Selamat Hari Televisyen Sedunia : Secubit Sejarah, Segunung Dilema & Seluas Masa Depan

Dari Penulis

Oleh: Ahmad Syazwan Syuwari Nordin

Hari Televisyen Sedunia yang disambut pada 21 November setiap tahun, adalah bukti penghargaan serta penghormatan manusia terhadap objek yang diberi nama Televisyen. Jika kita rujuk pada kamus Dewan Edisi Keempat, Televisyen membawa maksud penyiaran (pemancaran) gambar hidup (gambar bergerak) beserta bunyi menerusi kabel atau udara pada skrin atau kaca peti televisyen. Maka tidak hairanlah jika di Malaysia masih ada golongan yang menyebutnya Peti atau Kotak Televisyen. Ini adalah kerana pada awal ciptaan, bentuknya merupakan segi empat sama seakan sebuah peti atau kotak yang besar.

Selembar & Seringkas Sejarah

Objek ini bukanlah baru wujud, memetik fakta dari portalHistory,usaha mencipta televisyen telah giat dijalankan pada hujung era 1920-an dan nama-nama seperti John Logie Baird, Philo Farnsworth dan Vladimir K. Zworykinadalah tokoh inovasi yang sering diangkat dalam sejarah penciptaan televisyen, terutama di sekolah-sekolah pengajian media di seluruh dunia. Garis masajuga telah menunjukan bahawa, British Broadcasting Corporation (BBC) telah membuat siaran televisyen pertamanya pada tahun 1936 dan diikuti oleh Radio Corporation of America 3 tahun kemudian pada iaitu tahun 1939 menerusi National Broadcasting Company (NBC).

1940-an merupakan tahun dimana dunia menyaksikan perkembangan industri penyiaran menerusi medium televisyen. Kecanduan serta kebergantungan manusia terutama mereka yang dibarat terhadap radio kian menyusut. Walhal pada masa itu, 80 peratus rumah di Amerika Syarikat mempunyai akses dan set radio. Bila dunia menjagkau 1950-an hampir separuh dari rumah yang ada di Amerika pada ketika itu telah mempuyai akses dan set televisyen. Maka pada detik itu, televisyen telah menjadi medium penting buat rakyat di Amerika dan ras barat bagi mendapatkan maklumat serta hiburan.

Sejarah di Malaysia

Awal 1960-an telah lahir cadangan untuk membawa siaran televisyen di Malaya dan ianya telah dibentangkan di dalam kabinet. Bulan Disember 1963, perkhidmatan siaran televisyen di Malaysia telah dilancarkan oleh Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu di studio sementara dijalan Ampang sebelum berpindah ke Wisma TV Angkasapuri pada tahun 1968. Dol Ramli telah di angkat sebagai Pengarah Penyiaran yang pertama juga anak Melayu pertama yang menyandang jawatan itu. Maka bermula era kecanduan televisyen di Malaysia, masyarakat yang selama ini hanya dapat mendengar suara dan bergantung pada kandungan radio seperti berita dan drama radio, kini teralih tumpuan pada sebuah peti yang mempunyai adunan audio dan visual yang di pancarkan menerusi kaca yang terdapat pada alat tersebut biar pun pada ketika itu warna visualnya hanyalah hitam dan putih. Siaran televisyen berwarna hanya muncul pada sekitar tahun 1978 di Malaysia biarpun di barat siaran program televisyen berwarna telah muncul pada tahun 1953.

Fungsi & Kandungannya

Peranan atau fungsi utama televisyen pada awal ciptaannya adalah dalam bentuk menyebarkan maklumat dan informasi.Di barat Ia banyak diguna pakai sebagai medium menyebarkan propaganda bagi meniup semangat rakyat selepas era perang dunia kedua. Menyemarakkan semangat nasionalis bagi sama-sama membina semula negara dari abu kemusnahan perang. Selain itu, peranan televisyen untuk menjadi medium pendidikan rakyat juga merupakan matlamat utama di barat.Program-program berteraskan pendidikan terutama program kanak-kanak giat diterbitkan, di tanah Inggeris program kanak-kanak seperti Muffin the Muletelah diterbitkan pada tahun 1952 oleh BBC. 

