatkan platform digital secara meluas bagi menambah baik ketelusan operasi kerajaan.
Menurutnya rakyat ketika ini mahukan akses kepada data dan maklumat awam terutamanya berhubung perolehan kerajaan, pengurusan projek dan penyaluran peruntukan kewangan.
“Rakyat mesti dibawa bersama (being included). Kerajaan perlu kongsi rasional sesuatu polisi yang diperkenalkan supaya tiada salah faham berbangkit,” katanya.
Syarahan Canselor Tuanku Muhriz merupakan acara syarahan perdana terulung di UKM yang dianjurkan sebagai tanda sanjungan institusi itu kepada Tuanku Muhriz.
Acara itu menjadi wadah kepada tokoh dari dalam dan luar negara untuk berkongsi pemikiran, pengetahuan dan pengalaman khususnya dalam hal ehwal awam, tadbir urus, integriti dan perundangan.
Sesi yang berlangsung kira-kira tiga jam itu turut dihadiri Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman dan Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tan Sri Mohd Zuki Ali yang juga bekas Ketua Setiausaha Negara.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

