Membantu usahawan membina jaringan perniagaan, Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM) menjadi satu platform buat usahawan dalam mengembangkan pelan dan strategik untuk terus kukuh dalam industri.
Pengarah Pembangunan Perniagaan DPDDM, Datuk Sri Sharizal Sarip berkata, DPDDM menyediakan peluang eksklusif kepada ahli untuk membina hubungan strategik yang dapat memperkukuh posisi perniagaan mereka.

“Kami menjadi platform dan mahu membuka langkah kepada kolaborasi bisnes buat usahawan dalam industri untuk jalinan kerjasama yang baharu. DPDDM juga menjadi pemudahcara bagi program khidmat sosial di mana ahli dapat menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Kami mahu semarakkan industri dengan mengumpulkan ahli yang terdiri daripada usahawan dengan beberapa acara eksklusif di mana ia secara tidak langsung memudahkan mereka untuk melakukan ‘business matching’. Platform ini menyediakan satu ekosistem perniagaan bagi meluaskan lagi perniagaan di peringkat tempatan dan global,” katanya.

Terdahulu, DPDDM menganjurkan Majlis Hi-Tea bagi meraikan pencapaian DPDDM dalam menyediakan platform eksklusif bagi ahli untuk berkongsi pengalaman, membina hubungan baru, dan memperkukuh jaringan perniagaan mereka.
Majlis turut memberi penghormatan kepada dua tokoh penting, Tan Sri Jojo dan YM Tengku Hishamudin, yang telah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan DPDDM. Sesi penyampaian watikah kepada penaja dan ahli kehormat turut diadakan bagi melambangkan elemen solidariti dalam DPDDM.
Jelas Pengerusi, Datuk Sri Hasnal, DPDDM komited untuk terus memajukan jaringan perniagaan dan menyokong ahli dalam mengembangkan keupayaan mereka di peringkat tempatan dan antarabangsa.

