Kedah, oh Kedah! Janganlah ‘semakkan’ papan tanda!

Dari Penulis

OLEH: KAMAL SHUKRI ABDULLAH SANI

BARU-BARU ini kerajaan negeri Kedah (negeri penulis) telah mengumumkan untuk menguatkuasakan penggunaan tiga bahasa di papan tanda. Wah! Hebat tu.

Sebenarnya agar lebih sempurna penulis ingin mencadangkan bukan tiga, tetapi buatlah sekurang-kurangnya 13 bahasa iaitu bahasa Melayu (rumi dan jawi), English, Mandarin, Tamil, Temiar, Senoi, Iban, Melanau, Bajau, Jawa, Bugis, Mandailing, Punjabi dan Telugu. Yang dapat projek papan tanda pun pasti senyum lebar.

Apabila banyak bahasa barulah adil dan meriah namanya untuk meraikan pelancong domestik. Belum lagi dikira pelancong antarabangsa. Nanti yang tak faham Inggeris seperti orang Perancis, Jerman, Rusia, Belanda dan lain-lain berasa mereka didiskriminasi pula. Tak begitu?

Kita kan dah lama terkenal sebagai Mak Sirandang dalam cerita lama. Kera di hutan disusukan. Anak di pangkuan dibiar kelaparan. Bahasa lain diraikan bahasa kebangsaan dilempar ke hutan? Terlajak ramahnya kita melayan tetamu macam Mak Sirandang.

Jepun yang terkenal menghargai tetamu dan pelanggan pun tetap tidak menduakan bahasa Nipongo mereka. Jika amat perlu hanya bahasa Inggeris sahaja diguna. Tetapi sentiasa dikeduakan kedudukannya. Tidaklah semak samun papan tanda.

Pesan ikhlas penulis buat kerajaan negeriku, Langkasuka, nun di utara, dan PBT negeri lainnya patuhilah peraturan PBT sedia ada dan Perlembagaan.

Gunakan bahasa Melayu dengan dua tulisan, rumi dan jawi agar tiada yang terus fobia dengan tulisan jawi sebab terbiasa melihatnya di papan tanda seluruh negeri dan negara ini. Tidaklah nanti apabila melihat tulisan jawi terasa seperti melihat seekor hantu. Terkejut beruk, marah dan lari.

Bahasa Inggeris gunalah hanya di tempat yang amat perlu dan seterusnya bahasa ketiga tidak perlu lagi sebab mustahil ada lagi rakyat negeri Kedah atau Malaysia yang tidak faham papan tanda berbahasa Melayu. Buat semak papan tanda sahaja.

Malah berhampiran Pekan Rabu, Alor Setar terdapat sebuah kedai cermin mata milik seorang Tionghua menggunakan tulisan jawi di papan tandanya sejak tahun 1960-an lagi. Tiada masalah dan tak jadi isu pun.

Seingat penulis, jika diimbau sejarah pilihan raya kecil di Pontian tempoh hari, calon MCA yang menang terus melompat terjerit-jerit kira-kira sebulan sahaja selepas menang, membantah tulisan jawi dalam buku teks sekolah. Lupa dia tulisan jawi itulah asal tulisan bahasa Melayu yang pengundinya sebagai majoriti telah mengundi bagi kemenangannya.

Ada pepatah Melayu yang menjelaskan tentang orang yang tidak mengenang budi akan bantuan yang diberi. Kalau tak silap bunyinya seperti menolong anjing yang tersepit. Lepas ditolong, digigitnya orang yang menolongnya.

Sebuah parti lain, DAP pun bingkas terjun bersama-sama labu-labunya membantah bagai nak runtuh langit kata orang utara.

Satu lagi tabiat biasa rakyat Malaysia ialah mabuk. Satu mabuk di jalanan, mabuk bir tetapi terus memandu kenderaan dengan risiko membahayakan pengguna jalan raya lain. Kedua mabuk dengan jenama Inggeris yang berisiko melupuskan citra dan jati diri negara ini.

Antara sebab utama, mereka buta sejarah negara sendiri dan menganggap isu nama dan penjenamaan sebagai remeh dan tidak penting.

Tiada harga diri, tiada rasa megah bahasa negara sendiri. Justeru menyedari bahawa nama itu pentinglah misalnya penjajah telah mengubah nama banyak tempat ke dalam bahasa mereka. Misalnya Tanjung Kemuning kepada Port Dickson. Eloklah segera dikembalikan Port Dickson kepada nama asalnya atau jika ingin mengekalkan singkatan PD-nya, boleh juga diguna nama Pantai Dermaga.

Sahabat penulis Buzz Randuk dengan persatuannya kerap mengutarakan hal jenama bercitra negara ini dalam pelbagai surat dan memorandum.

Tetapi sikap mabuk jenama Inggeris tersangatlah hebat hingga agaknya jika boleh, mahu sahaja semua ibu negeri ditukar kepada bahasa Inggeris, misalnya Ipoh kepada Edinburgh, Kuala Lumpur kepada East London, Gopeng kepada Gopenghagen, Kuala Pilah kepada Philadelphia, Londang Melaka kepada London, Johor Bahru kepada New Johor, Kota Bharu kepada New Fort dan lain-lain.

