ISU melibatkan calon Perdana Menteri atau poster boy daripada Perikatan Nasional (PN) hangat diperkatakan melibatkan tokoh tertentu dalam gabungan tersebut baru-baru ini.
Ia selepas Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengesyorkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal jawatan Perdana Menteri mewakili PN pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Kenyataan itu mengundang respons Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang menyatakan Pas lebih sesuai menerajui PN berbanding Bersatu memandangkan parti itu memiliki jumlah kerusi Parlimen terbanyak dalam gabungan itu.
Berbicara mengenai soal itu, Muhyiddin menyifatkan beliau bersikap terbuka dengan pandangan individu tertentu sama ada dibincangkan secara umum atau dibawa ke dalam mesyuarat PN.
Malah, dalam wawancara eksklusif bersama UtusanTV itu, Muhyiddin menegaskan isu tersebut bukanlah sesuatu yang aneh kerana ia melibatkan pandangan individu semata-mata, bukannya keputusan konsensus PN.
Bagaimanapun, Muhyiddin berkata, soal mengenai poster boy dari PN itu mesti mengambil kira penerimaan rakyat.
“Kalau sekarang mereka dah (bincang) soal nak fikir siapa bakal Perdana Menteri dari PN. Siapa namanya? Senaraikan A, B, C dan D. Itu bagus. Mungkin ada tiga orang bakal Perdana Menteri kita ketengahkan.
“Tetapi muktamadnya bila? Bila tiba waktu musyawarah. Saya tak kata saya (dipilih), sesiapa sahajalah, maka orang berkenaanlah calon Perdana Menteri dari PN.
“Pertimbangannya bukan soal parti (sahaja), dalam parti kita bincang, betul. Tetapi penerimaan rakyat. Ini bukan jawatan politik. Ini peneraju kerajaan.
“Siapa yang lebih berhak? Parti atau rakyat? jawabnya rakyat. Nak tinjau juga apa yang rakyat fikir kalau A dinamakan (calon Perdana Menteri), terima tak? Buat survey, itu gambarkan hasrat dan aspirasi rakyat,” katanya.
Baca artikel lain: Azmin Setiausaha Agung PN? Bukan luar biasa, ikut amalan lepas, kata Muhyiddin
PN yang terdiri daripada Bersatu, Pas dan Parti Gerakan sebagai parti komponen secara rasmi didaftarkan pada 7 Ogos 2020 iaitu lima bulan selepas Muhyiddin memulakan tempoh 17 bulan pentadbirannya sebagai Perdana Menteri.
Beliau dinamakan sebagai poster boy PN pada PRU-15 lalu.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, isu mengenai pemilihan calon Perdana Menteri mewakili PN itu hanya akan diputuskan dalam Majlis Tertinggi PN.
Beliau berkata, sekiranya Majlis Tertinggi PN mahu pembaharuan dari segi kepimpinan, perkara itu tidak menjadi masalah di pihaknya.
“Katalah selepas ini bincang siapa nak jadi poster boy, betul pada (PRU) yang lalu saya (calon Perdana Menteri). Terpampang nama ‘Abah’ semua sekali kan. Anda tanya mereka, ada tak Muhyiddin minta (jadi poster boy)?
“Mereka mahukan saya. Mereka (Majlis Tertinggi PN) putuskan mungkin saya sesuai dan layak pada waktu itu.
“Ke depan begitu juga, saya tak boleh mendahulukan diri saya. Biar mereka bincang dan saya tak perlu terlibat,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

