
AIR itu seperti api. Jika kecil kawan, apabila besar jadi lawan. Air dan api berguna dalam kehidupan seharian, sebagai kawan untuk pelbagai tujuan termasuk masak memasak. Tetapi jika air sudah bertukar kepada banjir atau api garang membakar, ia menjadi lawan yang menakutkan.
Apa yang terjadi adalah kehendak Allah. Namun kita perlu berwaspada serta berusaha menangani dugaan Allah. Semoga dengan usaha dan ikhtiar banjir atau kebakaran besar itu tidak mendatangkan kesan terlalu memudaratkan.
Penulis bangkitkan perkara ini kerana kini musim banjir. Banyak kawasan di seluruh negara terjejas. Ramai terlibat apabila kawasan sekeliling rumah ditenggelami air sehingga melimpah masuk ke dalam rumah.
Jika suatu waktu dahulu banjir teruk hanya dikaitkan dengan negeri di pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu, kini banjir melanda tidak kira di mana. Baik utara, selatan, pantai timur atau pantai barat menghadapi risiko banjir.
Demi keselamatan, ramai mangsa dipindahkan ke pusat penempatan sementara (PPS). Sehingga rencana ini ditulis, lebih 150,000 dipindahkan. Pusat penempatan jadi rumah sementara sehingga keadaan bertambah baik dan boleh kembali ke rumah. Dugaan menanti ialah untuk membersihkan rumah, selain banyak barang rosak akibat banjir.
Sewaktu kecil dahulu di kampung pada era awal 60-an, penulis memang seronok apabila banjir melanda. Kawasan rumah dan kebun kelapa di sekeliling kampung bagai lautan, dipenuhi air antara paras peha hingga pinggang.
Waktu itu kelapa sawit belum ditanam di kampung. Pokok kelapa adalah tanaman utama hasil penduduk kampung selaku pekebun kecil. Yang memiliki berhentar-hektar kebun dianggap ‘tauke’ menggaji orang kampung mengerjakan kebun.
Memang seronok bermain air banjir, berenang atau bermain rakit batang pisang bersama kawan-kawan hingga mata merah, ada kala hingga demam. Maklum ramai-ramai bermain, seronok sahaja yang dirasa. Tidak terfikir sakit atau bimbang bahaya air dalam.
Di samping itu seronok mencari ikan lawan atau ikan laga. Mudah mengesan ikan ini yang biasanya bersembunyi dalam sabut kepala terapung. Jika ada buih pada sabut, bermakna ada ikan. Angkat sabun perlahan-lahan agar ikan tidak terlepas.
Ikan laga yang berwarna warni—merah, hijau, biru–memang sangat cantik dan berkilat apabila diletak dalam botol atau balang. Sesuai namanya, ikan hiasan ini sering dilagakan. Ikan jadi tidak cantik selepas itu kerana sirip, ekor atau badannya cedera akibat ‘pertempuran’.
Banjir biasanya berlaku pada hujung tahun waktu cuti panjang sekolah. Kalendar cuti sekolah dahulu tidak sama dengan sekarang. Jika tidak, memang sukar meredah jalan penuh berair untuk ke sekolah. Tetapi yang bekerja tiada pilihan terpaksa meredah air. Ada yang menaiki sampan.
Banjir merosakkan tanaman jika dibiar terendam lama dalam air. Ubi dan keledek misalnya akan rosak, buahnya busuk jika tidak dicabut segera. Kerana kuantiti yang banyak, ubi keledek yang sempat dicabut akan dipelbagai guna.
Yang kerap dilakukan oleh penduduk ialah menjadikannnya makanan kering, misalnya kerepek. Makanan ini boleh disimpan untuk jangka waktu lama, dan sebagai makanan kudapan sambil bersantai.
Namun itu senario di kampung. Ia tidak boleh disamakan dengan banjir yang melanda seluruh negara sekarang. Di kampung, walau pun air dalam tetapi tenang dalam persekitaran tidak bergerak. Oleh itu risikonya kurang.
Dibandingkan dengan banjir sekarang, bukan sahaja air dalam tetapi mengalir deras. Dalam proses ini ia boleh meragut nyawa dan menghanyutkan bersamanya harta benda yang mengakibatkan banyak kerugian.
Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menerusi ‘Laporan Khas Impak Banjir Malaysia 2023’, kerugian akibat banjir tahun lalu mencecah RM755.4 juta atau 0.04 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Bagaimana pun jumlah itu menurun RM271 juta berbanding tahun sebelumnya.
Pecahan kerugian yang dicatat merangkumi kerosakan kediaman sebanyak RM168.3 juta, kenderaan (RM22.3 juta), premis perniagaan (RM53.2 juta) dan pembuatan sebanyak RM10.3 juta.
Selain itu turut mengalami kerugian ialah industri pertanian sebanyak RM120.6 juta serta aset awam dan infrastruktur sebanyak RM380.7 juta.
Yang lebih menyedihkan ialah kes kematian akibat banjir. Ada mangsa yang dihanyutkan air deras atau terperangkap apabila rumah dimasuki air. Juga insiden lain seperti terkena renjatan elektrik apabila wayar elektrik putus jatuh ke dalam air, mengorbankan orang yang lalu di kawasan tersebut.
Oleh itu berhati-hati menghadapi banjir. Jangan bermain air. Tangguhkan ‘makan angin’, bimbang terperangkap dalam banjir. Ikut nasihat pihak berkuasa. Jika diarah berpindah, segera berbuat demikian. Jaga keselamatan diri dan keluarga. Nyawa lebih berharga daripada harta benda.
* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