Situasi yang sama turut berlaku di Malaysia apabila siaran televisyen di perkenalkan pada tahun 1963. 50 peratus kandungan, dihasilkan secara siaran lansung di dalam studio. 50 peratus lagi, datangnya dari filem terbitan Filem Negara Malaysia dan rancangan yang diimport. Rata-rata kandungan adalah untuk memberi informasi serta maklumat pada rakyat. Selain itu, Malaysia juga memberikan penekanan televisyen sebagai salah sebuah medium pendidikan. Bahan-bahan terbitan dari Filem Negara Malaysia banyak disiarkan. Mereka yang melalui zaman kanak-kanak 80-an pasti ingat rancangan animasi Sang Kancil, Kerbau & Buaya terbitan filem negara yang sarat dengan pengajaran dan nilai murni.Bagi pengetahuan semua Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM pada era 1980-an, merupakan rancangan bual bicara tertua di Malaysiadan masih bersiaran hingga kini.Terdapat juga rancangan hiburan dirangka pada masa itu, namun ia sering disulam dengan maklumat serta perkara yang berbentuk informatif.

Fungsi televisyen terus bertambah seiring waktu, ia juga menjadi ejen sosial dan pembentukkan budaya kepada masyarakat dengan berlakunya pertambahan variasi program yang diterbitkan secara dalaman mahupun dibeli dari luar negara.Sebagai contoh kelahiran program agama & dokumentari bakal membentuk nilai masyarakat yang bermoral dan berpengetahuan. Percambahan program yang berbentuk hiburan juga jelas memberikan kesan kepada masyarakat yang menontonnya terutama kandungan yang berasal dari benua barat. Penonton dihidangkan dengan gaya hidup, makanan ,fesyen juga pemikiran barat contohnyaHippies pada hujung 1960-an yang meratipkan gerakkan kebebasan individu,perdamaian dan cinta alam. Negara ini juga pernah dilanda demam “K-POP” suatu ketika dulu,dimana segelintir masyarakat mendewakan artist, ketagihan karya seni sama ada dalam bentuk muzik,film dan drama bersiri korea. Hal ini juga telah memberi kesan kepada cara berpakaian, pemikiran serta selera makanan masyarakat terutamanya anak muda pada ketika itu.

Pensyarah Program Penyiaran Universiti Teknologi MARA (UiTM), Ahmad Syazwan Syuwari Nordin

Dilema & Ranjau Kini

Namun, masa silih berganti dan dunia terus berputar. Dahulunya masyarakat akan menunggu sajian rancangan apa yang bakal dihidangkan oleh stesyen televisyen. Intisari rancangan di surat khabar akan diteliti untuk mengetahui rancangan-rancangan televisyen yang menarik dan berkualiti bakal disiarkan dari masa ke masa. Kuasa editorial dari segi mencorak pemikiran masyarakat terletak di tangan penyiar kandungan pada ketika itu. Apabila bercakap mengenai editorial kandungan stesyen televisyen pastinya melalui proses tapisan yang ketat bagi memastikan rancangan yang berkualiti dari segi teknikal dan editorial dapat dihidangkan untuk santapan mata serta minda masyarakat. Hasilnya boleh kita lihat dari jurang pemikiran masyakat kita pada masa kini. 

Ledakkan teknologi dan kewujudan pelbagai medium bagi mengakses maklumat dan hiburan telah mengubah kebergantungan masyarakat kepada televisyen. Masyarakat kini tidak perlu menunggu turutan siaran dari stesyen televisyen. Mereka boleh memilih dan melanggan rancangan apa yang mereka mahukan. Kewujudan peranti pintar pula telah merangumkan fungsi telefon, komputer,radio, konsol permainan video dan televisyen ke dalam satu alat atau objek kemudian disulam oleh jaluran internet bagi mempercepatkan akses kepada maklumat dan memberi masyarakat pilihan baru iaitu dunia penstriman. Hal ini disokong dengan dasar langit terbuka serta revolusi teknologi maklumat dengan pengaliran infromasi boleh terus dicapai dengan mudah.

Apakah televisyen akan hilang di dunia ini?dan ditolak oleh masyarakat seperti radio yang kini menghuni di dalam kenderaan dan penjuru dapur seisi rumah?

