OLEH: KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI
BARU-BARU ini Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan operasi besar-besaran berkaitan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa kebangsaan negara ini dengan jelas di beberapa tempat di Kuala Lumpur.
Sepatutnya operasi ini dibuat di semua bandar seluruh negara kerana kita sudah hampir 70 tahun merdeka.
Hal ini telah mengundang Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing mengkritik kononnya kontroversi perkauman atau agama yang berterusan akan menghakis kepercayaan dan kerjasama antarabangsa dan seterusnya memberi impak negatif terhadap Tahun Melawat Malaysia 2026.
Adakah maksud menteri, undang-undang bahasa Melayu dan Perkara 152 itu perkauman dan berbau sentimen agama?
Jelas di sini menterilah yang sebenarnya terlihat rasis atau perkauman terhadap undang-undang bahasa Melayu dengan berkata begitu? Menurutnya lagi papan tanda berbilang bahasa kononnya dapat menyerlahkan berbilang budaya yang ada di sini, bersikap mesra dan dapat menarik pelancong.
Umumnya pelancong datang untuk melihat sesuatu tempat menarik, budaya dan seumpamanya yang tiada atau berbeza dengan negara mereka, bukan hendak melihat papan tanda dalam bahasa mereka.
Janganlah sang menteri cuba menjadi kumpulan Sepahtu pula. Adakah sang menteri melihat terdapat papan tanda pelbagai bahasa di New York, Paris, Nagoya, Kowloon?
Kata Tiong lagi, dengan promosi pelbagai bahasa ini dapat mengubah warisan pelbagai budaya di sini. Adakah menteri bermaksud bahawa warisan budaya yang berabad dan hakikat sejarah tamadun negara ini mahu diubah mengikut selera peribadi? Kata Tiong kerana negara kita berbilang bangsa dan budaya kita tidak boleh mencipta imej palsu.
Ini seolah-olah bermaksud peraturan dan akta berkaitan penggunaan bahasa Melayu di papan tanda adalah menggalakkan imej palsu? Adakah Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan juga imej palsu dan menjadi punca menggalakkan “kepalsuan” di negara ini?
Sedarkah menteri bahawa bahasa Melayu adalah citra, imej dan jati diri negara ini yang perlu diutamakan melebihi segala bahasa yang lain.
Jelas menampakkan sama ada menteri berkenaan jahil atau pura-pura tidak memahami Perlembagaan dan undang- undang berkaitan.
Justeru dicadangkan lebih baiklah menteri pelancongan dan penyokongnya meletak jawatan kerana bersikap biadab dengan mengingkari titah Tuanku Sultan Selangor, undang-undang dan Perlembagaan.
Tiong seolah-olah bukan lagi seorang menteri dan ahli parlimen di negara ini dan sudah banyak menimbulkan kontroversi.
Baca artikel lain: Isu papan tanda: PENA sokong tindakan DBKL, dakwaan jejas pelancongan tidak boleh diterima
Beberapa pimpinan politik DAP yang sama pula didapati kerap terlatah dan sentiasa senada sejak dulu mempertikai pelbagai isu termasuk bahasa Melayu sama ada di papan tanda, tulisan jawi (di Pahang), isu agama Islam dan sebagainya.
Sewajibnya pimpinan DAP tersebut ditegur dengan keras oleh pucuk pimpinan kerana berulangkali menimbulkan kontroversi. Moga baginda Sultan juga bersedia memberi amaran lebih keras terhadap mereka yang sudah kehilangan adab tersebut agar insaf dan tidak mengulangi lagi kebiadapan mereka terhadap Tuanku, agama Islam dan bahasa Melayu.
Sikap tersebut tidak lagi memperlihatkan isu peribadi tetapi seolah-olah ada agenda tersirat yang telah lama terpendam dan mulai sekarang dengan beraninya dizahirkan satu demi satu?
Jelas sudah tiba masanya untuk melaksanakan reformasi dalam usaha pemilihan ahli parlimen dan menteri dengan meletakkan syarat bahawa sebelum mengangkat sumpah, setiap ahli parlimen wajib fasih berbahasa Melayu.
Mereka diwajibkan menghadiri kursus bahasa Melayu dan ketatanegaraan yang meliputi sejarah tanah Melayu, sejarah Bahasa Melayu, Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152, 153 dan lain-lain) serta Rukun Negara.
Pihak DBP boleh ditugaskan sebagai urus setia kursus tersebut. Hanya mereka yang lulus dibenarkan mengangkat sumpah dan menghadiri sidang parlimen. Yang gagal wajib mengulangi kursus.
Dengan itu diharapkan semua ahli parlimen akan lebih bertanggungjawab, berintegriti, benar-benar memahami sejarah negara ini kerana umumnya banyak yang tidak memahami sejarah negara ini kerana telah mengikuti pendidikan melalui sistem yang berbeza-beza.
Mereka juga akan lebih memahami Perlembagaan Persekutuan, Raja-raja Melayu, Rukun Negara dan diharap menjadi wakil rakyat yang akar dan jati dirinya di bumi ini. Di sini bumi dipijak, di sinilah langit dijunjung. Terimalah hakikat serta kebenaran akan sejarah dan tamadun berabad negara ini.
Jangan cuba mereka cipta sejarah palsu negara ini pula wahai sang menteri?
Penulis adalah Pengerusi Biro Pembangunan Ummah dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

