SELEPAS tiga hari berlangsungnya Pameran dan Persidangan Antarabangsa 2nd Asia Smart Farming & Food Security 2024 (ASF 2024) yang bermula pada 26 November lalu, acara ini semakin hampir mencapai matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan pertanian pintar tanpa penggunaan racun kimia berbahaya.
Acara ASF 2024 dianjurkan oleh ABS Greentech Sdn Bhd selaku penganjur utama dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan disokong oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia.
Dengan tagline Pesticide-Free Farming for a Healthier Nation, ASF 2024 menekankan komitmen terhadap pertanian lestari dan selamat.
Menteri Industri Makanan, Komoditi, dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, melalui Timbalannya Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pihaknya yakin bahawa Malaysia mampu mencapai matlamat ini.

“Saya yakin kita mampu menjadikan Malaysia sebuah negara bebas racun kimia dan selamat pada masa depan.
“Misi ini selari dengan kempen ‘Safe to Eat Food Products’ yang baru dilancarkan oleh Sarawak dan prinsip kerajaan negeri untuk mengharamkan penggunaan racun kimia tidak lama lagi,” katanya.
Atas tanggungjawab untuk memberi kesedaran dan kesinambungan daripada acara ASF 2024, penganjur merancang untuk mengadakan pameran serantau yang lebih meluas di seluruh Malaysia iaitu di Sabah, Sarawak, utara dan selatan Malaysia.
Sarawak bakal menjadi negeri pertama yang menganjurkan acara ini, memanfaatkan kedudukannya sebagai peneraju teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui yang sepadan dengan objektif ASF.
Malah, ASF bertekad membantu petani beralih kepada amalan bebas bahan kimia berbahaya melalui penggunaan teknologi terkini.

Pengerusi Penganjur dan Ketua Pegawai Eksekutif ABS Greentech Sdn Bhd, R.M. Ravichandar, menegaskan pentingnya mendidik petani tentang kaedah pertanian lestari.
“Misi kami untuk memberi kesedaran tentang pertanian bebas bahan racun kimia dan untuk memastikan mesejnya sampai ke akar umbi.
“Pihak kami merancang untuk menubuhkan pusat latihan di setiap kawasan bagi mendidik petani tentang penanaman tanpa bahan kimia berbahaya, sekali gus meningkatkan produktiviti dan kesihatan. Jika rakyat kita tidak sihat, negara kita juga tidak akan sihat,” ujarnya.

