PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan soal pendidikan dan naik taraf kemudahan sekolah tetap menjadi keutamaan Kerajaan MADANI di sebalik cabaran ekonomi akibat krisis tenaga global.
Beliau menekankan bahawa projek kecil yang menyentuh keperluan harian pelajar termasuk pembaikan kemudahan asas, mesti disegerakan tanpa berlengah.
Tegas beliau, keutamaan ini tidak boleh dikompromi walau dalam keadaan krisis, kerana masa depan anak-anak tidak boleh menjadi korban.
“Namun dalam memastikan keutamaan ini terus dilaksana, kita tidak dapat lari daripada realiti bahawa dunia sedang berdepan krisis tenaga global yang kian meruncing, susulan konflik di Asia Barat.
“Tempiasnya turut dirasai di negara kita. Dalam keadaan ini, Kerajaan MADANI terus berikhtiar sedaya upaya memastikan rakyat tidak terbeban, termasuk mengekalkan harga RON95 pada kadar yang rendah serta meneruskan subsidi diesel.
“Sambil mengimbangi keperluan melindungi rakyat dan menjamin bekalan tenaga negara untuk jangka panjang,” katanya menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Beliau pada masa sama mengambil kesempatan untuk mengingatkan bahawa pendidikan perlu mengutamakan keupayaan berfikir secara kritis, memupuk nilai serta akhlak, di samping menguasai pelbagai bidang ilmu.
“Dalam dunia yang penuh cabaran ini, ilmu tanpa nilai boleh memesongkan arah jika tidak dipandu oleh adab dan keinsanan.
“Insya-Allah, dengan keutamaan yang jelas terhadap pendidikan serta kefahaman dan kebersamaan dalam mendepani cabaran global, kita mampu mengharungi ujian ini bersama-sama,” katanya lagi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