Hingga kini ratusan tempat, kondominium dan kompleks umpama cendawan lepas hujan, meriah dengan nama seperti IOI Mall, Starhill, Lot Ten (10), One Utama, Planters Haven, Southvillle City, Bangsar South, Bangi Gateway dan seribu nama lagi.

Kita pernah tegur Puchong Gateway, muncul kemudiannya Bangi Gateway. Kasihan DBP terkontang-kanting menggigit jari sendiri walaupun diberi peruntukan RM50 juta baru-baru ini untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Air di kuala dijernihkan sedangkan tebing tanah di hulu diruntuhkan. Tetap keruhlah semua air di sungai. Banyak yang bijak mencuri “kelompangan” dalam peraturan dengan mengekalkan nama syarikat sebagai alasan menggunakan nama-nama berbau asing tersebut.

Pihak pendaftar syarikat perniagaan wajib tegas dalam hal ini atau meminda apa yang perlu demi memartabatkan bahasa Melayu dalam amalannya.

DBP boleh menasihati tentang hal ini. Nasihat sahaja, amaran pun jangan. Anda tiada kuasa walaupun puluhan ribu teks Perlembagaan tidak lupa mencatat Perkara 152 pada halaman 153-nya.

Seperkara lagi yang amat lumrah sama ada dalam grup “wasap”(whatsapp), forum, seminar, sesi dialog awam (town hall) malah mesyuarat rasmi walaupun 100 peratus ahlinya berbangsa Melayu, membincang isu permasalahan orang Melayu sahaja atau Malaysia tetapi tetap ada beberapa orang panel yang begitu selesa dan tanpa rasa bersalah terus berbincang dalam bahasa Inggeris sepenuhnya.

Baca artikel lain: Aku warganegara kelas kedua – realiti atau pemangsaan kendiri?

Penulis berasa amat jengkel walaupun pernah berkursus beberapa kali di luar negara termasuk Kanada. Malah penulis turut mempelajari bahasa Jepun di negara matahari terbit melalui bahasa Inggeris juga.

Memanglah kita semua tahu mereka berkelulusan sarjana atau PhD di luar negara dan agaknya bahasa Inggerisnya lebih baik daripada King Charles, tetapi apa perlunya berbahasa Inggeris dengan orang sebangsa, dan di negara ini pula.

Jadi apalah nak dimarahkan orang lain enggan berbahasa Melayu, jika kita sendiri malu dan tak mahu berbahasa Melayu. Keadaan aneh ini tidak berlaku misalnya dalam kalangan orang Jepun, Perancis dan negara lain yang bermaruah walaupun mereka amat fasih berbahasa Inggeris.

Kefasihan bahasa Inggeris mereka tidak hilang akibat mengutamakan bahasa negara dan ini jelas ketika berbual semasa tidak rasmi, makan-makan dan sebagainya.

Mereka bisa sahaja berbahasa Inggeris. Sewajarnya mereka itu dihantar saja duduk di Jepun atau Perancis selama tiga bulan baharulah mereka tahu langit itu tinggi atau rendah.

Dapatlah mereka uji sejauh Queen English mereka akan dihormati atau akhirnya terpaksa tergagap-gagap untuk berbahasa isyarat dan mencuba-cuba “broken Nihongo” atau “broken French”.

Persidangan ASEAN akan berlangsung tidak lama lagi. Hasrat untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN yang diuar-uarkan sebelum ini semasa Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri mungkin kini masih berupa igauan.

Usah diharaplah untuk jadi bahasa pertama. Sebagai bahasa kedua pun belum nampak bayang mana-mana pemimpin negara ini yang benar-benar boleh diharapkan, yang ikhlas serta mempunyai iltizam ke arah usaha tersebut.

Setakat ini kita sekadar menumpang retorik sahaja untuk bahasa Melayu menjadi bahasa ASEAN. Hendak seribu daya, mahu seribu cara, tak mahu seribu dalih.

Alkisah orang Melayu di Malaysia pula umumnya terlalu luwes sehingga apabila berbual dengan teman Tionghua, bahasa Melayunya berbunyi ala-ala Tionghua. Dengan rakan India pula, bahasa Melayunya jadi loghat Tamil. Jika dengan Arab, Melayu pun jadi ala-ala Arab.

Mujurlah ada larangan khas, jika tidak sudah pasti Mariam, Khatijah, Daud, Yusuf akan ke pejabat pendaftaran untuk menjadi Mary, Katty, David dan Joseph, nama yang serasi, sedap didengar dan disebut?

Adakah lagi agaknya kini nama seperti Melor, dari Kedah yang berkhidmat di Watan Harian Nasional pada awal tahun 80-an dahulu yang pernah penulis kenali?

Penulis adalah Pengerusi Biro Insan Rabbani dan Komuniti Madani, Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

Onn Hafiz nafi dakwaan Puad, UMNO Johor bakal buat laporan polis

PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bahawa beliau...

More Articles Like This