Jawapannya TIDAK,dunia penyiaran terutamanya televisyen akan terus kekal relevan. Merujuk pada portal statisa, terdapat peningkatan pada setiap tahun bermula pada tahun 2015/2016 dimana 116.4 juta jumlah isi rumah yang mempunyai set televisyen di Amerika dan jumlah ini terus meningkat pada tahun 2023/2024 di mana 125 juta jumlah isi rumah yang mempunyai set televisyen di Amerika. Yang terjejas adalah stesyen yang mempunyai bisness model seperti pay tv atau langganan bulanan, dalam masa 5 tahun syarikat seperti ini mengalami penurunan sebanyak 10 peratus. Pastinya akibat dari kerancakkan dunia strim pilihangenerasi muda. Namun bagitu, di negara Uncle SAM menonton terrestrial televisyen masih lagi menjadi pilihan popular dikalangan masyarakat.

Dunia juga menyaksikan pelbagai jenis televisyen dihasilkan oleh pelbagai syarikat di dunia: plasma, LCD,LED, OLED,QLED,2K,4K,8K,16K,smarttv androidtv.microLED dan lain2 model. Ini belum lagi kita bincangkan soal saiz bermula paling kecil di dunia iaitu 15mm yang dihasilkan oleh syarikat TinyCircuits dan paling besar 115 inci oleh TCL. Jika perkakasan mengalami evolusi maka dunia kandungan dan stesyen televisyen juga turut mengalami evolusi dari segi perniagaan dan kandungan yang dihasilkan. Jika kita lihat banyak stesyen televisyen telah memperkasakan unit atau bahagian digital mereka. Selain membeli atau membuka sendiri digital-digital portal yang menjadi keghairahan generasi z dan alpha bagi mendapatkan maklumat dan hiburan. 

Selain itu, jika kita perhatikan, sejak beberapa tahun ini, pelbagai bentuk pendekatan dari segi kandungan cuba dilakukan oleh penerbit rancangan untuk syarikat media dan televisyen di Malaysia. Bukti yang nyata ialah Pemenang Rancangan Bual Bicara Terbaik, Anugerah Seri Angkasa 2024 iaitu Program Bual Bicara Khas Eksklusif Bersama Joko Widodo oleh Media Prima Berhad telah berjaya keluar dari acuan program bual bicara televisyen yang sudah menjadi kebiasaan di Malaysia. Garapan penerbit eksekutif kanan yang berpengalaman: Mohd Said Abdullah Thani telah mengadunkan teknik naratif kuno program bual bicarabersama konsep participatory dan cinema verite documentarytelah berjaya membuka dimensi baru dalam penghasilan program bual bicara di Malaysia. Sekaligus menunjukkan karya di televisyen berkembang dan mempunyai kualiti yang tersendiri, sebaris dengan apa yang di sajikan oleh platform baru sekarang.

Akhir sekali, mana mungkin kita terutamanya di Malaysia ini untuk membuang dan mengosongkan ruang tamu kita dengan tidak meletakkan televisyen sebagai salah satu objek wajib di ruangan tersebut. Kita harus akui bahawa, televisyen telah menghuni ruangan tersebut sejak sekian lama dan menjadi sebahagian daripada keluarga itu sendiri. Agak janggal jika kita ke rumah orang di negara ini dengan mereka tidak mempunyai sebuah televisyen di dalam rumah mereka. Tidak keterlaluan jika kita ukur status seseorang itu dengan jenis serta saiz televisyen yang mereka ada di rumah, kerana televisyen juga merupakan ukuran status sosial masyarakat sejak zaman ke zaman.Moga pada masa mendatang, televisyen dan industrynya akan terus hidup dan berevolusi dari masa ke masa dan beradaptasi dengan perubahan teknologi, keadaan politik dan ekonomi dunia.

**Penulis ialah pensyarah Program Penyiaran Universiti Teknologi MARA (UiTM). Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian UtusanTV.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor: Kempen makin panas, billboard calon PH dirosakkan pihak tertentu – Nie Ching

KEHANGATAN Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semakin terasa apabila beberapa insiden sabotaj terhadap kempen calon Pakatan Harapan (PH) dilaporkan...

More Articles Like This