DATUK Seri Mohamed Azmin Ali sah dilantik sebagai Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi penggal 2024 hingga 2027 berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan itu diumumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang menyertai Bersatu pada Julai 2023 dipilih sebagai Ketua Penerangan yang baharu.
Pada masa sama, bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun pula dilantik sebagai Bendahari Agung Bersatu.
“Sukacita saya ingin mengumumkan pelantikan jawatan-jawatan kanan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bagi sesi 2024-2027 yang dibuat menurut Fasal 13.9 Perlembagaan Bersatu.
“Saya berdoa agar mereka yang dilantik akan menjalankan tugas-tugas yang termaktub di dalam Perlembagaan Bersatu dengan amanah, cekap dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kepada pemegang jawatan Setiausaha Agung, Ketua Penerangan dan Bendahari Agung pada penggal yang lalu.
Baca artikel lain: Terajui Srikandi Bersatu dalam posisi pembangkang, Mas Ermieyati yakin percaturan tersendiri
“Jutaan terima kasih kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin (Setiausaha Agung), Datuk Mohamed Salleh Bajuri (Bendahari Agung) dan Datuk Razali Idris (Ketua Penerangan) atas segala jasa dan khidmat bakti mereka kepada parti,” katanya.
Pada pemilihan Bersatu yang lalu, Muhyiddin dan Hamzah menang tanpa bertanding sebagai Presiden dan Timbalan Presiden susulan hanya satu pencalonan diterima bagi jawatan ditandingi mereka.
Sebelum ini, Muhyiddin dilapor mengesahkan Mohamed Azmin dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu.
Beliau dipetik berkata, lantikan Pengerusi Bersatu Selangor itu sudah dimuktamadkan dengan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.
Dalam Pemilihan Bersatu sebelum ini, Rina membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan Ketua Srikandi Bersatu dan memberi kemenangan tanpa bertanding kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Tun Faisal pula menyertai Bersatu tahun lalu selepas mengambil kira peranan yang boleh dimainkannya dalam parti itu berbanding Pas.
Beliau yang juga bekas Setiausaha Akhbar kepada bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dipecat daripada UMNO berkuat kuasa serta-merta pada Januari 2023.
Tindakan itu diambil selepas Tun Faisal yang lantang mengkritik kepemimpinan UMNO, dikatakan melanggar etika ahli UMNO berdasarkan perlembagaan parti.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

