
BAYANGKAN senario ini. Saman trafik yang dikeluarkan pada tahun 1990 masih belum dijelaskan sehingga kini. Jika seseorang lahir pada tahun saman itu dikeluarkan bererti dia kini berusia 34 tahun, kemungkinannya sudah beranak pinak.
Ini bukan kisah dongeng atau drama, tetapi realiti yang didedahkan sendiri oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, pada lawatan ke pejabat JSPT Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurutnya, berdasar rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), lebih 43.5 juta saman berdaftar bernilai RM6.5 bilion masih tertunggak dan tidak dijelaskan sejak 1990 sehingga 6 November lalu. Angka ini adalah 33 peratus daripada jumlah keseluruhan saman berdaftar yag direkodkan untuk tempuh sama.
Rekod PDRM mencatatkan sepanjang tempuh dari 1990 hingga 6 November, jumlah saman yang didaftarkan ialah 135,915,377 dengan nilai lebih RM20.38 bilion. Daripada jumlah itu 67 peratus atau 92,317,493 saman bernilai RM8.56 bilion sudah dibayar.
Tahniah kepada pihak PDRM kerana berjaya mengutip hasil yang tinggi. Tetapi sayangnya 33 peratus lagi, atau 43,597,884 saman belum dibayar dengan nilai RM6.53 bilion.
Isunya kini bukan sahaja saman berusia 34 tahun belum dijelaskan, tetapi puluhan juta saman dengan nilai berbilion ringgit masih belum diselesaikan sepanjang tempuh tersebut.
Pendedahan yang dibuat oleh Hassan Basri menyerlahkan begitu banyak saman belum dijelaskan dalam masa hampir tiga setengah dekad. Pada sisi lain ia menimbulkan persoalan besar kenapa begitu banyak saman tertunggak?
Situasi ini seolah-olah menggambarkan pihak PDRM tidak serius memastikan saman dibayar, dibiarkan ‘beku’ tahun demi tahun berlalu. Kesemuanya adalah saman berdaftar yang bererti data peribadi pelaku kesalahan ada di dalam rekod.
Kerana itu tidak harus timbul alasan pesalah gagal dikesan. Sebaliknya ia lebih menampakkan tiada usaha serius memastikan pesalah membayar atas kesalahan yang mereka lakukan. Kerana itu setelah 34 tahun masih tertunggak.
Jika terus dibiarkan, usia saman itu semakin ‘tua’ setiap tahun. Bila akan selesai? Atau cukup hanya wujud dalam rekod tetapi memang tiada usaha mendapatkan bayaran saman berkenaan?
Tujuan utama mengeluarkan saman dengan jumlah penalti tertentu adalah untuk mendidik pesalah trafik belajar daripada kesalahan yang dilakukan, bukan semata-mata untuk memperoleh hasil. Saman mengingatkan mereka agar tidak mengulangi kesalahan.
Tetapi jika hanya rajin mengeluarkan saman namun tiada tindakan tegas memastikan saman itu dibayar, atau dibiarkan ‘beku’ sehingga berpuluh tahun, pengajaran yang hendak diterapkan di kalangan pesalah agar mamatuhi peraturan jalan raya tidak mencapai matlamat.
Sebaliknya pesalah merasa saman itu seperti ‘main-main’ sahaja. Ini kerana walau pun tidak dijelaskan, tiada tindakan diambil. Lain kali mereka akan lakukan kesalahan lagi kerana beranggapan tidak mengapa berbuat demikian kerana tiada tindakan.
Selari dengan kes saman tertunggak ini, penulis ingin memberi contoh apabila berlaku kemalangan melibatkan kenderaan berat seperti lori dan treler sehingga meragut nyawa dan mendatangkan kecederaan serius.
Sering dilaporkan pemandu cuai menyebabkan lori atau treler melanggar atau merempuh kenderaan lain di atas jalan, atau ketika berhenti pada lampu isyarat. Terdapat juga kes pemandu di bawah pengaruh dadah atau minuman keras. Yang jadi mangsa pemandu kenderaan lain yang tidak berdosa.
Apabila berlaku kemalangan seperti ini, kerap pihak polis mendedahkan pemandu lori atau treler terlibat mempunyai puluhan saman yang tidak dibayar. Ini seolah-olah mewajarkan kemalangan tersebut. Kerana pemandu bermasalah serta mempunyai banyak rekod kesalahan, maka berlaku kemalangan.
Kenapa setelah dikenakan berpuluh saman pemandu terlibat masih bermaharaja lela di jalan raya? Tentunya kerana dia dibiarkan terus menerus melakukan kesalahan. Walau pun saman dikeluarkan, tiada tindakan penguatkuasaan baik terhadap pemandu atau syarikat tempat dia bekerja.
Mungkin ini menjelaskan kenapa saman 34 tahun dibiar beku. Malah barangkali kerana usia saman yang sudah terlalu lama itu menghilangkan keghairahan untuk mencari pesalah terlibat, jika masih hidup, dan mungkin terus dibiarkan sahaja.
Kenapa PDRM tidak bertindak pantas dan proaktif terhadap setiap saman kesalahan lalu lintas yang dikeluarkan? Sentiasa pantau dan ambil tindakan terhadap pesalah jika saman tidak dijelaskan pada waktu ditetapkan, bukan menunggu sehingga berlarutan dan saman bertimbun.
Keupayaan PDRM menyimpan rekod saman berdaftar sejak berpuluh tahun memang dihargai. Tetapi menyimpan data sahaja tidak cukup. Setiap yang tercatat dalam data itu hendaklah diambil tindakan. Jika ini dilakukan, baharulah PDRM dan JSPT khususnya dilihat efisen melaksanakan tugas.
* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

